Skip to main content

Singapura

Nahas Tampines: Suspek didakwa atas 4 kesalahan; diberkas selepas keluar hospital

Seorang pemandu berusia 42 tahun didakwa di mahkamah pada Khamis (25 April) atas kemalangan melibatkan berbilang kenderaan di Tampines pada Isnin lalu yang meragut dua nyawa.

Anggaran Waktu Membaca:
Nahas Tampines: Suspek didakwa atas 4 kesalahan; diberkas selepas keluar hospital
Diterbitkan : 25 Apr 2024 11:29AM Dikemas Kini : 25 Apr 2024 01:29PM
SINGAPURA: Seorang pemandu berusia 42 tahun didakwa di mahkamah pada Khamis (25 April) atas kemalangan melibatkan berbilang kenderaan di Tampines pada Isnin lalu yang meragut dua nyawa.

Muhammad Syafie Ismail berdepan empat tuduhan di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya:

- Memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian
- Memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan
- Memandu secara berbahaya dan gagal menghentikan kenderaannya selepas berlaku kemalangan

Mediacorp difahamkan bahawa Syafie sedang memandu kereta Saab berwarna hitam, yang dirakam kamera dalam kenderaan, memandu dengan laju dan menggesel bahagian tepi sebuah kereta berwarna putih sebelum menghampiri sebuah persimpangan pada Isnin.

Syafie diberkas pada Rabu selepas dia dibenarkan keluar hospital.

Polis menyatakan pada Rabu (24 Apr) bahawa lesen memandunya juga telah digantung dan siasatan sedang dijalankan bagi kesalahan-kesalahan lain.

Jika didapati bersalah kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, Syafie boleh dihukum penjara sehingga lapan tahun, dengan hukuman minimum selama dua tahun, dan diharamkan daripada memandu semua jenis kenderaan.
Sesiapa yang didapati memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, atau didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali dan diharamkan daripada memandu semua jenis kenderaan.

Sesiapa didapati bersalah kerana memandu secara berbahaya boleh dihukum penjara sehingga 12 bulan, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kerana gagal menghentikan kenderaan selepas berlaku kemalangan, Syafie boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$1,000 atau dikenakan kedua-dua hukuman.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita