Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Mengapa sesetengah penjaja pusat perusahaan sosial beri makanan percuma sekalipun tidak diwajibkan berbuat demikian

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Mengapa sesetengah penjaja pusat perusahaan sosial beri makanan percuma sekalipun tidak diwajibkan berbuat demikian

Pusat Penjaja Kampung Admiralty, yang diuruskan oleh FairPrice Group. (Gambar fail: TODAY/Najeer Yusof)

Diterbitkan : 22 Aug 2025 09:49AM Dikemas Kini : 22 Aug 2025 09:55AM
SINGAPURA: Sekalipun tidak diwajibkan secara kontrak untuk menawarkan makanan percuma, Encik Joe Eng, yang mengusahakan gerai Pu Ti Su di Pusat Penjaja One Punggol, bagaimanapun akan berbuat demikian jika dia melihat seseorang yang memerlukan.

Cef berusia 58 tahun itu, yang baru-baru ini membuka gerai tersebut bersama isterinya, berkata mereka sudah mengambil pendekatan sedemikian sejak mereka beroperasi di pusat penjaja dan kedai kopi sebelum ini.

"Sekiranya terdapat pelanggan warga emas atau seseorang yang berpendapatan rendah, saya akan memberi mereka makanan percuma jika mereka memintanya," katanya kepada Mediacorp.

Dalam tempoh seminggu sejak gerainya dibuka, beberapa pelanggan telah meminta bahagian makanan yang lebih besar tanpa dikenakan bayaran tambahan.

"Sudah tentu saya tidak boleh berbuat demikian jika semua orang meminta makanan percuma pada tanggal 1 dan 15 haribulan setiap bulan," katanya sambil merujuk kepada tarikh di mana ramai penganut Buddha memakan hidangan vegetarian sahaja. "Tetapi bergantung kepada keadaan, saya boleh memberi mereka makanan tambahan."

Isterinya yang enggan namanya didedahkan berkata, ada pelanggan yang mengambil kesempatan atas sikap murah hati mereka, malah menggalakkan pelanggan lain untuk meminta lebih banyak makanan tanpa membayar.

"Kami boleh meneka siapa yang benar-benar memerlukannya, jadi ia bergantung kepada keadaan. Kami menawarkan makanan percuma kerana kami mahu melakukan perbuatan yang baik," katanya.

Isu mewajibkan penjaja menawarkan makanan percuma menjadi perhatian ramai minggu lalu selepas penyewa di Pusat Penjaja Bukit Canberra menandatangani kontrak yang mewajibkan mereka untuk menyediakan 100 makanan percuma sepanjang tempoh sewa mereka selama tiga tahun.

Pengendali pusat penjaja itu, Canopy Food Group, kemudian berkata program itu belum dimulakan dan tidak akan dikuatkuasakan. Syarat tersebut akan digugurkan apabila kontrak sewa diperbaharui pada bulan September.

Mediacorp melawat tujuh pusat penjaja yang dikendalikan oleh pengendali perusahaan sosial lain – FairPrice Group, Timbre+ Hawkers, Fei Siong Social Enterprise dan JW 50 Hawker Heritage. Para penjaja mengesahkan bahawa kontrak mereka tidak memerlukan mereka memberikan makanan percuma, walaupun ada yang, seperti Encik Eng, akan melakukannya secara sukarela.

Walau bagaimanapun, semua penyewa dikehendaki menawarkan sekurang-kurangnya satu hidangan jimat, biasanya berharga S$3 hingga S$3.50.

FairPrice dan Timbre+ enggan menjawab soalan tentang menaikkan had pada makanan jimat dan cara mereka menguatkuasakan keperluan tersebut. Fei Siong juga tidak menjawab pertanyaan Mediacorp.

Pada 2024, Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran ketika itu Koh Poh Koon berkata pengendali pusat penjaja perusahaan sosial mesti menyertakan rancangan untuk memastikan pilihan makanan dimampui tersedia sebagai sebahagian daripada cadangan tender mereka.

"Setakat ini para pengendali komited bahawa semua gerai di pusat penjaja mereka akan menyediakan sekurang-kurangnya satu pilihan hidangan jimat," katanya, sambil menambah bahawa niatnya bukan untuk menurunkan harga secara menyeluruh tetapi untuk menawarkan pelbagai pilihan.
BANTUAN SUKARELA

Encik Eng berkata beliau terbuka untuk menyokong projek amal sukarela, seperti sekali-sekala menyediakan makanan percuma kepada rumah jagaan berdekatan. Penjaja lain menyuarakan sentimen yang sama, mengatakan mereka memberikan diskaun, makanan tambahan dan juga keseluruhan hidangan secara percuma apabila diperlukan.

Encik Nicholas Ho, yang mengendalikan gerai Ming Chung White Lor Mee di Pusat Penjaja Buangkok, berkata beliau memberitahu pelanggan yang tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar kemudian.

Ini lebih kerap berlaku di restorannya di Mort Road, yang terletak berhampiran beberapa flat sewa, kata lelaki berusia 31 tahun itu. Ramai daripada mereka adalah pelanggan tetap dan dia memahami kedudukan kewangan mereka, tambah Encik Ho.

"Sesetengah pelanggan, jika mereka melihat pelanggan lain yang tidak dapat membayar, kadang-kadang mereka juga akan membantu untuk membayar untuk pihak mereka," katanya.

Dia membayar kira-kira S$4,000 sebulan untuk sewa dan yuran pembersihan, dan pilihan makanan jimat di Pusat Penjaja Buangkok ialah sup bihun dengan sayur-sayuran dan telur, berharga S$3.20. Makanan itu kurang diminati pelanggan kerana gerainya terkenal dengan lor mee, tetapi gerai lain di pusat penjaja itu menyaksikan permintaan tinggi untuk hidangan jimat mereka.

"Saya dengar di beberapa gerai mereka menjual banyak makanan jimat, jadi mereka tidak dapat menanganinya, dan mereka mengehadkannya kepada 10 setiap hari. Jika mereka terpaksa menjual 50 pinggan, ia akan menjadi sukar," katanya, sambil menambah bahawa dia hanya mendapat kira-kira dua hingga tiga tempahan seminggu untuk hidangan jimatnya.

Sesetengah penjaja mengurangkan bahagian untuk hidangan jimat. Di Pusat Penjaja Ci Yuan, sebuah gerai sup ikan menawarkan sup sayur-sayuran dengan harga S$3, manakala sebuah gerai Jepun menghidangkan semangkuk nasi dengan telur, bawang, sos dan sayur pada harga S$3. "TIADA DAGING", menurut papan tanda di gerai tersebut.

Seorang penjaja nasi lemak di One Punggol menyifatkan hidangan jimat S$3.50 miliknya sebagai "makanan kanak-kanak" dan berkata dia tidak rugi. Dia jarang bertemu pelanggan yang meminta makanan percuma di Punggol, di mana penduduk umumnya lebih muda dan lebih mewah.

Pelanggan warga emas atau berpendapatan rendah lebih biasa di gerai Whampoa miliknya, yang terletak di pusat penjaja yang dikendalikan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

"Kami hanya akan menjamu mereka dengan makanan. Jika kami nampak mereka benar-benar memerlukan makanan itu, kami tidak akan mengambil wang mereka," katanya.

MENGURUS KOS, SAMBIL MEMBANTU GOLONGAN MEMERLUKAN

Seorang penjaja yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Ng, dan mengendalikan gerai sup ikan di Pusat Penjaja Bukit Panjang, berkata gerai di sana dibenarkan menaikkan harga makanan jimat mereka apabila kontrak diperbaharui tahun lalu.

Dia membayar kira-kira S$4,900 sebulan bagi sewa dan yuran pembersihan, tetapi telah mengekalkan sup ikannya pada harga S$2.90. Hidangannya yang lain adalah antara S$5 hingga S$7 – ikan mahal, kata salah seorang pembantunya.

"Jika saya menaikkan harga, ada pelanggan warga tua atau kanak-kanak yang tidak mampu. Apa guna menaikkan harga jika makanan jimat sepatutnya membantu mereka?"

Encik Jarek Tan, yang menguruskan operasi rangkaian 'thunder tea rice' di Pusat Penjaja Fernvale, berkata hidangan jimat S$3.20 mereka kekal menguntungkan, dengan satu hingga dua pesanan setiap hari.

Gerai ini juga memberikan antara 500 dan 1,000 makanan percuma setiap tahun. Apabila gerai mereka di Woodleigh mula-mula dibuka, dia teringat bahawa pekerja di pusat penjaja itu berkata sesetengah pelanggan tidak mempunyai wang dan meminta sisa makanan.

"Kakitangan kami menelefon kami untuk bertanya apa yang patut mereka lakukan. Kami berkata tidak mengapa dan memberikannya secara percuma," tambahnya. "(Kita harus melakukannya) demi kebaikan, untuk menunjukkan lebih banyak nilai insani."

Lelaki berusia 25 tahun itu berkata dia tidak akan mengambil wang daripada pelanggan yang mengatakan mereka tidak mampu membayarnya. Di Fernvale, pelanggan tetap yang menggunakan kerusi roda membayar S$4 berbanding S$5.90 biasanya untuk semangkuk 'thunder tea rice'.

Ketika ditanya tentang mewajibkan pemberian makanan percuma, Encik Tan berkata kebanyakan penjaja tidak akan menyokong langkah sedemikian.

"Kos sara hidup sekarang ... semua orang sedang bergelut. Jika mereka mahu melakukannya, orang akan memberi dengan rela hati. Tetapi jika anda mahu menguatkuasakannya, tiada siapa yang akan bersetuju."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita