Skip to main content

Singapura

Peniaga Bukit Canberra terikat kontrak sedia makanan percuma: Peguam

Anggaran Waktu Membaca:
Peniaga Bukit Canberra terikat kontrak sedia makanan percuma: Peguam

Pusat Penjaja Bukit Canberra. (Gambar: Facebook/Ong Ye Kung)

SINGAPURA: Penyertaan peniaga gerai di Pusat Penjaja Bukit Canberra dalam skim pemberian makanan percuma adalah bersifat wajib, berdasarkan klausa dalam perjanjian sewa mereka, menurut peguam yang dihubungi Mediacorp.

Salinan kontrak tahun 2024 yang dilihat Mediacorp menyatakan penyewa gerai “wajib menyertai” program Pay-It-Forward seperti yang dilaksanakan atau diarahkan oleh pihak pengendali. Ini termasuk menyediakan 100 hidangan secara percuma atas kos sendiri untuk disalurkan melalui skim tersebut.

Selain itu, penyewa juga perlu menawarkan sekurang-kurangnya dua menu di bawah harga S$3 dan mempamerkannya dengan jelas, serta memberikan diskaun 10 peratus bagi menu lain kepada pemegang kad CHAS Biru, Generasi Perintis, dan Generasi Merdeka.

Rakan pengurusan Lighthouse Law, Adrian Wee, berkata penggunaan perkataan “shall” dalam kontrak menunjukkan kewajipan, bukan pilihan. Walaupun skim itu belum bermula, kewajipan tersebut akan terpakai sebaik sahaja ia dilaksanakan.

Peguam Chooi Jing Yen turut bersetuju, dengan menegaskan bahawa kegagalan mematuhi syarat ini secara teknikal adalah pelanggaran kontrak.

Pusat Penjaja Bukit Canberra adalah salah satu pusat penjaja sosial di Singapura. Pada 2024, ketika itu Menteri Negara Kanan bagi Kemampanan dan Sekitaran, Koh Poh Koon, berkata semua pengendali pusat penjaja sosial perlu mencadangkan cara untuk memastikan makanan mampu milik ditawarkan, sebagai sebahagian daripada cadangan tender mereka.

Menurut beliau, setiap pusat memberi komitmen supaya semua gerai menawarkan sekurang-kurangnya satu hidangan berharga rendah. Langkah ini bukan untuk memaksa semua hidangan dijual murah, tetapi untuk memastikan pilihan pada pelbagai julat harga. Hidangan mampu milik biasanya merangkumi hanya 5 hingga 20 peratus jualan di pusat penjaja sosial, dan peniaga tidak dijangka mengalami kerugian.

PENJELASAN PENGENDALI

Pengendali Pusat Penjaja Bukit Canberra, Canopy Hawkers Group, melalui catatan di Facebook menjelaskan bahawa ketika pemilihan penyewa tiga tahun lalu, mereka menerima permohonan yang tinggi dan turut mempertimbangkan kesediaan peniaga untuk “memberi kembali kepada masyarakat” melalui pemberian makanan percuma kepada golongan berpendapatan rendah.

Oleh itu, syarat tersebut dimasukkan ke dalam kontrak sewa. Bagaimanapun, selepas pusat dibuka, perbincangan lanjut diadakan dan kuota dikurangkan daripada 30 hidangan sebulan kepada 100 hidangan sepanjang tempoh sewa tiga tahun. Perubahan ini dimasukkan ke dalam pindaan kontrak sekitar Ogos 2023.

Pengendali turut menegaskan program ini belum dimulakan dan persiapan belum dilakukan. Buat masa ini, tiada kewajipan atau denda dikenakan. Mereka juga mengakui pandangan bahawa kerja amal tidak sepatutnya dijadikan kewajipan kontrak, dan akan menilai semula perkara ini apabila program sedia dilaksanakan.

PANDANGAN AP DAN PEGUAM

Anggota Parlimen GRC Sembawang, Ong Ye Kung, pada Isnin berkata tiada denda akan dikenakan sekiranya peniaga tidak atau tidak dapat menyediakan makanan percuma, memandangkan inisiatif tersebut masih belum bermula.
Adrian Wee berkata, jika penyewa dipilih kerana kesediaan mereka untuk menyertai skim ini, maka adalah wajar ia dimasukkan dalam kontrak sebagai kewajipan yang mengikat. Namun, sesuatu yang benar-benar sukarela sepatutnya dinyatakan dengan jelas sebagai pilihan, atau tidak dimasukkan langsung dalam perjanjian.

Encik Chooi pula menyifatkan tindakan memilih penyewa berdasarkan kesediaan mereka, tetapi kemudian tidak menguatkuasakan syarat tersebut, sebagai bercanggah. Sekiranya pengendali mahu menguatkuasakannya di kemudian hari, peniaga boleh menggunakan prinsip undang-undang estoppel, iaitu hujah bahawa pengendali pernah menyatakan secara terbuka bahawa kewajipan ini bersifat sukarela.

Peguam Amarjit Singh dari Amarjit Sidhu Law pula berpendapat skim amal sebegini patut kekal sukarela. Jika peniaga bersetuju, tiada masalah; tetapi mengenakan denda dianggap tidak munasabah. Beliau menegaskan syarat kontrak perlu adil, seimbang, dan tidak membebankan mana-mana pihak, dengan mahkamah biasanya menilai kewajaran sesuatu kontrak.
Sumber : CNA/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita