Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

NOTA DARI KL: PRN kali ini bukan setakat kestabilan politik, pemulihan ekonomi & kos sara hidup lebih rendah

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Dalam tempoh kurang setahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022, rakyat Malaysia akan keluar mengundi sekali lagi.

Bagaimanapun, kali ini di peringkat negeri bagi memilih para wakil Dewan Undangan Negeri (DUN). Hanya 6 negeri yang terlibat kali ini: Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, dengan sejumlah 245 kerusi DUN dipertandingkan.

MENGAPA PERLU KELUAR MENGUNDI SEKALI LAGI?

Ramai yang tidak terlibat dalam politik Malaysia atau sangat berminat dengan landskap politik negara ini mungkin tertanya-tanya mengapa perlu ada dua pilihan raya. Pilihan Raya Umum (PRU) seluruh negara adalah undian untuk wakil Parlimen – penggubal undang-undang yang menentukan dasar dan undang-undang di peringkat nasional di Putrajaya.

Pilihan Raya Negeri (PRN) pula adalah untuk memilih ADUN yang akan menguruskan isu-isu di peringkat negeri, dan akan memberi lebih banyak kesan kepada kehidupan seharian pengundi di peringkat makro. Keputusan PRN mungkin menghasilkan ketua menteri (Menteri Besar) dan Jawatankuasa Eksekutif (ExCo) yang baharu dan juga akan memberi kesan kepada ahli majlis tempatan dan juga jawatankuasa peringkat kampung.

Ia juga boleh menentukan siapa yang akan menguasai syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan negeri.

Pilihan raya di peringkat negeri akan memberi kesan secara langsung kepada undang-undang dan dasar-dasar yang tertakluk di bawah bidang kuasa negeri (seperti yang dinyatakan dalam Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan Dalam Perlembagaan Persekutuan).

Ahli politik yang mewakili peringkat negeri disifatkan sebagai mempunyai hubungan yang lebih baik dengan rakyat dan dijangka berupaya menyelesaikan masalah harian para pengundi.

Dalam pilihan raya umum yang lalu, undian untuk wakil rakyat di peringkat negeri dilakukan pada masa yang sama dengan undian untuk ahli parlimen.

Sebelum PRU14, hanya Sarawak mengadakan Pilihan Raya Negeri dan Persekutuan yang berasingan.

Bagaimanapun, sejak PRU14 pada 2018, beberapa negeri lain turut mengadakan pilihan raya kilat disebabkan oleh kejatuhan kerajaan yang tidak mempunyai kuasa majoriti oleh sesebuah parti.

Tempoh yang singkat untuk mengadakan PRU15 dan ramalan berlaku banjir di seluruh negara telah mendorong negeri-negeri yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri.

Masih ada hampir setahun sebelum DUN-DUN ini dikehendaki oleh undang-undang untuk dibubarkan dan ada juga yang merasakan seolah-olah langkah ini adalah satu taktik untuk memberikan lebih masa kepada negeri-negeri tersebut untuk bangkit semula pasca COVID-19.

Hanya Pahang, Perak dan Perlis mengadakan Pilihan Raya Negeri masing-masing semasa PRU15. Sabah dan Johor mengadakan Pilihan Raya Negeri masing-masing pada 2020 dan awal 2022, manakala Melaka dan Sarawak pada 2021.

Kesan negatif untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri yang berasingan, bagaimanapun, adalah peratusan yang keluar mengundi mungkin rendah. Bagi PRN kali ini, dengan COVID-19 dan keprihatinan sosioekonomi yang terkait dengan pandemik, kelesuan pengundi boleh memburukkan lagi peratusan undi yang lemah.
(Gambar: MOHD RASFAN/ AFP)
Mengundi tidak diwajibkan di Malaysia, walaupun ia kini dipercepatkan dengan pendaftaran pengundi secara automatik.

MENGAPA PILIHAN RAYA NEGERI PENTING?

Kerapuhan Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) and Parti Warisan Sabah (Warisan) menyebabkan ramai pihak mempersoalkan berapa lama Memorandum Perjanjian (MOU) yang membolehkannya memperoleh kuasa majoriti parlimen boleh terus bertahan.

Para penggubal undang-undang pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) kerap mengancam akan meruntuhkan Kerajaan Persekutuan, sambil mendakwa Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu ‘memulangkan mandat’ kepada rakyat yang mengundi mereka. Parti Islam Se-Malaysia (PAS), parti komponen PN, memenangi jumlah kerusi tertinggi yang diperoleh satu-satu parti pada PRU15 (49 daripada 222 kerusi).

Oleh itu PN berhasrat untuk mengambil kesempatan daripada Pilihan Raya Negeri sebagai referendum untuk membuktikan popularitinya dalam kalangan pengundi.

Pada PRU15, ahli politik PN memenangi majoriti kerusi parlimen di Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.

Gabungan itu berhasrat untuk bertanding di kesemua kerusi DUN pada pilihan raya kali ini dan nampaknya yakin bahawa ia akan dapat merampas kuasa di sekurang-kurangnya 4 negeri.

Walaupun Pilihan Raya Negeri mempunyai sedikit kesan nyata terhadap jentera dan kesahihan Kerajaan Persekutuan, para ahli politik pembangkang telah membayangkan seolah-olah kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri boleh membawa kepada satu lagi perubahan dalam kerajaan.

Ini semua adalah sebahagian daripada propaganda untuk menyemarakkan musim pilihan raya dan menggalak lebih ramai pengundi keluar mengundi.

ISU-ISU SEMASA

Berdasarkan kitaran pilihan raya yang lalu, isu perkauman, institusi diraja dan agama telah disentuh secara terang-terangan sehingga mencetuskan ucapan berbaur kebencian dan hasutan yang berbahaya kepada para penduduk. Bagaimanapun, tiada dakwaan dikenakan ke atas mana-mana pihak bagi retorik yang memecahbelahkan ini.

Kali ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap para pelaku sedemikian. Kedua-dua Sultan Selangor dan Terengganu telah menyeru kempen pilihan raya yang matang dan penuh hormat dijalankan agar tidak menggugat keharmonian dan perpaduan negara.
Para pemimpin kerajaan perpaduan Malaysia. (Gambar: Anwar Ibrahim/Facebook)
Para pemimpin PN mendakwa mereka setakat mengetengahkan isu-isu yang penting kepada rakyat seperti kos sara hidup dan isu ekonomi lain.

Pendirian mereka ialah Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh PH bukan sahaja tidak dapat menunaikan janji-janji manifesto, tetapi juga telah menjejaskan sebarang tuntutan terhadap ketelusan atau integriti dengan bekerjasama bersama UMNO yang disifatkan sebagai parti yang mengamalkan budaya rasuah dan masih dibelenggu dengan tuduhan-tuduhan dahulu dan sedia ada terhadap sesetengah ahli politiknya. Namun, pemimpin PN, Muhyiddin Yassin sendiri berdepan pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah berhubung penggunaan dana darurat kerajaan semasa pandemik COVID-19.

Dalam kem PH-BN, di mana ramai di peringkat akar umbi masih ragu-ragu tentang kerjasama PH-BN yang terpaksa mereka terima untuk mengekalkan kuasa, masih tidak pasti bagaimana kerusi akan dibahagikan dan bagaimana kempen PRN akan dijalankan.

Sebagai contoh, permusuhan masa lalu antara ahli UMNO dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), akan kelihatan agak pelik untuk mereka berkempen bagi pihak satu sama lain.

Sesetengah ahli akar umbi PH masih bimbang tuduhan-tuduhan tertunggak terhadap sebilangan pemimpin UMNO mungkin secara 'ajaib' akan diketepikan atau dibatalkan atau mantan perdana menteri Najib Razak mungkin dibebaskan dari penjara.

Para ahli akar umbi UMNO pula masih tertanya-tanya sama ada keutamaan hak Melayu dan Islam akan diketepikan akibat kehadiran DAP dalam kerajaan yang memerintah sekarang.

Walau bagaimanapun, mungkin terdapat tanda-tanda perubahan dalam kalangan ahli politik yang lebih muda dan para pengikut mereka.

Ketua Pemuda UMNO Wan Agyl Wan Hassan baru-baru ini dipetik mengecam dakwaan Dr Mahathir Mohamed bahawa terdapat jurang kekayaan yang besar antara orang Melayu dan Cina. Wan Aqyl sebaliknya menarik perhatian bahawa jurang perbezaan wujud dalam semua kumpulan etnik, termasuk orang Melayu, yang mana mantan perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad sendiri memainkan peranan besar dalam memastikan sesetengah individu menjadi sangat kaya.

Beliau berkata program bantuan kewangan dan lain-lain perlu disediakan untuk semua rakyat Malaysia yang miskin tanpa mengira kumpulan etnik mereka. Ini adalah evolusi tersendiri dan progresif dalam naratif UMNO.

Sungguhpun demikian, masih terdapat banyak tanda kelemahan dalam Kerajaan Perpaduan. Ahli politik parti yang berpangkat rendah kerap disebut mengancam akan menarik diri daripada gabungan itu sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi. Yang lain pula masih berpegang kepada retorik lama permusuhan antara rakan-rakan pakatan. Walaupun ini mungkin dianggap sebagai perkara biasa, ia hanya akan meningkatkan lagi keraguan pengundi.

APAKAH YANG INGIN DILIHAT OLEH PENGUNDI?

Hakikatnya, undi terletak di tangan rakyat.

Bagi mereka yang tidak berada di negeri-negeri yang menghadapi pilihan raya, terdapat sikap tidak minat dan sikap acuh tak acuh terhadap keputusan dan kesannya.
(Gambar fail: Mohd Rasfan/AFP)
Malah bagi mereka yang akan keluar mengundi, meskipun ada yang menyatakan bahawa mereka akan kembali ke negeri masing-masing untuk mengundi - kebanyakannya hanya mahukan kestabilan politik, pemulihan ekonomi dan kos sara hidup yang lebih rendah.

Walaupun kaum dan agama sudah pasti akan menjadi faktor dalam fikiran pengundi di negeri utara dan timur, pemulihan ekonomi mungkin masih memainkan peranan yang menyeluruh.

Wakil PH sentiasa lemah di Kelantan, Terengganu dan Perlis dan keupayaan untuk menyelaraskan penggubal undang-undang negeri dengan Kerajaan Persekutuan yang memerintah terletak di bahu UMNO dan ahli politik gabungan Melayu yang lain.

Mungkin untuk mencerahkan peluang mereka, Kerajaan Perpaduan telah meningkatkan peruntukan kewangan kepada negeri-negeri ini sejak ia berkuasa, walaupun para pemimpin PN mendakwa sebaliknya.

Sejak 6 bulan lalu, sebilangan pemerhati mendapati sesetengah ahli politik UMNO nampaknya telah bekerja lebih keras di lapangan, memandangkan mereka tidak mempunyai kuasa mutlak.

Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, adalah salah seorang yang banyak disebut sebagai membuat perubahan nyata di lapangan. Ada yang mengaitkan ini dengan umurnya; permintaan yang meluas untuk melihat ahli politik yang lebih muda diketengahkan dan para pengundi mengharapkan ia akan dapat dipenuhi pada Pilihan Raya Negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan bahawa semua Pilihan Raya Negeri akan diadakan serentak, pada 12 Ogos 2023. Sama-sama kita saksikan sama ada para pengundi akan percaya pada retorik politik yang dibentangkan atau adakah mereka akan membuat penilaian mereka sendiri dengan cara yang berhemah dan termaklum.

MENGENAI PENULIS
Dr Serina Rahman ialah Pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Zamil Bersekutu di Institut ISEAS-Yusof Ishak.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan