Skip to main content

Singapura

Nahas berangkai Tampines: Pemandu mengaku langgar lampu merah pada 129km sejam

Seorang pemandu yang terlibat dalam nahas maut membabitkan beberapa kenderaan di Tampines mengaku bersalah di mahkamah pada Khamis (6 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Nahas berangkai Tampines: Pemandu mengaku langgar lampu merah pada 129km sejam

Muhammad Syafie Ismail, pemandu yang terlibat dalam nahas membabitkan beberapa kenderaan di Tampines, tiba di Mahkamah Negara pada 6 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 12:07PM
SINGAPURA: Seorang pemandu yang terlibat dalam nahas maut membabitkan beberapa kenderaan di Tampines mengaku bersalah di mahkamah pada Khamis (6 Ogos).

Dia turut mengaku melanggar lampu isyarat merah pada kelajuan sekurang-kurangnya 129 kilometer sejam sebelum merempuh kenderaan-kenderaan yang sedang melintasi sebuah persimpangan. Nahas tersebut mengorbankan seorang pelajar berusia 17 tahun dan seorang wanita berusia 57 tahun.
Beberapa kenderaan yang terbabit dalam nahas berangkai itu, yang berlaku pada waktu sibuk pada 22 April 2024, dipandu oleh ibu bapa yang sedang menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Seramai 10 orang turut cedera.

Sebelum nahas itu berlaku, Muhammad Syafie Ismail telah menurunkan seorang penumpang GrabHitch di Tampines Road. Apabila sebuah lagi kenderaan memotongnya, dia berasa marah lalu memecut sehingga sekurang-kurangnya 122 kilometer sejam untuk memotong semula kenderaan tersebut secara berbahaya.

Ketika memandu secara berbahaya dengan bertukar-tukar lorong di Bedok Reservoir Road, dia hampir melanggar seorang penunggang motosikal, dan bergesel dengan kenderaan yang dipotongnya, namun terus memandu.

Kira-kira pukul 7.00 pagi, Syafie tiba di persimpangan Bedok Reservoir Road, Tampines Avenue 1 dan Tampines Avenue 4, di mana lampu isyarat merah sudah terpancar selama sekurang-kurangnya 26 saat.

Dia terus memandu terus ke persimpangan tersebut pada kelajuan sekurang-kurangnya 129 kilometer sejam, meskipun kenderaan-kenderaan yang mempunyai hak untuk berlalu sedang melintasi persimpangan itu dari kedua-dua arah.

Syafie merempuh tiga kenderaan, yang kemudian berpusing sebelum melanggar sebuah van dan sebuah bas. Seorang pelajar berusia 17 tahun yang berada dalam salah sebuah kenderaan yang berpusing itu tersepit di bawah sebuah lagi kenderaan dan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang menyebabkan beberapa tulangnya patah.

Bapa pelajar itu pengsan selepas kenderaannya terbalik. Namun, apabila beliau sedar di hospital dan dimaklumkan bahawa anak perempuannya telah meninggal dunia, beliau tidak dapat menahan sebak lalu menangis.
Mahkamah mengeluarkan perintah larangan penerbitan bagi melindungi identiti beberapa orang mangsa.

Syafie, seorang warga Singapura berusia 45 tahun, mengaku bersalah atas tiga tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, menyebabkan kecederaaan parah dan menyebabkan kecederaan. Beberapa tuduhan lain akan turut diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Mahkamah diberitahu bahawa beberapa mangsa disahkan mengalami gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) selepas nahas tersebut.

Ibu kepada pelajar berusia 17 tahun yang terkorban itu turut mengalami gangguan kemurungan yang teruk.

Beliau terlalu merindui anak perempuannya dan mengelakkan diri daripada melalui persimpangan tersebut, malah pernah bertengkar dengan seorang pemandu teksi kerana pemandu tersebut melalui kawasan itu.

Beliau turut berhenti kerja, tidak lagi mempunyai tenaga untuk melakukan kerja-kerja rumah dan sukar memenuhi keperluan anak-anaknya yang lain.

Prosiding hukuman ditangguhkan ke tarikh lain untuk memberi masa kepada pihak pembela menyediakan hujahan mitigasi dan hukuman, kerana pihak pendakwa hanya mengemukakan hujahan mereka beberapa hari lebih awal.

Bagi kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, Syafie boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan diharamkan memandu.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita