Skip to main content

Singapura

NDR2025: Program pelatih baharu bagi tangani keprihatinan lulusan ITE, politeknik & universiti di tengah ketidaktentuan ekonomi

Singapura akan melancarkan program pelatih yang dibiayai pemerintah untuk para lulusan baharu yang bimbang tentang prospek pekerjaan mereka di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi.

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2025: Program pelatih baharu bagi tangani keprihatinan lulusan ITE, politeknik & universiti di tengah ketidaktentuan ekonomi

Para pelajar di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pada 8 November 2024. (Gambar: CNA/Nuria Ling)

Diterbitkan : 17 Aug 2025 09:32PM
  • Singapura akan melancarkan program pelatih yang dibiayai pemerintah untuk para lulusan baharu yang bimbang tentang prospek pekerjaan mereka di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi.
  • Skim itu akan dimulakan dengan "pelaksanaan yang lebih bersasar" dan akan dipertingkatkan jika ekonomi bertambah buruk, kongsi Perdana Menteri Lawrence Wong dengan para hadirin di ibu pejabat ITE di Ang Mo Kio.
  • PM Wong turut menarik perhatian bahawa semasa pandemik COVID-19, banyak syarikat berhenti mengambil pekerja sepenuh masa tetapi ada yang bersedia untuk menawarkan latihan.
  • Dalam ucapannya pada Ahad, PM Wong menyifatkan pekerjaan sebagai keutamaan nombor satu dalam strategi ekonomi Singapura.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Singapura akan melancarkan program pelatih yang dibiayai pemerintah untuk para lulusan baharu yang bimbang tentang prospek pekerjaan mereka di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi.

Ia akan menyediakan peluang latihan untuk para lulusan dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti, umum Perdana Menteri Lawrence Wong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan 2025 (NDR2025) pada Ahad (17 Ogos).

Skim itu akan dimulakan dengan "pelaksanaan yang lebih bersasar" dan akan dipertingkatkan jika ekonomi bertambah buruk, kongsi PM Wong dengan para hadirin di ibu pejabat ITE di Ang Mo Kio.

Beliau tidak memberikan butiran lanjut tetapi berkata Pasukan Bertindak Daya Tahan Ekonomi Singapura akan berkongsi butiran lanjut tidak lama lagi.

PM Wong turut menarik perhatian bahawa semasa pandemik COVID-19, banyak syarikat berhenti mengambil pekerja sepenuh masa tetapi ada yang bersedia untuk menawarkan latihan.

"Ini memberi peluang kepada graduan menimba pengalaman dunia sebenar. Mereka menerima elaun semasa menjalani latihan," katanya lagi.

"Dan mereka boleh mengekalkan kemahiran mereka - supaya apabila ekonomi pulih, mereka akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mendapatkan pekerjaan sepenuh masa."

Pada tahun 2020, Program Pelatih SGUnited menyokong latihan dibayar gaji sehingga enam bulan untuk lulusan ITE, politeknik, universiti dan institusi pendidikan lain.

Di bawah inisiatif ini, pemerintah membiayai 80 peratus daripada elaun latihan manakala syarikat yang mengambil mereka membiayai selebihnya.

Program itu berakhir selepas dua tahun apabila penyertaan menurun seiring dengan pemulihan ekonomi Singapura daripada pandemik.

Dalam ucapannya pada Ahad, PM Wong menyifatkan pekerjaan sebagai keutamaan nombor satu dalam strategi ekonomi Singapura. Beliau turut menyentuh usaha tentang meningkatkan khidmat pemadanan pekerjaan dan membawa lebih banyak pameran kerjaya terus ke institusi pengajian tinggi, untuk membantu lulusan baharu berhubung lebih awal dengan majikan.

PM Wong turut menarik perhatian kepada langkah-langkah yang diambil sepanjang tahun lalu, termasuk membina lebih banyak flat HDB dengan subsidi yang lebih tinggi, dan menyediakan lebih banyak cuti untuk ibu bapa muda serta lebih banyak bantuan untuk menampung kos keibubapaan.

Beliau berkata langkah tambahan sedang dikaji untuk menyokong lebih baik anak muda Singapura "melalui setiap peringkat kehidupan".

"Kepada semua pelajar dan anak muda Singapura, saya tahu bahawa membesar bukanlah sesuatu yang mudah. Dunia hari ini boleh berasa amat mencabar. Masa depan kadangkala tidak jelas," kata PM Wong.

"Tetapi saya berkata kepada anda: jangan takut. Anda tidak bersendirian dalam perjalanan ini. Kami sentiasa bersama anda, kami mendengar anda, dan kami akan melaluinya bersama anda - setiap langkah dalam perjalanan anda."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita