Pemandu dituduh cetus kemalangan berantai di Tampines pada 2024 didakwa dengan tuduhan baharu
Pemandu yang didakwa atas kemalangan melibatkan pelbagai kenderaan di Tampines tahun lalu yang mengorbankan dua orang, termasuk seorang pelajar Maktab Rendah Temasek, telah didakwa dengan tuduhan baharu pada Isnin (9 Jun).

Muhammad Syafie Ismail tiba di Mahkamah Negara pada 9 Jun 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
SINGAPURA: Pemandu yang didakwa atas kemalangan melibatkan pelbagai kenderaan di Tampines tahun lalu telah didakwa dengan tuduhan baharu pada Isnin (9 Jun).
Kejadian itu mengorbankan dua orang, termasuk seorang pelajar Maktab Rendah Temasek.
Muhammad Syafie Ismail kini juga dikenakan tuduhan memandu dengan berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah pada pemandu van Chia Tong Chai, 65 tahun, dan pemandu kereta, Muhammad Azril Mahmood, 49 tahun.
Syafie tidak membuat sebarang pengakuan di mahkamah. Dia akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 26 Jun untuk perbicaraan seterusnya.
Tuduhan baharu itu menjadikan jumlah tuduhan terhadap Syafie kini sebanyak lima di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya bagi kejadian pada 22 April 2024, di mana dua orang maut dan beberapa lagi orang cedera.
Kemalangan berantai itu berlaku di persimpangan antara Tampines Avenue 1 dan Tampines Avenue 4, melibatkan beberapa kereta, van dan bas mini.
Syafie, 44 tahun, pada awalnya didakwa dengan satu tuduhan setiap satu iaitu memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, memandu dengan berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan, memandu secara berbahaya dan gagal berhenti selepas berlaku kemalangan.
Rakaman kejadian itu mendapat perhatian seluruh negara.
Syafie, warga Singapura, dipercayai memandu secara melulu di Bedok Reservoir Road menghala ke Tampines Avenue 4 sekitar 7.00 pagi, pada 22 April 2024.
Dia dipercayai menukar lorong secara mengejut di jalan raya dua lorong itu untuk memotong sebuah kereta di sebelah kanannya, mengakibatkan "perlanggaran pada sebelah tepi kenderaan tersebut". Rempuhan itu menyebabkan kenderaan yang satu lagi itu membelok ke kiri dan mengikis tayarnya di tepi jalan. Syafie gagal berhenti dan memberikan butirannya selepas kemalangan tersebut.
Menurut dokumen mahkamah, dia kemudian gagal berhenti di lampu isyarat merah dan bertembung dengan tiga kereta.
Seorang pemandu dan seorang budak lelaki berusia 11 tahun dalam sebuah kereta cedera bersama seorang lagi pemandu.
Rempuhan itu dipercayai menyebabkan salah sebuah kereta itu berpusing dan melanggar sebuah van sebelum terbalik. Salah seorang yang meninggal dunia akibat kemalangan itu ialah pelajar Maktab Rendah Temasek, Afifah Munirah Muhammad Azril, 17 tahun, yang berada di dalam kereta tersebut.
Seorang lagi yang maut dalam kemalangan itu ialah seorang penumpang dalam van yang dipandu oleh Encik Chia, pekerja syarikat kawalan perosak berusia 57 tahun, Norzihan Juwahib. Seorang lagi penumpang turut cedera.
Van itu kemudian melanggar sebuah bas mini dan mencederakan seorang budak lelaki berusia 11 tahun di dalamnya.
Menurut penyenaraian mahkamah, Syafie terlibat dalam dua saman sivil atas kecuaian berhubung kemalangan dengan pemandu dan penumpang van itu.
Jika disabitkan kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, Syafie boleh dihukum penjara antara dua hingga lapan tahun dan tidak lagi layak memandu semua kelas kenderaan.
Bagi kesalahan memandu secara berbahaya yang menyebabkan kecederaan, dia boleh didenda sehingga S$10,000, atau dihukum penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, dan tidak layak memandu semua kelas kenderaan.
Jika disabitkan kesalahan memandu secara berbahaya, dia boleh didenda sehingga S$5,000, dihukum penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Kesalahan gagal berhenti selepas berlaku kemalangan membawa hukuman denda maksimum S$1,000, hukuman penjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan memandu secara berbahaya yang menyebabkan kecederaan parah, dia boleh dihukum penjara antara satu hingga lima tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.