NDR2025: Program pelatih redakan kebimbangan anak muda tentang pekerjaan, kekalkan kemahiran graduan

Program pelatih akan menyediakan peluang latihan untuk para lulusan dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti. (Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Program pelatih baharu akan dapat meredakan kebimbangan anak muda dalam mencari kerja dan meningkatkan lagi kemahiran mereka supaya kekal relevan.
Program yang dibiayai pemerintah itu akan menyediakan peluang latihan untuk para lulusan dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti.
Mengumumkan skim baharu itu dalam ucapannya dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan semalam (17 Ogos), Perdana Menteri Lawrence Wong berkata ia akan memberi peluang kepada para lulusan untuk menimba pengalaman bekerja.
Para peserta juga akan menerima elaun semasa menjalani latihan.
TINGKATKAN KEMAHIRAN, BUKA PELUANG PEKERJAAN DALAM JANGKA MASA PANJANG

AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal, yang baru menyertai Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) berkata, usaha itu penting kerana ia bukan hanya memberikan peluang untuk anak muda meningkatkan kemahiran mereka, bahkan membuka lagi peluang untuk kerjaya dalam jangka masa panjang.
"Yang penting adalah menerusi program pelatih ini, ia akan mengurangkan perasaan risau dalam kalangan ramai di antara anak muda kita apabila mereka mencari pekerjaan," kongsi Dr Wan Rizal kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Merujuk kepada program pelatih sebelum ini yang diperkenalkan pemerintah waktu COVID-19 melanda, Dr Wan Rizal berkata ramai 'pelatih' yang mendapat pekerjaan baik selepas tempoh program itu dan ini membolehkan mereka kekalkan kemahiran.
"Jadi program pelatih ini bukan sahaja mendapatkan mereka tempat pekerjaan pada awalnya tetapi saya rasa yang penting ialah kita dapat menaikkan kemahiran mereka dalam proses yang lama. Ini adalah satu cara untuk kita memberikan mereka satu kerelevanan dalam kemahiran mereka, untuk pekerjaan yang mereka mahu pada masa hadapan," ujar Dr Wan Rizal.
INISIATIF PEMADANAN KERJA DI BANDAR, BANTU DAPAT KERJA DEKAT DENGAN RUMAH
Selain program pelatih, satu inisiatif pemadanan pekerjaan di peringkat bandar juga diumumkan.
Ia akan diterajui lima Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), untuk menghubungkan pencari kerja dengan jawatan-jawatan kosong.
Ini dengan rangkaian tempatan mereka yang terdiri daripada peniaga, SME dan rakan-rakan masyarakat.
Oleh itu, CDC dalam kedudukan terbaik untuk memadankan pencari kerja dengan jawatan kosong terutama bagi mereka yang mahu bekerja lebih dekat dengan rumah.

Dr Wan Rizal berkata: "Kita tahu bahawa ramai yang mahu bekerja berdekatan dengan tempat tinggal mereka dan mungkin ini akan memberi mereka satu cara untuk mendapat pekerjaan sedemikian. Kita memahami bahawa mencari pekerjaan itu sangat sukar tetapi dengan sokongan seperti ini, mungkin ia akan menurunkan lagi kekhuatiran mereka, jadi kita boleh mengurangkan keresahan mereka."
"Di NTUC, tumpuan kita tentu sekali adalah kepada golongan muda yang banyak kekhuatiran terhadap pekerjaan dan saya rasa dengan adanya pemadanan kerja ini, adalah penting untuk kita memahami bahawa kita juga boleh menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) bagi pemadanan kerja itu. Saya rasa teknologi adalah sesuatu yang kita boleh menggunakan untuk menolong lebih ramai anak-anak muda kita mendapat pekerjaan sekaligus kita dapat menolong semua rakyat Singapura mendapat pekerjaan," tambahnya.
INISIATIF PEMERINTAH DIALU-ALUKAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

"Apa yang PM Wong telah merancangkan seperti inisiatif-inisiatif seperti program pelatih, pemadanan kerja dan sokongan untuk mempertingkatkan kemahiran, sangat sangat dialu-alukan oleh masyarakat kami," kongsi Encik Mohksin kepada BERITA Mediacorp.
"Saya berharap ia dapat terus memberikan semangat dan juga mengurangkan kebimbangannya para belia kami yang akan masuk ke alam pekerjaan nanti," tambahnya.
AMP juga akan melengkapi usaha itu dengan meneruskan program-program seperti “Kopi with" bersama para industri khusus, yang menemukan belia dan pekerja dengan profesional dalam bidang seperti keselamatan siber, Kecederasan Buatan (AI) dan kewangan sebagai rangkaian sokongan bagi mereka.
AMP INGIN BAWA INISIATIF PEMERINTAH LEBIH DEKAT KEPADA MASYARAKAT
Badan itu juga bertekad untuk bekerjasama dengan Kementerian untuk mendekatkan lagi inisiatif itu kepada masyarakat Melayu/Islam Singapura.
"AMP akan memainkan peranan yang lebih rapat bersama kementerian untuk mendekatkan lagi inisiatif-inisiatif ini supaya masyarakat Melayu/Islam Singapura dapat memanfaatkan atau mendekatkan diri dengan inisiatif-inisiatif ini. Jadi itulah strategi yang akan kami lakarkan dan akan berbincang lagi dengan kementerian-kementerian tersebut," menurut Encik Mohksin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.