Muhyiddin teruskan tindakan saman fitnah terhadap PM Anwar berhubung pelupusan hutang peneroka Felda
Gambar: Agensi berita
KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin telah mengarahkan peguamnya untuk meneruskan tindakan saman fitnah terhadap Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim berhubung pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Mantan Perdana Menteri itu berkata Encik Anwar gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka dalam tempoh 24 jam, seperti dituntut.
Menurut Encik Muhyiddin lagi, dokumen yang dikemukakan PM Anwar pada Khamis (20 Jul) juga bukan berkait dengan pelupusan hutang peneroka Felda, sebaliknya ia berkenaan dengan sukuk.
Justeru, Encik Muhyiddin menegaskan pendedahan dokumen tersebut membuktikan beliau bercakap benar, manakala Encik Anwar didakwa telah berbohong dan memfitnahnya.
"Saya pun pernah berkali-kali menjelaskan sebelum ini bahawa dokumen yang Anwar tandatangan itu adalah berkenaan sukuk bukan pelupusan hutang peneroka Felda.
"Siaran Media Kementerian Kewangan pada hari ini juga mengesahkan ia berkenaan jaminan kerajaan sebanyak RM9.9 bilion (S$2.8 bilion) dan bukan pelupusan hutang peneroka Felda sebanyak RM8.3 bilion (S$2.4 bilion) yang telah pun saya selesaikan pada tahun 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis, dipetik daripada Astro Awani.
Mengulas lanjut, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa dokumen sukuk yang didedahkan turut menunjukkan Encik Anwar tidak memahami kandungan dokumen yang ditandatanganinya sebagai Menteri Kewangan.
Keadaan itu, jelas Encik Muhyiddin disifatkan sebagai 'bahaya'.
"Entah apa lagi dokumen atau perjanjian yang dia tandangan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dia tidak faham atau tidak tahu isi kandungannya.
"Jelas Anwar tidak layak untuk kekal sebagai Perdana Menteri.
"Lagi lama Malaysia ditadbir oleh kerajaan Anwar, lagi besar mudaratnya kepada rakyat," tambah Encik Muhyiddin lagi, lapor Astro Awani.
Menurut laporan Astro Awani, Encik Anwar pada Khamis mengemukakan sebahagian dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) terkait jaminan kerajaan Felda yang telah ditandatanganinya.
Dokumen berkenaan didedahkan susulan tuntutan Encik Muhyiddin dalam surat bertarikh 18 Julai menerusi firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership.
Dalam tuntutan tersebut, Encik Muhyiddin antara lain menuntut agar Encik Anwar menarik balik semua kenyataan fitnah tersebut dan memadamkan semua penyiaran kenyataan fitnah dalam tempoh 24 jam selepas menerima surat berkenaan.
Beliau juga menuntut Encik Anwar membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis susulan kenyataan berunsur fitnah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.