NDR2025: Jumlah pelajar SCIS dijangka bertambah, perlu ada kampus sendiri: Mufti
- Mempunyai kampus sendiri akan membolehkan Kolej Pengajian Islam Singapura menerima lebih ramai pelajar kelak.
- Beliau juga berkata pemilihan lokasi iaitu bersebelahan dengan kampus baharu Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) akan memudahkan pertukaran ilmu dan perspektif antara para penuntut kedua-dua institusi itu.
- Dalam tahun ketiga dan keempat, para penuntut SCIS boleh mengikuti modul-modul yang ditawarkan SUSS sekiranya mereka memilih aliran Sains Kemasyarakatan.
- Bagi aliran Pengajian Islam pula, SCIS akan bekerjasama dengan tiga institusi terulung iaitu Dar Ifta' Al-Misriyyah di Mesir, Universiti Jordan dan Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi.
Mufti Negara, Dr Nazirudin Nasir yang juga merupakan anggota Panel Penasihat SCIS dan ketua Jawatankuasa Kemudi SCIS mengulas tentang keputusan untuk membangunkan kampus sendiri bagi SCIS dan bukan lagi di kampus MUIS di Masjid Bencoolen seperti yang diumumkan sebelum ini.
Sebaliknya, kampus di bangunan Masjid Bencoolen itu akan hanya menjadi lokasi sementara SCIS.
Apabila SCIS menerima kohort pertama seramai 60 pelajar pada 2028, mereka akan mengikuti pengajian di Bencoolen dahulu.
Hanya setelah kampus di Rochor itu siap dibangunkan kelak, SCIS akan berpindah ke sana.
"Pada peringkat awal, kami menjangkakan jumlah pelajar dan keperluan di Bencoolen itu dapat menampung jumlah pelajar dan juga keperluan mereka untuk pengajian Islam tapi kami menjangkakan pada masa-masa akan datang, jumlah pelajar akan berkembang lebih ramai lagi dan mereka memerlukan ruang yang lebih besar dan prasarana serta keperluan pengajian yang lebih menyeluruh. Oleh demikian, ia memerlukan kepada kampus yang tetap yang lebih besar," kongsi Dr Nazirudin kepada wartawan Nurhelmy Hakim.
LOKASI SEBELAH SUSS BOLEHKAN PERTUKARAN KEMAHIRAN ANTARA KEDUA-DUA INSTITUSI
Beliau juga berkata pemilihan lokasi iaitu bersebelahan dengan kampus baharu Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) akan memudahkan pertukaran ilmu dan perspektif antara para penuntut kedua-dua institusi itu.
Dr Nazirudin berkata ini juga dapat menyokong pembangunan keupayaan para penuntut untuk memahami peranan agama dalam konteks Singapura.
"Kami berharap juga kedudukan yang dekat dengan SUSS itu akan membolehkan pertukaran kemahiran di antara kedua-dua institusi. Sebagai contoh Kolej Pengajian Islam Singapura, kami telah membina keupayaan dan kemahiran dalam memahami peranan agama dalam konteks masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama dan saya rasa ia adalah satu kepakaran, kemahiran dan bidang pengajian yang dapat memperkayakan lagi bukan hanya bagi pelajar asatizah kita ataupun pelajar kolej tetapi juga bagi pelajar SUSS," jelas Dr Nazirudin.
"Ada banyak persamaan dalam minat ataupun kepentingan kedua-dua institusi dalam aspek tersebut dan kedudukan yang berdekatan itu akan membolehkan dan mempermudahkan lagi pertukaran kepakaran, pertukaran kemahiran dan juga perspektif di kalangan para pelajar dan juga di kalangan tenaga pengajar dan juga institusi," tambahnya.
Peranan SUSS itu juga lebih genting lagi kata Dr Nazirudin untuk mempersiapkan para asatizah dengan kemahiran untuk tangani cabaran-cabaran lebih rumit akan datang.
"Ia merupakan pertimbangan bagi keperluan pembangunan kepimpinan asatizah dan kepimpinan agama pada masa depan. Kami lihat bahawa fokus Kolej Pengajian Islam Singapura tetap pada pengajian Islam itu sendiri tetapi dalam kita melihat perkembangan isu-isu semasa dan masa akan datang, cabaran-cabaran yang lebih rumit, lebih kompleks dan mempunyai pelbagai dimensi," ujar Dr Nazirudin.
"Ia memerlukan kepada kepakaran, kemahiran asatizah kita dan juga pelajar-pelajar masa depan dalam bidang sains kemasyarakatan dan bidang dan disiplin-disiplin lain dan di sini peranan SUSS amat kritikal kerana ia membantu dalam kokurikulum dan begitu juga pendedahan bagi pelajar-pelajar kami di Kolej Pengajian Islam Singapura sama ada dalam bilik darjah ataupun seminar, kelas ataupun di luar," tambahnya.
Dalam tahun ketiga dan keempat, para penuntut SCIS boleh mengikuti modul-modul yang ditawarkan SUSS sekiranya mereka memilih aliran Sains Kemasyarakatan.
Bagi aliran Pengajian Islam pula, SCIS akan bekerjasama dengan tiga institusi terulung iaitu Dar Ifta' Al-Misriyyah di Mesir, Universiti Jordan dan Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.