Skip to main content

Singapura

NDR2025: Dr Faishal sambut baik penubuhan kampus khusus bagi SCIS

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2025: Dr Faishal sambut baik penubuhan kampus khusus bagi SCIS

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim (kanan) bersama Mufti Negara Dr Nazirudin Nasir (tengah) di luar auditorium ITE Ang Mo Kio pada 17 Ogos 2025. (Gambar: Facebook/Dr Faishal Ibrahim)

Diterbitkan : 18 Aug 2025 12:47PM Dikemas Kini : 18 Aug 2025 01:03PM
SINGAPURA: Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Lawrence Wong dalam ucapan Bahasa Melayu beliau semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad malam (17 Ogos).

Beliau berkata demikian menerusi catatannya di laman Facebook pada Isnin.

Dalam ucapannya dalam Bahasa Melayu, PM Wong merakamkan penghargaan kepada masyarakat Melayu/Islam yang memilih untuk menjadi “orang Singapura” dan memainkan peranan penting dalam perjalanan Singapura sepanjang 60 tahun yang lalu.

PM Wong juga menekankan iltizam pemerintah untuk menyokong aspirasi masyarakat Melayu/Islam, termasuk melestarikan budaya dan warisan unik masyarakat ini.

Misalnya, Taman Warisan Melayu bakal dilengkapi dengan galeri-galeri dan program-program baharu yang akan mempamerkan kekayaan dan keindahan budaya Melayu Singapura apabila dibuka semula tahun hadapan.
Dr Faishal juga menzahirkan rasa besar hati dengan pengumuman PM Wong mengenai penubuhan kampus khusus bagi Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang akan dibina sebelah kampus Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) di Rochor.

Ini sekali gus mewujudkan peluang bagi para pelajar berinteraksi dan memperkaya kehidupan kampus mereka, tambah beliau.
"Interaksi sebegini adalah penting bagi melahirkan asatizah generasi baharu yang mampu membimbing masyarakat Islam dalam persekitaran berbilang budaya di Singapura," kata Dr Faishal.

Dr Faishal akur turut berasa terharu dengan 'Semangat Singapura', yang disentuh PM Wong dalam ucapan Bahasa Inggerisnya.

'Semangat Singapura' melambangkan tekad bersama untuk mengatasi cabaran, keyakinan terhadap masa hadapan, dan kepercayaan antara satu sama lain.

"Saya amat terharu dengan semangat sedemikian. Semangat inilah yang akan membawa kita maju bersama untuk melakar Kisah Singapura seterusnya," kata beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita