Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

90% peniaga makanan kembali sewa gerai di bazar Hari Raya Geylang Serai

Sekitar 90 peratus peniaga makanan di Bazar Hari Raya Geylang Serai kembali berniaga tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sekitar 90 peratus peniaga makanan di Bazar Hari Raya Geylang Serai kembali berniaga tahun ini.

Menteri Negara Pembangunan Negara, Dr. Muhammad Faishal Ibrahim, menyatakan bahawa ini menandakan pentingnya bazar dalam menyemarakkan perniagaan peniaga musiman.

Selain itu, terdapat pelbagai tawaran menarik untuk memikat hati pembeli dalam persiapan menyambut Ramadan dan Hari Raya yang akan datang.

"Walaupun ada lebih banyak bazar di tempat-tempat yang lain, tapi kita maklum bahawa masyarakat kita memandang bazar Geylang Serai ini sebagai satu bazar yang telah lama ada di sini dan mempunyai pelbagai pilihan dari segi makanan dan juga barang-barangan bagi persediaan Hari Raya dan lain-lain. Jadi ini adalah satu aspek yang kita mahu terus membangunkan " kata Dr Faishal.
YAKIN DENGAN SAMBUTAN PEMBELI DORONG ADRIANNA YARIQA KEMBALI BUAT TAHUN KE-10

Pasangan suami isteri, Encik Muhammad Sufiyan Yahya, 36 tahun dan Cik Nurlida Yusof, 37 tahun adalah antara 500 penyewa gerai di Bazar Geylang Serai yang membuka kedai mereka hari ini.

Ini menandakan tahun ke-10 pemilik busana jenama Adrianna Yariqa itu menyewa ruang bazar di Wisma Geylang Serai, yang akan berlangsung selama 33 hari.

Mereka terdorong untuk terus berniaga di situ berdasarkan jualan yang diperoleh pada tahun lalu.

"Ini adalah lokasi yang sama seperti tahun lepas, kami perhatikan bahawa orang ramai akan sentiasa berada di sini pada waktu pagi tetapi orang ramai akan sentiasa berada di khemah utama pada waktu malam. Jadi kami membuka dua gerai," kata Cik Nurlida kepada wartawan Syawal Yusoff.
Pasangan suami isteri, Encik Muhammad Sufiyan Yahya, 36 tahun dan Cik Nurlida Yusof, 37 tahun adalah antara 500 penyewa gerai di Bazar Geylang Serai yang membuka kedai mereka hari ini. (Gambar: Syarul Nizam)
SUSUNAN GERAI SECARA STRATEGIK TAWAR LEBIH BANYAK PILIHAN BUAT PELANGGAN

Tahun ini, gerai-gerai di Bazar Geylang Serai yang terletak di kawasan Wisma Geylang Serai dibangunkan dan disusun secara strategik.

Sebagai contoh, gerai makanan dan minuman (F&B) serta keperluan Hari Raya seperti pakaian diletakkan di kawasan yang sama.

Susunan sedemikian mendapat sambutan positif daripada Encik Sufiyan.

"Pastinya dengan adanya gerai-gerai F&B, lebih ramai orang akan terdorong untuk datang ke Bazar Geylang Serai untuk mendapatkan juadah berbuka puasa atau makan malam bersama keluarga," katanya.

Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, berharap langkah itu dapat membantu para peniaga sambil menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengunjung.

"Gerai-gerai makanan dibahagikan kepada empat zon dan dicampur dengan gerai-gerai lain seperti pakaian, kuih-muih, dan barang-barang untuk Hari Raya serta Ramadan yang lain. Dengan pembangunan ini, para peniaga akan berpeluang menarik lebih ramai pengunjung ke gerai mereka," jelas Dr Faishal.

Semasa bercakap kepada media selepas majlis pelancaran dan penyalaan lampu pada Selasa (25 Feb), Dr Faishal berharap infrastruktur di sepanjang Jalur Budaya Geylang Serai yang sudah siap dibangunkan akan melengkapi lagi bazar tersebut.

"Dengan adanya infrastruktur dan juga kerja-kerja baik yang dilakukan di jalur budaya dan semangat masyarakat. Dan juga bagaimana kita menjadikan bazar Geylang Serai ini sebagai satu bazar yang Istimewa, saya yakin ia akan memberikan pengalaman yang lebih baik dan juga suasana di mana kita boleh meraikan SG60 dan Hari Raya dengan semangat yang lebih tinggi," ujarnya.
Antara peniaga yang yakin akan sambutan pengunjung di bazar kali ini adalah pemilik gerai Brostern, Encik Raimy dan Encik Roimy Tan, yang menawarkan makanan fusion Asia dan Barat. (Gambar: Syarul Nizam)

BAZAR BERI BROSTERN PELUANG LUASKAN PERNIAGAAN, TARIK PELANGGAN BAHARU

Antara peniaga yang yakin akan sambutan pengunjung di bazar kali ini adalah pemilik gerai Brostern, Encik Raimy dan Encik Roimy Tan, yang menawarkan makanan fusion Asia dan Barat.

Ini merupakan kali pertama mereka membuka gerai di Bazar Geylang Serai setelah lima tahun beroperasi di pusat penjaja di Hougang.

Mereka berharap hidangan mereka yang dijual pada harga antara S$8 hingga S$15 dapat memenuhi citarasa para pembeli.

"Ia adalah cara dan tempat terbaik bagi kami untuk mendedahkan atau mempamerkan perniagaan, idea dan makanan kami," kata Encik Raimy, 33 tahun.

Peluang berniaga di bazar juga menguji daya kreativiti mereka untuk menyajikan hidangan yang unik dan terhad.

"Selain Pasta Lemak Cili Padi iaitu hidangan popular kami, kami mencipta Pasta Mala Berkrim, Pasta Laksa Berkrim dan Pasta Asam Pedas Berkrim. Jadi ini adalah hidangan-hidangan baharu yang hanya terdapat di bazar Ramadan," ujar Encik Roimy.

PEMBAYARAN DIGITAL DI KESEMUA GERAI

Bagi memudahkan urusan jual beli di Bazar Geylang Serai, kaedah pembayaran tanpa tunai diperluaskan ke semua gerai tahun ini.

Selain PayNow dan Paylah, orang ramai juga boleh membuat pembayaran menggunakan aplikasi MPLUS Aleta.

"Melalui sistem pembayaran digital ini, pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR atau menggunakan aplikasi untuk melengkapkan transaksi, sekaligus mengurangkan keperluan membawa wang tunai dan mempercepatkan proses pembayaran," kata Pengarah Perhubungan dan Pemasaran MPLUS Singapore Pte Ltd, Nur Asykin Ismail.

Bagi memudahkan urusan jual beli di Bazar Geylang Serai, kaedah pembayaran tanpa tunai diperluaskan ke semua gerai tahun ini.
Menurutnya, seramai 3,000 pengguna pertama yang memuat turun aplikasi tersebut dan menambah sekurang-kurangnya S$100 ke dalam dompet digital mereka berpeluang menerima tambahan S$10.

Inisiatif itu bukan sahaja memanfaatkan pelanggan tetapi juga kepada para peniaga.

Selepas Bazar Geylang Serai, syarikat itu merancang untuk meluaskan penggunaan aplikasi tersebut ke bazar-bazar lain.

"Pengurangan risiko kehilangan wang tunai, pemprosesan transaksi yang lebih cepat, serta rekod jualan yang lebih sistematik dan mudah dijejaki. Selain itu, MPLUS Aleta menyokong transformasi digital perniagaan tempatan dengan membantu peniaga beralih kepada ekosistem pembayaran digital, meningkatkan kecekapan operasi, serta menarik lebih ramai pelanggan yang mengutamakan kaedah pembayaran tanpa tunai," ujar Cik Asykin.

Bazar Hari Raya Geylang Serai dibuka dari jam 10 pagi hingga tengah malam sehingga 30 Mac, dan akan dilanjutkan hingga jam 6 pagi pada 31 Mac.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan