Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kerjaya politik Muhyiddin Yassin mungkin tergugat jika PN tidak menang besar dalam PRN

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kerjaya politik Muhyiddin Yassin mungkin tergugat jika PN tidak menang besar dalam PRN

Ketua Perikatan Nasional (kiri) dan PM Malaysia Anwar Ibrahim. (Gambar-gambar: CNA/Fadza Ishak/Gaya Chandramohan)

SINGAPURA: Enam daripada 13 negeri di Malaysia - Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor and Negeri Sembilan - akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos, pilihan raya utama yang pertama sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada November lalu.

Hampir semua rakyat Malaysia menyifatkan PRN ini sebagai referendum tidak langsung terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Pentadbiran Encik Anwar - yang terdiri daripada gabungan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - hanya bersatu selepas PRU15.

Apa yang kurang dibincangkan dengan kerap ialah hakikat bahawa PRN menimbulkan risiko politik yang sama kepada Muhyiddin Yassin, ketua gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN).

Encik Muhyiddin, yang juga dirujuk oleh para penyokongnya sebagai Abah (istilah penghormatan untuk “bapa”), hampir membentuk kerajaan tahun lalu. Beliau sudah berkecimpung dalam politik Malaysia selama beberapa dekad dan menjadi perdana menteri selama 17 bulan sehingga peletakan jawatannya pada Ogos 2021.
Dengan PN pimpinan Encik Muhyiddin mentadbir tiga negeri yang ditandingi (Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan baki tiga lagi di bawah gabungan Encik Anwar, kerjaya politik Encik Muhyiddin mungkin terancam jika beliau tidak menang besar bulan depan.

MASALAH PERTUDUHAN RASUAH DAN FITNAH

Masalah politik Encik Muhyiddin semakin meruncing, dengan beliau turut berdepan isu-isu guaman terhadapnya.

Pada Mac lalu, Encik Muhyiddin didakwa atas empat tuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta berhubung projek yang diberikan di bawah program bantuan COVID-19 yang diperkenalkan oleh kerajaannya. Beliau turut didakwa atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta.

Encik Muhyiddin bertegas wang itu adalah sumbangan politik kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), parti komponen PN yang dipimpin Encik Muhyiddin, dan beliau tidak mendapat manfaat secara peribadi daripada dana tersebut.
Akaun bank Bersatu dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebahagian daripada siasatan agensi itu. Ini bermakna Bersatu tidak boleh menggunakan akaun tersebut untuk pilihan raya negeri.

Pada bulan yang sama, mantan menteri dan ahli parlimen gabungan PH Lim Guan Eng memfailkan saman fitnah terhadap Encik Muhyiddin berhubung dakwaan membabitkan pembatalan status pengecualian cukai Yayasan Al-Bukhary. Perbicaraan kes itu akan dijalankan tahun depan.

Kedua-dua Encik Anwar dan Encik Muhyiddin saling mengancam satu sama lain dengan tindakan undang-undang berhubung program penempatan semula Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Mereka berdua saling mahu mendapat nama kerana melupuskan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bernilai berbilion-bilion Ringgit - dengan golongan miskin luar bandar yang merupakan golongan pengundi utama.

Sebarang silap langkah akan membawa padah. Di Kuala Lumpur, diketahui umum bahawa Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin sedang mempertimbangkan untuk mengambil alih jawatan ketua parti sekiranya Encik Muhyiddin membuat kesilapan politik yang serius.

Encik Hamzah mendapat sokongan ramai ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS), parti komponen paling penting dalam PN dengan bilangan kerusi terbanyak di Parlimen. Atas sumbangan besar beliau kepada kejayaan PN pada PRU15, ramai anggota PN dikatakan percaya bahawa beliau akhirnya akan menggantikan Encik Muhyiddin.
SENTUHAN MUHYIDDIN YASSIN

Sungguhpun demikian, jangan sekali-kali meremehkan peluang Encik Muhyiddin untuk terus bertahan dan mengatasi cabaran kes mahkamah yang dihadapinya dan tidak mustahil untuk beliau kembali sebagai perdana menteri.

Kelebihan besar Encik Muhyiddin berbanding semua ahli politik PN yang lain ialah beliau mempunyai kepakaran untuk terus bertahan. Setelah berkhidmat sebagai Menteri Besar Johor selama sedekad dan sebagai menteri persekutuan selama lebih dua dekad, dan kemudian sebagai perdana menteri, beliau mengenali semua orang yang dianggap penting dalam arena politik Malaysia.

Tiada orang lain dalam Bersatu atau PN yang lebih berkeupayaan untuk membentuk gabungan bagi mengambil alih kerajaan persekutuan jika Encik Anwar tumbang.

Ini amat penting apabila PN perlu berunding dengan pemain politik di Sabah dan Sarawak, di mana hampir semua pemimpin politik di sana mengenali Encik Muhyiddin secara peribadi. Terdapat juga khabar angin bahawa hanya Encik Muhyiddin yang boleh memikat parti-parti komponen BN, khususnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), untuk melompat parti jika keadaan memihak kepada tindakan sedemikian.

Malah mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang menyifatkan Encik Muhyiddin sebagai pengkhianat kerana mendalangi rampasan kuasa Langkah Sheraton untuk menjatuhkan pentadbiran Dr Mahathir pada 2020, kini sudah berbaik semula dengannya. Bersatu diasaskan oleh mereka berdua pada 2016.

Pada awal bulan ini, Encik Muhyiddin bertemu dengan Dr Mahathir di rumah beliau untuk menggambarkan seolah-olah mereka sekali lagi bersatu secara politik dalam hasrat mereka untuk menjatuhkan pentadbiran Encik Anwar.
Mantan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan di rapat Perikatan Nasional di Kota Bahru, Kelantan pada 21 Jul 2023. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
Menjelang PRN, Dr Mahathir dan sekutu-sekutunya smenggesa pengundi Melayu supaya menyokong PN. Semasa perhimpunan PN pada Jumaat (21 Jul) di ibu kota Kelantan, Kota Bahru, Dr Mahathir menyeru orang Melayu supaya "keluar beramai-ramai" untuk mengundi bagi memastikan Malaysia kekal sebagai "Tanah Melayu" (tanah orang Melayu).

KUKUHKAN UNDI MELAYU

Natijah untuk Encik Muhyiddin dan PN sangat mudah: Mendapatkan undi Melayu.

Mereka hanya perlu mengulangi corak undi Melayu dari PRU15. Jika mereka berbuat demikian, PN akan dapat memperluaskan pengaruhnya dengan ketara menjangkaui tiga negeri yang sudah dikuasainya.

Jika salah satu negeri yang kini ditadbir oleh gabungan Encik Anwar jatuh ke tangan PN, sudah tentu ia akan menjadi kemenangan yang besar bagi PN. Sekalipun jika gagal berbuat demikian, merampas beberapa kerusi Melayu daripada PH di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tetap akan menjadi hadiah sagu hati yang berharga bagi PN.

Yang paling rugi dalam semua ini ialah UMNO jika pengundi Melayu menyokong Encik Muhyiddin dan PN. UMNO bertanding sebahagian besar kerusi majoriti Melayu di Kedah, Terengganu dan Kelantan dan kekalahan besar akan menggugat kedudukan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.
Jika Encik Ahmad Zahid hilang kedudukannya, maka Encik Muhyiddin hampir pasti akan cuba membentuk pakatan untuk menjatuhkan Encik Anwar. Perikatan PH-BN dalam Kerajaan Perpaduan sebahagian besarnya bersandarkan persahabatan antara Encik Anwar dengan Encik Zahid. Tanpa kedua-duanya, puak bertentangan dalam UMNO mungkin bersedia untuk menyokong PN.

Memastikan negeri-negeri yang sudah dikuasai PN terus menjadi kubu kuat PN mungkin akan mengekalkan Encik Muhyiddin sebagai pemimpin PN. Walaupun beliau telah mengisytiharkan bahawa PRU15 adalah pilihan raya yang terakhir baginya, beliau masih menyimpan hasrat untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.

PRU16 dijangka akan diadakan menjelang 2027 walaupun tidak ramai yang percaya Encik Anwar akan menunggu sehingga selesai tempoh penggal selama lima tahun itu. Enam PRN pada Ogos akan memberi gambaran tentang sama ada Kerajaan Perpaduan telah mencapai kestabilan politik dan apakah peranan yang akan dimainkan oleh Encik Muhyiddin dalam landskap politik Malaysia seterusnya.

MENGENAI PENULIS
James Chin ialah Profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania dan Zamil Kanan di Institut Jeffrey Cheah mengenai Asia Tenggara.
Sumber : CNA/AW/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan