Ed Sheeran sifatkan keadaan di Gaza 'dahsyat dan tidak boleh dibenarkan' semasa mulakan konsert solo di Philadelphia
Penyanyi dan penulis lagu Britain Ed Sheeran membuka konsert solonya di Philadelphia pada Sabtu (19 Sep) dengan menyentuh keadaan di Gaza, yang disifatkannya sebagai "dahsyat dan tidak boleh dibenarkan".
Para penunjuk perasaan pro-Palestin mengadakan tunjuk perasaan berhampiran lokasi konsert Ed Sheeran di Lincoln Financial Field, Philadelphia, Pennsylvania, pada 19 September 2026. Penyanyi rap Macklemore digugurkan daripada jelajah itu selepas membuat kenyataan di atas pentas mengkritik tindakan pemerintah Israel di Gaza. (Gambar: REUTERS/Eduardo Munoz)
"Hati saya hancur melihat skala kemusnahan dan kehilangan nyawa orang awam, nyawa kanak-kanak," katanya semasa konsert di Lincoln Financial Field.
Sheeran turut berkata beliau mahu muzik dan persembahannya membawa mesej perpaduan dan kemanusiaan, bukan politik.
Beliau kemudian menyentuh kontroversi yang tercetus selepas beberapa artis pembuka tirai menarik diri daripada jelajahnya sebagai tanda solidariti dengan penyanyi rap Amerika, Macklemore.
Macklemore digugurkan daripada jelajah itu selepas membuat kenyataan menyokong Palestin di atas pentas.
Macklemore, yang pada asalnya dijadual menjadi artis pembuka tirai bagi persembahan Sheeran di Amerika, digantikan kumpulan Denmark Lukas Graham dan penyanyi Ireland Aaron Rowe sebelum kedua-duanya turut menarik diri.
Finneas, abang dan rakan kolaborasi muzik Billie Eilish, yang dijadual menyertai jelajah Sheeran di Amerika Selatan lewat tahun ini, turut menarik diri pada awal minggu ini.
Setakat petang Sabtu (19 Sep), tiket bagi konsert Philadelphia itu masih dijual dan laman Sheeran tidak menyenaraikan sebarang artis pengganti.
PENUNJUK PERASAAN BERHIMPUN DI LUAR STADIUM
Sekitar 50 penunjuk perasaan pro-Palestin berhimpun di luar stadium sebelum konsert bermula.
Seorang penduduk Philadelphia, Hillary Steinberg, 34 tahun, berkata beliau membeli tiket setahun lalu tetapi mendapatkan bayaran balik dan sebaliknya menyertai tunjuk perasaan tersebut kerana kecewa Sheeran tidak mengambil pendirian.
Kontroversi itu bermula selepas Macklemore digugurkan daripada jelajah tersebut susulan laungannya "Bebaskan Palestin!" semasa membuat persembahan di New Jersey pada 5 September.
Sheeran berkata beliau tidak bertanggungjawab terhadap keputusan tersebut.
Keputusan itu dibuat selepas desakan Robert Kraft, pemilik pasukan New England Patriots. Syarikat milik Encik Kraft memiliki Stadium Gillette, salah satu lokasi yang dijadualkan bagi jelajah Sheeran.
Dalam tempoh beberapa jam selepas Sheeran mengeluarkan kenyataan pada Selasa (15 Sep), para artis pembuka tirainya mula menarik diri.
Seorang penonton konsert, Diane Savitz, 53 tahun, pula berkata beliau tidak berpendapat Sheeran melakukan sebarang kesalahan dan konsert bukan tempat untuk membincangkan politik.
Menurutnya, muzik seharusnya menyatukan orang ramai.
SUMBANGAN UNTUK PALESTIN
Macklemore pada Rabu (16 Sep) berkata beliau akan menyumbangkan AS$1 juta (S$1.28 juta) bagi menyokong usaha bantuan untuk rakyat Palestin dan meminta Encik Kraft menyumbangkan jumlah yang sama.
Seorang jurucakap Encik Kraft berkata hartawan itu dan Sheeran masing-masing bersetuju menyumbangkan AS$2 juta (S$2.56 juta), namun tidak menyatakan ke mana wang tersebut akan disalurkan.
Wakil Sheeran belum memberikan maklum balas terhadap beberapa permintaan untuk mengulas mengenai perkara itu.
Menurut Pollstar pada Mei lalu, 'Loop Tour' merupakan jelajah dengan kutipan tertinggi di dunia, dengan purata kutipan lebih AS$7 juta bagi setiap bandar.
Sehingga akhir 2025, Sheeran merupakan artis konsert nombor tiga dengan pendapatan tertinggi sejak 2021.
SHEERAN: KEPUTUSAN DIBUAT PENGANJUR
Sheeran sebelum ini berkata pihak penganjur jelajah bertanggungjawab terhadap keputusan menggugurkan Macklemore.
Dalam kenyataannya pada Selasa (15 Sep), pemenang Grammy itu menegaskan beliau tidak mahu terlibat dalam perbincangan mengenai perang di Gaza kerana para peminat tidak datang ke persembahannya untuk mendengar mengenai isu tersebut.
Beliau turut berkata sudah berbincang panjang dengan pihak lokasi persembahan sepanjang minggu untuk cuba mencari jalan penyelesaian sebelum Macklemore digugurkan.
Sheeran menegaskan beliau tidak akan sengaja mengecewakan para peminat atau meninggalkan kru jelajah serta pihak lain yang bergantung kepadanya untuk mata pencarian.
Walaupun penganjur dan pemilik lokasi mempunyai kuasa besar dalam sesebuah jelajah konsert, para pakar industri berkata artis sebesar Sheeran lazimnya mempunyai kata putus mengenai perkara yang melibatkan persembahan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.