Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja perempuan 17 tahun antara 2 maut susuli kemalangan di Tampines

Lapan orang dibawa ke hospital pada Isnin (22 Apr) menyusuli satu kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di Tampines.

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja perempuan 17 tahun antara 2 maut susuli kemalangan di Tampines
Diterbitkan : 22 Apr 2024 02:19PM Dikemas Kini : 22 Apr 2024 05:24PM
SINGAPURA: Dua individu maut menyusuli satu kemalangan berangkai di persimpangan antara Tampines Avenue 1 dan Tampines Avenue 4 pada Isnin (22 Apr).

Mangsa yang maut terdiri daripada seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, yang merupakan penumpang sebuah kereta dan seorang wanita berusia 57 tahun yang merupakan penumpang sebuah van, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedar dan kemudian disahkan meninggal dunia.

Seorang pemandu kereta berusia 42 tahun sedang membantu siasatan polis. Dia merupakan antara enam lain yang dibawa ke hospital berikutan nahas tersebut, yang melibatkan empat buah kereta, sebuah van dan sebuah bas mini.

Rakaman video kemalangan itu yang tular di media sosial menunjukkan sekurang-kurangnya enam kenderaan rosak di sebuah persimpangan yang sibuk dengan serpihan bertaburan di antara kenderaan itu. Salah satu daripada kenderaan itu berada dalam keadaan terbalik.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia dimaklumkan tentang kemalangan di persimpangan Tampines Avenue 1 dan Tampines Avenue 4 pada sekitar pukul 7.07 pagi Isnin.

"Apabila SCDF tiba di tempat kejadian, seorang individu terbaring di jalan raya dengan salah satu kakinya terperangkap di bawah roda kereta," katanya sambil menambah peralatan menyelamat hidraulik digunakan untuk mengeluarkan kaki individu itu.
Gambar: Calvin Oh/CNA
Gambar: Calvin Oh/CNA
Empat orang dihantar ke Hospital Besar Changi, dua ke Hospital Tan Tock Seng dan dua ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK, menurut SCDF.

"Beberapa orang awam, termasuk seorang jururawat dan dua pegawai SCDF yang tidak bertugas menghulurkan bantuan kepada mereka yang cedera dalam kemalangan itu," menurut SCDF.

"SCDF akan menghubungi mereka untuk memberi pengiktirafan kepada mereka atas semangat kemasyarakatan yang ditonjolkan."
Gambar: Calvin Oh/CNA
Gambar: Calvin Oh/CNA
Dalam rakaman selepas berlaku kemalangan yang dimuat naik ke laman Facebook SG Road Vigilante, sebuah kereta berwarna hitam kelihatant dipandu laju sebelum melanggar bahagian tepi sebuah kereta berwarna putih sebelum tiba di persimpangan.

Beberapa saat kemudian, beberapa kenderaan kelihatan remuk di persimpangan itu termasuk dua buah van.

Dalam rakaman video itu, sebuah kereta berwarna hitam kelihatan dalam keadaan terbalik.

Apabila Mediacorp ke tempat kemalangan itu pada kira-kira pukul 11.00 pagi, beberapa kenderaan yang yang terjejas masih di jalan raya walaupun kereta yang terbalik itu telah dipindahkan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan