Skip to main content

Singapura

Syarat makanan percuma dalam kontrak penjaja Bukit Canberra akan dimansuhkan dari perjanjian sewa gerai

Syarat-syarat yang memerlukan para penjaja di Bukit Canberra menyediakan makanan percuma akan digugurkan apabila perjanjian sewa mereka diperbaharui pada September, menurut pengendali pusat penjaja itu pada Jumaat (15 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Syarat makanan percuma dalam kontrak penjaja Bukit Canberra akan dimansuhkan dari perjanjian sewa gerai

Pusat Penjaja Bukit Canberra. (Gambar: Facebook/Ong Ye Kung)

SINGAPURA: Syarat-syarat yang memerlukan para penjaja di Bukit Canberra menyediakan makanan percuma akan digugurkan apabila perjanjian sewa mereka diperbaharui pada September, menurut pengendali pusat penjaja itu pada Jumaat (15 Ogos).

Dalam catatannya di Facebook, Canopy Hawkers Group menyatakan bahawa ia telah "mendengar maklum balas dan keprihatinan" yang telah dibangkitkan.

Versi kontrak pada 2024 yang dilihat oleh Mediacorp menyatakan bahawa penyewa gerai "harus mengambil bahagian" dalam program amal "seperti yang dilaksanakan dan/atau diarahkan oleh syarikat", yang memerlukan mereka memperuntukkan 100 hidangan yang dibiayai oleh kos mereka sendiri untuk skim tersebut.

Para peguam memberitahu Mediacorp pada Khamis (14 Ogos) bahawa perkataan dalam klausa yang tertakluk dalam kontrak sedia ada, terutamanya penggunaan perkataan "hendaklah", membayangkan bahawa penyewa diwajibkan untuk menyertai skim itu.

Canopy Hawkers Group sebelum ini menyatakan bahawa ia pada mulanya memasukkan klausa itu kerana penyewa dipilih berdasarkan kesediaan mereka untuk menyertai program amal tersebut.

"Pada masa itu, kami merasakan adalah penting untuk memasukkan komitmen sebagai klausa dalam perjanjian sewa kerana penjaja lain telah gagal mendapatkan gerai berdasarkan, antara lain, komitmen ini," kata pengendali itu dalam catatan Facebooknya pada Jumaat (15 Ogos).

Mengakui sekali lagi bahawa penyertaan dalam tujuan amal haruslah secara sukarela, pengendali itu berkata: "Tetapi memandangkan keadaan, kami melihat aturan itu sebagai sesuatu yang mengimbangi kedua-dua pelibatan secara sukarela dengan pemenuhan janji mereka."

Sesetengah penjaja telah berkongsi bahawa mereka mungkin tidak dapat memenuhi komitmen mereka "walaupun mereka mahu, jika keadaan mereka lebih baik", kata Canopy Hawkers Group dalam catatan Facebooknya.

Pengendali itu juga berkata ia mengetahui bahawa program bantuan makanan yang dijalankan di kawasan di mana Pusat Penjaja Bukit Canberra ditempatkan bergantung kepada sumbangan sukarela daripada pelanggan, bukan penjaja.

“Oleh itu kami memutuskan untuk menarik balik inisiatif ‘Pay-It-Forward’, dan mungkin memutuskan untuk tidak meneruskannya berdasarkan konsep semasa,” kata pengendali itu.

Inilah sebabnya mengapa tiada penjaja yang dihukum kerana tidak menyediakan makanan percuma di bawah perjanjian sewa tersebut dan pihak pengurusan tidak berhasrat untuk menguatkuasakan kewajipan itu pada masa hadapan, katanya dalam catatannya. "Ini adalah komitmen yang kami buat secara terbuka."

Pengendali itu juga menyentuh tentang minat terhadap menu jimat yang disediakan di Pusat Penjaja Bukit Canberra, yang dipercayai berbeza daripada program yang bertujuan untuk menyediakan makanan percuma kepada pelanggan yang memerlukan.

"Untuk menyediakan penduduk dengan pelbagai tawaran di Pusat Penjaja Bukit Canberra, kami bekerjasama dengan penjaja kami untuk menawarkan pilihan makanan pada harga yang berbeza. Ini termasuk makanan lebih berpatutan," katanya dalam catatannya pada Jumaat.

"Makanan sebegini tidak membentuk sebahagian besar daripada makanan yang dijual, dan penjaja kami tidak dijangka mengalami kerugian menjual makanan tersebut."

Pusat Penjaja Bukit Canberra adalah salah satu daripada beberapa pusat penjaja perusahaan sosial di Singapura. Pada 2024, Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran ketika itu, Koh Poh Koon berkata bahawa semua pengendali pusat penjaja perusahaan sosial mesti mencadangkan cara untuk memastikan pilihan makanan jimat tersedia sebagai sebahagian daripada cadangan tender mereka.

"Setakat ini pengendali komited bahawa semua gerai di pusat mereka akan menyediakan sekurang-kurangnya satu pilihan hidangan jimat. Ini bukan percubaan untuk memaksa penjaja menjual semua hidangan mereka pada harga rendah," katanya ketika itu.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita