Skip to main content

Singapura

Hiasan lampu Hari Raya Geylang Serai raikan semangat perpaduan, identiti kebangsaan sempena SG60

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menjelang bulan Ramadan sekitar seminggu lagi, kawasan Geylang Serai kembali bermandikan cahaya berwarna-warni dengan hiasan lampu Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Penyalaan lampu hiasan itu dirasmikan Perdana Menteri Lawrence Wong di Wisma Geylang Serai pada Selasa (25 Feb).

Ia juga kali pertama PM Wong merasmikan penyalaan lampu hiasan Hari Raya setelah menggalas peranan selaku Perdana Menteri.
Turut hadir di majlis pelancaran tersebut termasuk Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman dan Menteri Negara Ehwal dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Lampu Hari Raya tahun ini menghiasi kawasan sepanjang 2.6 kilometer antara Geylang Road dan Sims Avenue dan akan dinyalakan selama 45 hari hingga 10 April nanti.

Hiasannya menampilkan corak dan motif yang berunsurkan budaya Melayu termasuk kompang, tanjak dan kuih-muih Melayu.
"Penyalaan hiasan lampu ini adalah sebahagian daripada kempen lebih luas Ramadan dan Raya kali ini, #RAYABERSAMA yang didedikasikan untuk meraikan semangat perpaduan dan menghubungkan tradisi kebudayaan dengan identiti kebangsaan yang mencerminkan semangat Singapura untuk maju ke hadapan bersama dan meraikannya sebagai sebuah masyarakat," kata Datuk Bandar CDC Tenggara, Fahmi Aliman dalam ucapannya di majlis tersebut.

"SG60 Bersama adalah inisiatif untuk masyarakat Melayu/Islam. Saya berharap dan menggalak semua orang untuk menyertai dan menyumbang kepada inisiatif ini agar ia dapat membawakan kemeriahan," tambah beliau.
Di samping majlis perasmian lampu Hari Raya, PM Wong juga merasmikan lukisan dinding SG60 di Persada Budaya WGS.

BAZAR GEYLANG SERAI BEROPERASI SELAMA 33 HARI, TAMPILKAN 500 GERAI

Selain hiasan lampu Hari Raya, bazar Ramadan juga dijangka menarik ramai ke lubuk Melayu itu.

Bazar Ramadan Geylang Serai tahun ini akan dibuka mulai Rabu (25 Feb).

Ia akan berlangsung selama 33 hari tahun ini sehingga malam Raya.
Perdana Menteri Lawrence Wong merasmikan penyalaan lampu hiasan di Wisma Geylang Serai pada Selasa (25 Feb). (Gambar: BERITA Mediacorp)
Tahun ini, 500 gerai bazar akan dibuka dari 10.00 pagi hingga 11.59 tengah malam.

Ia antara lain akan menampilkan pentas 360 darjah, bermakna para pengunjung akan dapat menikmati pengalaman yang lebih imersif persembahan-persembahan yang akan diadakan.

Selain itu, para penganjur juga telah membahagikan gerai-gerai makanan dan minuman kepada empat zon dengan tujuan untuk mengendalikan kesesakan para pengunjung dengan lebih berkesan lagi.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita