Persimpangan trafik di mana nahas maut berlaku di Tampines patuhi piawai keselamatan antarabangsa: MOT
Persimpangan trafik di Tampines di mana dua orang terbunuh menyusuli kemalangan melibatkan berbilang kenderaan telah direka mengikut piawai keselamatan antarabangsa, menurut Menteri Negara Kanan Pengangkutan Amy Khor pada Selasa (7 Mei).
(Gambar: CNA)
Persimpangan antara Tampines Avenue 1 dengan Avenue 4 meliputi garis penglihatan yang mencukupi untuk pengguna jalan raya dapat melihat antara satu sama lain dengan jelas, dan persimpangan jalan, lorong dan tanda anak panah yang sesuai turut ditandakan dengan jelas, kata Dr Khor di Parlimen.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan yang diajukan oleh beberapa Anggota Parlimen (AP) mengenai keselamatan di persimpangan trafik.
Kemalangan jalan raya pada 22 Apr itu menyebabkan kematian pelajar Maktab Rendah Temasek, Afifah Munirah Muhammad Azril berusia 17 tahun dan Norzihan Juwahib, 57 tahun, seorang pekerja syarikat kawalan perosak.
Lagi enam yang cedera, termasuk Muhammad Syafie Ismail, 42 tahun, yang didakwa dengan empat kesalahan termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Encik Gerald Giam (WP-Aljunied) bertanya sama ada terdapat rancangan untuk membina lebih banyak laluan pejalan kaki bawah tanah supaya pejalan kaki mempunyai alternatif yang lebih selamat daripada melintasi persimpangan yang sibuk.
Dr Khor berkata, Kementerian Pengangkutan (MOTY) belum menerima maklum balas mengenai isu keselamatan di persimpangan trafik di Tampines.
“Antara 2019 hingga 2023, tiada kemalangan jiwa dengan kecederaan parah atau kematian di persimpangan itu,” katanya.
"Kami juga telah memeriksa persimpangan tersebut menyusuli kemalangan itu dan kami tidak fikir terdapat keperluan untuk mempertingkatkan lagi atau melaksanakan langkah-langkah untuk meningkatkan keselamatan di persimpangan tersebut."
Beliau bagaimanapun berkata sementara menunggu siasatan polis mengenai kemalangan itu, akan ada semakan bagi menentukan sama ada langkah selanjutnya perlu dilaksanakan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya.
INISIATIF UNTUK TINGKATKAN KESELAMATAN DI JALAN RAYA
Dr Khor berkata bahawa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan terus mengkaji, membangunkan dan melaksanakan program untuk meningkatkan keselamatan jalan raya, termasuk:
- Pelaksanaan secara progresif anak panah merah-kuning-hijau untuk menggantikan selekoh kanan mengikut budi bicara di lebih 1,200 persimpangan trafik, yang telah menunjukkan penurunan 40 peratus pada jumlah kemalangan jalan raya
- Pelaksanaan 371 Zon Sekolah dan 40 Zon Warga Emas di kawasan-kawasan berhampiran sekolah dan di mana terdapat jumlah pejalan kaki warga emas yang tinggi
- Inisiatif Laluan Mesra untuk menjadikan perjalanan harian ke kemudahan utama di kawasan-kawasan kejiranan lebih selamat
Dr Khor menambah bahawa LTA juga menggunakan data daripada sumber-sumber seperti laporan kemalangan trafik daripada Polis Trafik serta maklum balas daripada orang ramai untuk mereka bentuk dan melaksanakan peningkatan keselamatan jalan raya.
LTA telah memperkenalkan sekitar 1,000 daripada peningkatan di merata Singapura setiap tahun termasuk bonggol dan tanda jalan 3D.
LTA juga menjalankan pemeriksaan untuk memastikan sesebuah kenderaan selamat digunakan di jalan raya dan menyokong usaha Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk mendidik dan mendampingi para pemandu mengenai amalan-amalan keselamatan jalan raya.
"Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab kita bersama, dan kami menggesa semua pengguna jalan raya supaya memainkan peranan masing-masing, sedang kita mempertingkatkan usaha untuk menjadikan infrastruktur kita lebih selamat untuk semua orang," kata Dr Khor.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.