Skip to main content

Dunia

Mural Macklemore dilukis di Gaza selepas digugurkan daripada jelajah Ed Sheeran

Para artis di Gaza City menghasilkan mural penyanyi rap Amerika Macklemore yang dibaluti bendera Palestin, selepas digugurkan daripada jelajah penyanyi Britain Ed Sheeran.

Anggaran Waktu Membaca:
Mural Macklemore dilukis di Gaza selepas digugurkan daripada jelajah Ed Sheeran

Rakyat Palestin berjalan berhampiran mural penyanyi rap Amerika Macklemore di tengah-tengah bangunan yang musnah akibat perang di Gaza City pada 18 September 2026. (Gambar: REUTERS/Dawoud Abu Alkas)

Diterbitkan : 20 Sep 2026 08:31AM
  • Artis Gaza Anne Redwan dan Qusai al-Helo melukis mural Macklemore di Gaza City sebagai tanda terima kasih atas sokongannya kepada Palestin.
  • Macklemore digugurkan daripada jelajah Ed Sheeran selepas mengkritik serangan Israel dan menyeru kebebasan Palestin, manakala Robert Kraft mempertahankan sekatan itu.
  • Kontroversi tersebut mendorong ikrar bantuan, termasuk AS$1 juta daripada Macklemore kepada enam kumpulan, janji sama oleh Ms Rachel, dan dakwaan sumbangan Sheeran.
  • Di Carikan Gaza, pembinaan semula belum bermula, penduduk bergantung kepada bantuan, dan pegawai menegaskan sokongan perlu berterusan serta menuju keamanan.
Dijana oleh AI
GAZA CITY/BAITULMAKDIS: Para artis di Gaza City menghasilkan mural penyanyi rap Amerika Macklemore yang dibaluti bendera Palestin, selepas digugurkan daripada jelajah penyanyi Britain Ed Sheeran.

Mural tersebut dilukis pada bongkah konkrit besar yang bersandar pada bangunan-bangunan yang musnah dan dikelilingi runtuhan di Gaza City.

Ia menggambarkan Macklemore, yang terkenal menerusi lagu "Thrift Shop", mengangkat penumbuk ke udara sambil dibaluti bendera Palestin.

"Terima kasih kerana menggunakan suara anda untuk Palestin," menurut tulisan pada mural tersebut.

Anne Redwan, 26 tahun, yang mereka bentuk dan menghasilkan mural itu bersama seorang lagi artis, Qusai al-Helo, berkata karya tersebut merupakan cara untuk menyampaikan penghargaan kepada Macklemore.

Beliau berkata sebagai seorang artis yang hidup dalam keadaan terkepung di Gaza, sokongan daripada pihak luar amat bermakna.

Macklemore, yang sejak sekian lama menyokong perjuangan Palestin, digugurkan daripada barisan artis bagi jelajah Ed Sheeran selepas membuat kenyataan di atas pentas mengkritik serangan tentera Israel di Carikan Gaza dan menyeru "Free Palestine".

Sheeran berkata Macklemore tidak dapat dikekalkan dalam jelajah itu selepas pemilik stadium enggan membenarkan penyanyi rap berkenaan membuat persembahan.

Jutawan Amerika Robert Kraft, pemilik Stadium Gillette di Massachusetts, pula berkata beliau menghalang Macklemore daripada membuat persembahan di stadium itu kerana mendakwa penyanyi rap tersebut mempunyai sejarah retorik dan imej anti-Yahudi.

Macklemore menafikan dakwaan tersebut.

SUMBANG AS$1 JUTA UNTUK GAZA

Kontroversi berhubung jelajah Sheeran itu turut mencetuskan beberapa ikrar sumbangan bagi membantu para penduduk Gaza.

Macklemore pada Rabu (16 Sep) mengumumkan akan menyumbangkan AS$1 juta (S$1.28 juta) daripada pendapatan bersihnya daripada jelajah itu kepada enam kumpulan bantuan yang menyokong Gaza.

Personaliti televisyen kanak-kanak Ms Rachel kemudian berikrar untuk menyumbang jumlah yang sama.

Encik Kraft pula mendakwa Sheeran memberitahunya bahawa penyanyi Britain itu akan menyumbangkan AS$2 juta (S$2.56 juta) bagi bantuan di rantau tersebut dan memintanya menyumbangkan jumlah yang sama.

Sheeran belum mengulas mengenai sebarang sumbangan.

Hampir setahun selepas gencatan senjata menamatkan pertempuran besar di Carikan Gaza, usaha pembinaan semula masih belum bermula.

Sebahagian besar bangunan musnah, manakala lebih dua juta penduduk kini berada di sekitar satu pertiga wilayah Carikan Gaza, kebanyakannya tinggal di khemah atau bilik yang sesak dalam bangunan yang rosak.

Rancangan yang diusahakan Amerika untuk menamatkan perang itu pula masih menemui jalan buntu, dengan para perunding belum mencapai persetujuan mengenai syarat pelucutan senjata Hamas dan pengunduran tentera Israel.

BANTUAN PERLU BERTERUSAN

Seorang pegawai agensi bantuan berkata perhatian daripada golongan artis boleh membantu meningkatkan sokongan kepada Gaza, dengan hampir semua penduduk bergantung kepada bantuan bagi mendapatkan makanan, air, rawatan perubatan dan tempat perlindungan.

Namun, seorang pegawai UNICEF, Toby Fricker, menegaskan bahawa bantuan perlu diberikan secara berterusan dan bukan hanya dalam tempoh tertentu.

Hussein Murtaja, yang mengendalikan sebuah kumpulan kemanusiaan di Gaza yang menyediakan sokongan kesihatan mental kepada kanak-kanak, berkata sokongan Macklemore lebih bermakna daripada jumlah wang yang disumbangkan.

Menurutnya, apabila artis yang mempunyai ramai pengikut mengetahui lebih lanjut mengenai perjuangan rakyat Palestin dan menyokong usaha mencapai penyelesaian politik serta keamanan, sokongan itu amat bermakna kepada penduduk Gaza.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita