Skip to main content

Hiburan

Macklemore digugurkan daripada jelajah Ed Sheeran; artis pembuka tirai tarik diri sebagai tanda solidariti

Jelajah Ed Sheeran di Amerika Utara dan Selatan berdepan masalah pada Selasa (15 Sep) selepas empat artis yang dijadual membuat persembahan menarik diri secara tiba-tiba sebagai tanda solidariti dengan penyanyi rap Macklemore, yang digugurkan daripada jelajah itu selepas membuat kenyataan menyokong Palestin di atas pentas.

Anggaran Waktu Membaca:
Macklemore digugurkan daripada jelajah Ed Sheeran; artis pembuka tirai tarik diri sebagai tanda solidariti

Penyanyi rap Macklemore ketika tampil dalam program Good Morning America di New York pada 22 Jul 2022 (kiri), dan Ed Sheeran di tayangan perdana filem F1 The Movie di London pada 23 Jun 2025. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 17 Sep 2026 03:40PM Dikemas Kini : 17 Sep 2026 03:44PM
  • Jelajah Ed Sheeran di Amerika Utara dan Selatan terganggu pada 15 September selepas Aaron Rowe, Beoga, Lukas Graham dan Finneas menarik diri sebagai solidariti dengan Macklemore.
  • Macklemore digugurkan selepas melaungkan “Free Palestine” pada 5 September di Stadium MetLife, New Jersey, ketika memperkenalkan lagu “Hind's Hall”.
  • Sheeran berkata keputusan itu dibuat penganjur dan pihak lokasi, bukan olehnya, sambil menegaskan beliau mahu mengekalkan konsert sebagai ruang muzik, bukan forum politik.
  • Kontroversi turut mengaitkan Robert Kraft, yang mempertahankan pembatalan atas alasan kenyataan Macklemore menyinggung masyarakat Yahudi, sementara tekanan terhadap Sheeran terus meningkat.
Dijana oleh AI
NEW YORK: Jelajah Ed Sheeran di Amerika Utara dan Selatan berdepan masalah pada Selasa (15 Sep) selepas empat artis yang dijadual membuat persembahan menarik diri secara tiba-tiba sebagai tanda solidariti dengan penyanyi rap Macklemore, yang digugurkan daripada jelajah itu selepas membuat kenyataan menyokong Palestin di atas pentas.

Beberapa jam selepas Sheeran memuat naik kenyataan di media sosial mengenai pengguguran Macklemore dan berkata keputusan itu dibuat pihak penganjur jelajah, artis Ireland Aaron Rowe dan Beoga, kumpulan Denmark Lukas Graham serta Finneas mengumumkan di Instagram bahawa mereka turut menarik diri.

Rowe dan Lukas Graham dijadual menggantikan Macklemore bagi baki persembahan Sheeran di Amerika Syarikat, manakala kumpulan muzik 'folk' Ireland Beoga sudah membuat persembahan beberapa lagu bersama Sheeran pada pertengahan setiap konsert, termasuk lagu yang ditulis bersama mereka.

Finneas, abang dan rakan kolaborasi muzik Billie Eilish, pula dijadual menyertai jelajah Sheeran di Amerika Selatan lewat tahun ini.

"Artis tidak seharusnya didiamkan apabila mereka bersuara membela golongan yang ditindas," tulis Finneas di Instagram.

"Saya memutuskan untuk menarik diri daripada tarikh jelajah saya yang akan datang bersama Ed Sheeran. Saya berdiri bersama Palestin dan rakyatnya."

TEKANAN TERHADAP SHEERAN MENINGKAT

Tindakan artis-artis tersebut meningkatkan tekanan terhadap Sheeran, yang cuba mengelakkan politik dan tidak memihak dalam perang Gaza dengan alasan para peminat tidak datang ke konsertnya untuk mendengar pandangan politik.

Rowe dan Beoga masing-masing merujuk kepada sejarah Ireland ketika menjelaskan keputusan mereka.

"Sebagai anggota pengasas gerakan Irish Artists for Palestine, kami merupakan aktivis yang komited memperjuangkan keadilan dan akan terus berbuat demikian," menurut Beoga.

Rowe menyifatkan Sheeran sebagai seorang sahabat dan berkata penyanyi serta penulis lagu Britain itu sudah mengubah hidupnya.

"Namun, sebagai rakyat Ireland, kami amat memahami genosid, kebuluran yang dipaksakan dan pendudukan ganas," katanya.

Beliau menambah bahawa beliau tidak boleh "berdiam diri dan membiarkan hartawan menggunakan kedudukan mereka untuk menyekat suara mereka yang berhak bersuara".

Lukas Graham, yang terkenal menerusi lagu 'Mama Said' dan '7 Years', pula mengucapkan terima kasih kepada Sheeran dan menyifatkan tindakan menarik diri sebagai "keputusan yang sukar".

"Wang tidak memberi anda hak untuk mengawal perbualan. Kekayaan seseorang tidak seharusnya menentukan siapa yang boleh bersuara atau penderitaan mana yang boleh kita akui," menurut kumpulan itu.

Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada peranan hartawan Robert Kraft dalam pengguguran Macklemore daripada jelajah berkenaan.

Permintaan untuk mendapatkan komen sudah dihantar kepada Sheeran dan penganjur jelajah, Messina Touring Group.

KONTROVERSI BERMULA SELEPAS MACKLEMORE DIGUGURKAN

Sheeran memberi respons terhadap pengguguran Macklemore selepas penyanyi rap itu membuat kenyataan menyokong Palestin di atas pentas semasa jelajah mereka, dengan menegaskan keputusan tersebut dibuat sepenuhnya oleh pihak penganjur.

Penyanyi Britain itu turut berkata beliau tidak mahu terlibat dalam perbincangan terbuka mengenai perang di Gaza.

"Pengguguran Macklemore daripada jelajah ialah keputusan penganjur, bukan keputusan saya," tulis Sheeran di Instagram pada Selasa.

"Saya tidak akan mengecewakan peminat yang sudah membuat perancangan, dan saya juga tidak akan meninggalkan kru jelajah serta artis pembuka tirai dan pemuzik lain yang bergantung kepada saya untuk pekerjaan dan mata pencarian."

Kenyataan Sheeran dibuat sehari selepas Macklemore berkata beliau digugurkan daripada 'Loop Tour' selepas melaungkan "Bebaskan Palestin! (Free Palestine!)" ketika membuat persembahan pada 5 September di Stadium MetLife, New Jersey, semasa memperkenalkan lagu 'Hind's Hall'.

Macklemore menulis di Instagram pada Isnin bahawa beberapa lokasi persembahan di Amerika Syarikat memaklumkan kepada penganjur bahawa beliau tidak akan dibenarkan membuat persembahan pembuka tirai bagi Sheeran.

Menurut Macklemore, langkah itu didorong Encik Kraft, pemilik pasukan New England Patriots NFL. Kraft Group milik beliau turut memiliki Stadium Gillette, tempat Patriots beraksi.

Dalam kenyataan pada Isnin, Encik Kraft berkata keputusan membatalkan persembahan Macklemore dibuat berikutan kenyataan terbaharunya "serta sejarah lebih luas retorik dan imej anti-Yahudi yang kami percaya sangat menyinggung dan menyakiti masyarakat Yahudi".

Wakil Encik Kraft tidak segera memberikan respons terhadap permintaan untuk mengulas mengenai tindakan artis lain yang menarik diri.

SHEERAN: "SAYA TIDAK BERSUBAHAT"

Semakin banyak pertubuhan dan pakar menyifatkan tindakan Israel dalam perang di Gaza sebagai genosid, satu tuduhan yang ditolak keras oleh Israel.

Macklemore pada asalnya dijadual membuat persembahan dalam lapan daripada baki 10 konsert jelajah stadium Sheeran, yang dijadual disambung semula pada Sabtu di Philadelphia.

Antara lokasi seterusnya ialah Stadium Gillette, Stadium Mercedes-Benz di Atlanta dan Stadium Lucas Oil di Indianapolis.

Dalam catatannya di media sosial, Sheeran berkata beliau "berbincang dengan pihak lokasi persembahan sepanjang minggu untuk cuba mencari jalan penyelesaian", tetapi keputusan pihak lokasi dan penganjur adalah muktamad.

Sheeran berkata beliau cuba menggunakan muzik untuk "menyatukan orang ramai daripada pelbagai latar belakang dan budaya".

Walaupun mempunyai pandangan peribadi, beliau memilih untuk tidak menyuarakannya secara terbuka kerana mereka yang datang ke konsertnya "tidak mengharapkan sebuah forum politik".

"Saya tidak bersubahat," tegasnya.

"Saya menghormati keteguhan Macklemore untuk berdiri dan bersuara lantang mengenai apa yang dipercayainya," tambah Sheeran.

"Namun, terdapat pelbagai pendekatan untuk mencapai matlamat yang sama: keamanan. Saya memilih untuk menggunakan platform saya sebagai ruang yang selamat, untuk mengekalkan diplomasi dan memastikan ruang perbincangan terus terbuka, bukan tertutup."
Sumber : AP/NU/nu
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita