Skip to main content

Singapura

NDR2025: Rakyat SG tetap keutamaan 'nombor satu' sedang AI bentuk semula ekonomi, kata PM Wong

Di tengah-tengah kebimbangan berhubung kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap pekerjaan, Perdana Menteri Lawrence Wong memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa mereka tetap menjadi tumpuan utama strategi ekonomi negara.

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2025: Rakyat SG tetap keutamaan 'nombor satu' sedang AI bentuk semula ekonomi, kata PM Wong

Orang ramai berjalan di Raffles Place, Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

SINGAPURA: Di tengah-tengah kebimbangan berhubung kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap pekerjaan, Perdana Menteri Lawrence Wong memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa mereka tetap menjadi tumpuan utama strategi ekonomi negara.

“Rakyat Singapura akan sentiasa berada di tengah-tengah segala usaha kami,” kata beliau dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (17 Ogos).

Sambil mengakui bahawa teknologi akan menyebabkan sesetengah peranan berubah dan ada yang hilang, PM Wong berkata pekerjaan baharu juga akan muncul.

Bagi membantu rakyat Singapura merebut peluang pekerjaan baharu, beliau mengumumkan satu inisiatif pemadanan pekerjaan yang akan diterajui lima Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), untuk menghubungkan pencari kerja dengan jawatan-jawatan kosong.

Beliau menarik perhatian bahawa walaupun gelombang perubahan teknologi sebelum ini meningkatkan mutu pekerjaan dan gaji, ramai kini bimbang AI mungkin menggantikan keseluruhan bidang pekerjaan.

“Saya memahami kebimbangan ini, dan saya beri jaminan: walaupun kita menerima AI dan teknologi, kita tidak akan mengabaikan kepentingan utama kita.”

PM Wong turut menekankan bahawa inovasi dan teknologi adalah penting untuk meningkatkan produktiviti dan memperbaiki kehidupan secara mampan.

Singapura sudah melabur dalam bidang penyelidikan dan pembangunan selama lebih dua dekad, termasuk pelaburan awal dalam bidang sains bioperubatan yang terbukti bermanfaat semasa pandemik COVID-19.

“Kami menggunakan pendekatan jangka panjang yang sama untuk teknologi perintis lain,” katanya, sambil menyoroti pengkomputeran kuantum sebagai contoh.

Selain penyelidikan berteknologi tinggi, PM Wong berkata adalah penting juga menerapkan teknologi baharu dalam ekonomi yang lebih luas.

“Dengan setiap gelombang teknologi baharu, kita menyesuaikan diri. Kita meningkatkan kemampuan. Kita memajukan seluruh negara,” kata beliau.

ERA AI

Dunia kini memasuki era yang dibentuk oleh kecerdasan buatan – yang disebut PM Wong sebagai “teknologi penentu zaman kita”. Beliau menekankan bahawa AI sedang berkembang dengan pesat dan akan mengubah cara seseorang hidup, bekerja dan berinteraksi.

AI kini sudah diterapkan dalam pelbagai industri. Perkhidmatan awam menggunakannya untuk menyalin dan merumuskan panggilan. Pelabuhan Tuas mempunyai tahap automasi yang tinggi, manakala Lapangan Terbang Changi sedang meneroka automasi bagi pengendalian bagasi dan operasi darat.

Syarikat berbilang negara Amerika, GE Vernova, mempunyai kemudahan berteknologi tinggi di Singapura yang menggunakan AI untuk mengesan kejanggalan pada komponen turbin agar kerja-kerja pembaikan dapat dijalankan. Syarikat tempatan seperti Q&M Dental juga menggunakan AI bagi membantu doktor gigi menganalisis X-ray.

“Terdapat banyak, banyak lagi kemungkinan,” kata PM Wong. “Kami akan memperlengkap dan memperkasakan setiap perusahaan, khususnya SME, untuk memanfaatkan AI secara berkesan, serta menajamkan daya saing mereka.”

SOKONGAN BUAT PARA PEKERJA

Singapura tidak akan tergesa-gesa mengguna pakai teknologi tanpa memastikan sokongan untuk para pekerja, kata PM Wong. Pemerintah akan bekerjasama rapat dengan kesatuan dan para pekerja untuk mereka bentuk semula pekerjaan dan memperkasakan mereka.

“Akhirnya, strategi ekonomi kita adalah tentang pekerjaan, pekerjaan dan pekerjaan – itulah keutamaan nombor satu kita,” kata beliau.

Sehubungan itu, satu inisiatif pemadanan pekerjaan baharu akan dilancarkan di peringkat bandar oleh lima CDC. Bersama dengan rangkaian tempatan mereka yang terdiri daripada peniaga, SME dan rakan-rakan masyarakat, CDC berada di kedudukan terbaik untuk memadankan pencari kerja dengan jawatan kosong – terutamanya bagi mereka yang mahu bekerja lebih dekat dengan rumah.

Datuk-datuk bandar CDC akan berkongsi butiran lanjut mengenai skim itu tidak lama lagi, tambahnya.

Satu Program Peningkatan SkillsFuture bagi mereka yang berusia 40 tahun ke atas turut diperkenalkan tahun lalu, kata PM Wong.

Di bawah program itu, pekerja pertengahan kerjaya yang layak menerima S$4,000 dalam bentuk kredit SkillsFuture dan elaun latihan sehingga S$3,000 sebulan bagi mereka yang mengambil cuti kerja untuk belajar sepenuh masa.

Seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2025 beliau, sebahagian daripada elaun latihan itu boleh dituntut untuk kursus-kursus separuh masa. Penawaran kursus juga akan diperluas termasuk program yang disediakan oleh penyedia swasta dan peneraju industri, selain daripada institut-institut pengajian tinggi.

Singapura mesti terus membina ekonomi dinamik yang dapat menyediakan pekerjaan yang baik dan kehidupan yang lebih baik untuk semua rakyat Singapura, kata PM Wong.

“Kita mungkin tidak dapat menandingi negara lain dari segi saiz atau skala. Namun, kita akan terus mendahului dari segi idea, inovasi dan tekad bersama untuk bergerak maju – sebagai satu bangsa yang bersatu.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita