Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bazar Geylang Serai sesak pada malam raya, potongan harga sehingga 80%

Keadaan di bazar Geylang Serai bertambah sesak pada malam raya pada Ahad (30 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Bazar Geylang Serai sesak pada malam raya, potongan harga sehingga 80%

Keadaan di bazar Geylang Serai bertambah sesak pada malam raya pada Ahad (30 Mac). (Gambar: Regina Soejantro)

SINGAPURA: Keadaan di bazar Geylang Serai bertambah sesak pada malam raya pada Ahad (30 Mac).

Ramai yang datang untuk menikmati suasana perayaan dan mendapat tawaran hebat bagi perbelanjaan saat-saat akhir mereka untuk Lebaran.

Semasa kunjungan BERITA Mediacorp sekitar jam 5.30 petang, pengunjung datang tidak putus-putus.

Malah, semakin malam semakin ramai yang membanjiri bazar yang berlangsung selama 33 hari itu.

Bagi memastikan orang ramai dapat berbelanja dengan selesa dan selamat, pegawai keselamatan juga ditugaskan untuk memastikan keadaan terkawal di situ.

Berdasarkan situasi trafik yang sesak sejak beberapa hari yang lalu, tempat-tempat meletak kereta di Wisma Geylang Serai (WGS) dan di belakang Pasar Geylang Serai juga dijangka penuh.

Kesesakan tidak menghambat sebilangan pengunjung untuk tetap mengunjungi bazar yang terletak di lubuk Melayu itu. (Gambar: Regina Soejantro)

Namun, kesesakan itu tidak menghambat sebilangan pengunjung untuk tetap mengunjungi bazar yang terletak di lubuk Melayu itu.

Rata-rata mereka yang ditemui berkata, mereka mahu merebut promosi serta potongan harga yang ditawarkan para pegerai.

"Memang orang ramai tapi saya suka jalan-jalan dan membuat penstriman 'live'. Orang ramai juga mungkin sebab harga murah," kata Encik Zahid Salim yang datang seawal 1 tengah hari bersama isteri dan dua anak lelakinya.

Turut berkongsi pendapat ialah pasangan suami isteri, Encik Muhd Jalil Jamaludin dan Cik Faridah Haji Sinin.

"Saya rasa satu Singapura datang sini juga. Lagi-lagi, pada saat-saat akhir inilah. (Walaupun harga tinggi) kami fahamlah mungkin sebab kos yang meningkat tapi yang utamanya ialah, jika kami ingin barang itu, kami tidak kisah dengan harganya," kata Encik Jalil.

Mereka yang mencari-cari barang hiasan rumah untuk raya berpuas hati dengan pilihan yang tersedia.

"Saya pun baru terbang balik dari Brunei pagi tadi waktu tengah hari. Jadi 'last minute'. Belum beli apa-apa," ujar Cik Faridah.

BARANGAN SEMURAH S$1, BAZAR DIBUKA SEHINGGA 4 PAGI!

Ramai juga yang menanti-nantikan tawaran hebat oleh para penjual di sana. 

Jika biasanya gerai-gerai dibuka sehingga tengah malam, istimewa sekali untuk malam ini kerana bazar dibuka sehingga 4 pagi!

Gerai anak muda, SGFR store misalnya akan adakan promosi habiskan stok barangan dengan semua barangan akan dijual pada harga S$1 pada jam 1 pagi.

Selain gerai-gerai makanan yang menyaksikan ramai orang beratur panjang, gerai-gerai pakaian dan kuih raya juga tidak kurang sambutannya.

Banyak yang mengadakan promosi 'harga runtuh' dengan potongan harga sehingga 80 peratus!

Para pegerai menjual baju dan kuih raya yang ditemui berkata, mereka masih akan meneruskan operasi mereka secara online dan barangan boleh diterima seawal minggu ini.

"Kami sudah mulakan promosi sejak hari Jumaat (28 Mac) sebab stok kami sudah berkurangan. Kami keluarkan rekaan baharu sebab barangan kami sudah tidak banyak bakinya. Jadi saya pun tidak mahu terlepas menarik pelanggan. Sambutan yang saya lihat pada tahun ini sebenarnya berbanding tahun lalu jauh berbeza. Mungkin disebabkan adanya banyak bazar dan acara di sini dan di sekeliling Singapura," kata Pengasas Bersama, butik pakaian Khadija Exquizit, Siti Maisa Abdat yang sudah 10 tahun berniaga di bazar.

Para pegerai menjual baju seperti Cik Siti Maisa Abdat dari Khadija Exquizit berkata, beliau masih akan meneruskan operasi mereka secara online dan barangan boleh diterima seawal minggu ini. (Gambar: Syawal Yusoff)

Bagi peniaga kuih dengan lebih 20 tahun pengalaman di bazar, Mohammad Amir Abdul Aziz  dari 4Dara pula berkata: "(Saya jangkakan) pada malam raya ini akan ada ramai orang kerana ia jatuh pada hujung minggu. Tahun lalu, ia adalah pada hari bekerja, jadi orang ramai bekerja. Jadi hujung minggu hari ini, ramai yang cuti. Jadi ramai orang."

"Kami adakan promosi, untuk kuih, tujuh botol S$100 dan boleh campur kuih-kuih. Contoh kuih tart, kuih makmur. Semua masih ada," tambahnya.

Tahun ini, bazar Geylang Serai menawarkan sebanyak 500 gerai.

Peniaga kuih dengan lebih 20 tahun pengalaman di bazar, Mohammad Amir Abdul Aziz dari 4Dara menurunkan harga kuih raya kepada 7 botol untuk S$100. (Gambar: Syawal Yusoff)
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan