Skip to main content

Hiburan

Artis, penganjur dan pemilik lokasi masing-masing berkuasa dalam kes jelajah Ed Sheeran

Anggaran Waktu Membaca:
Artis, penganjur dan pemilik lokasi masing-masing berkuasa dalam kes jelajah Ed Sheeran

Penyanyi dan penulis lagu Ed Sheeran membuat persembahan dalam acara “Ed Sheeran's Play: Live from New York” anjuran TikTok di Domino Square, Brooklyn, New York, pada 13 September 2025. (Gambar fail: Andy Kropa/Invision/AP)

Diterbitkan : 18 Sep 2026 03:15PM
Artists, organisers and venue owners each hold power in the Ed Sheeran tour case
  • The Ed Sheeran Loop Tour has come under pressure after Macklemore was dropped following remarks supporting Palestine at MetLife Stadium in New Jersey.
  • Four artists withdrew in solidarity, while Sheeran said the decision was made by the organisers and the event venues, not by him.
  • Messina Touring Group, stadium owners such as Robert Kraft, and the headlining artist each have influence, although that power is usually shared according to their respective roles.
  • Industry experts said a full cancellation has not been shown to be imminent, but if it happens, tour insurance, refunds and business relationships could be affected.
Dijana oleh AI
NEW YORK: Penganjur konsert mempunyai kuasa yang besar. Pemilik lokasi acara juga mempunyai kuasa, tetapi jarang memilih untuk menggunakannya. Artis yang mampu memenuhi stadium seperti Ed Sheeran pula lazimnya mempunyai kuasa untuk meluluskan segala perkara yang dilakukan atas nama mereka.

Itulah pandangan umum penggiat industri muzik yang bercakap dengan The Associated Press mengenai bagaimana jelajah berskala besar seperti jelajah Sheeran biasanya dikendalikan.

Jelajah Loop penyanyi itu kini berdepan masalah selepas empat artis menarik diri sebagai tanda solidariti dengan penyanyi rap Macklemore, yang digugurkan selepas membuat kenyataan menyokong Palestin di atas pentas di Stadium MetLife, New Jersey.

Sheeran berkata di Instagram bahawa keputusan itu dibuat oleh pihak penganjur dan beliau tidak mempunyai kuasa terhadapnya. Penganjur pula berkata mereka tiada pilihan kerana pihak lokasi acara tidak membenarkan Macklemore membuat persembahan.

Robert Kraft, pemilik hartawan pasukan New England Patriots dan Stadium Gillette, yang merupakan antara lokasi persinggahan jelajah yang masih dijadualkan, berkata dalam satu kenyataan bahawa keputusan menggugurkan Macklemore dibuat menyusuli kenyataan terbaharunya “serta sejarah retorik dan gambaran anti-Yahudi yang lebih luas”.

PENGANJUR DAN ARTIS BERKONGSI KUASA

Pihak penganjur merupakan pihak perniagaan utama dalam sesebuah jelajah. Bagi jelajah berskala besar, ia melibatkan syarikat seperti Messina Touring Group, penganjur jelajah Sheeran.

“Penganjur menyediakan dana, membayar semua artis dan berurusan dengan pihak lokasi acara. Mereka menyediakan modal, menjual tiket dan artis datang untuk membuat persembahan,” kata Ray Waddell, ketua pengarah kandungan bagi media dan persidangan di Oak View Group, sebuah syarikat pengurusan hiburan dan lokasi acara yang turut memiliki penerbitan perdagangan konsert Pollstar.

Sheeran berkata dalam catatan Instagramnya meskipun beliau cuba “membina jambatan” sepanjang minggu, “keputusan pihak lokasi acara dan penganjur adalah muktamad”.

Namun, adakah penganjur secara umumnya mempunyai kata putus mengenai siapa yang membuat persembahan?

“Jika anda membayar segala-galanya, ya, anda boleh membuat keputusan itu,” kata Encik Waddell. “Tetapi hampir tanpa pengecualian, penganjur mahu melakukan apa yang dikehendaki artis.”

Dean Sheldon Serwin, seorang peguam hiburan yang bekerja dalam industri muzik, berkata secara umumnya, “pada akhirnya, artis utama bertaraf bintang itu akan mempunyai kuasa untuk meluluskan segala-galanya”.

Kuasa artis pula berpunca daripada keupayaan mereka memenuhi arena dan stadium.

“Cara sebenar untuk menjana wang dalam industri muzik ialah memastikan tempat duduk dipenuhi penonton. Begitulah sejak dahulu dan akan kekal begitu,” kata Encik Serwin.

“Berapa banyak tiket yang anda boleh jual dan sejauh mana anda boleh menjualnya secara konsisten?”

Namun, walaupun hubungan urus niaga itu mungkin minimum bagi artis bertaraf Sheeran atau Ariana Grande, ia masih wujud.

“Apabila anda mahu membuat persembahan di lokasi yang anda inginkan, perlu ada tolak ansur,” kata Encik Serwin.

Lil Gary, seorang pengurus artis muzik yang pernah bekerja dalam pengurusan jelajah bagi artis termasuk Rolling Stones dan Eagles, berkata pemuzik yang mengadakan jelajah dan wakil mereka mahu mempunyai suara dalam “banyak perkara, terutama apabila melibatkan kawalan kreatif, tetapi apabila sampai kepada perkara-perkara kecil, tidak begitu banyak”.

Namun, katanya, artis akan memberikan perhatian besar kepada sesetengah perkara yang tidak berkaitan dengan muzik.

“Artis pada tahap tertentu sudah tentu akan menentukan bagaimana aspek keselamatan dikendalikan,” katanya sebagai contoh.

Menurut Encik Gary, berdasarkan pengalamannya, amat jarang artis pembuka tirai mempunyai sebarang pengaruh terhadap perjalanan atau nasib sesebuah jelajah.

“Artis pembuka tirai dalam jelajah Rolling Stones, sebahagian besarnya gembira kerana mendapat peluang berada di situ,” kata Encik Gary. “Mereka hanya bersiap, hadir dan menjalankan tugas.”

Encik Gary, Encik Waddell dan Encik Serwin tidak terlibat dalam jelajah Sheeran.

PERANAN PEMILIK STADIUM LAZIMNYA TIDAK MENONJOL

Lokasi acara dan pemiliknya seperti Kraft biasanya tidak banyak campur tangan, tetapi mereka mempunyai kuasa sekiranya memilih untuk menggunakannya, meskipun perkara itu jarang berlaku.

Encik Waddell berkata pengendali lokasi acara, seperti penganjur, biasanya berpengalaman dan boleh menjangkakan apa yang mungkin dilakukan atau dikatakan seseorang artis berdasarkan persembahan terdahulu.

“Saya tidak faham mengapa sesiapa terkejut memandangkan sejarah artis yang terlibat,” katanya. “Namun begitu, saya tidak tahu sama ada Robert Kraft benar-benar mengikuti perkembangan Macklemore.”

“Namun,” kata Encik Waddell, “beliau mendapat tahu mengenainya, beliau tidak menyukainya dan itu stadium miliknya.”

BAGAIMANA JIKA JELAJAH TERPAKSA DIBATALKAN?

Pembatalan jelajah konsert merupakan perkara biasa, tetapi lazimnya berpunca daripada faktor seperti kesihatan artis. Dalam keadaan terbaik, konsert akan dijadualkan semula dengan segera dan tiket yang sama masih boleh digunakan.

Tiada bukti kukuh bahawa keseluruhan jelajah Sheeran akan dibatalkan disebabkan isu artis pembuka tirai tersebut.

Namun, jika ia berlaku, beberapa syarikat insurans berkemungkinan terlibat dalam menangani kesannya.

Artis terbesar biasanya mempunyai syarikat insurans sendiri, begitu juga penganjur, bagi menguruskan bayaran balik kepada peminat dan membayar pihak yang berhak menerima bayaran berdasarkan kontrak.

Keadaan sedemikian boleh menyebabkan pihak-pihak saling menyalahkan dan hubungan perniagaan terjejas, tetapi Encik Waddell berkata “mereka akan menyelesaikannya kerana semua pihak mahu bekerjasama lagi pada masa depan”.
 
Sumber : AP/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita