Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Filem La Luna ungguli carta teratas Netflix sejak mula ditayangkan

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Bukan rezeki di pawagam, filem La Luna yang mengangkat gelagat penduduk kampung 'rekaan', Bras Basah dan pengusaha kedai pakaian dalam yang berani menongkah arus dalam mengubah mentaliti penduduk terhadap isu semasa, laris di platform penstriman, Netflix.

Sejak beberapa hari lalu, filem La Luna arahan sutradara berasal dari Singapura, M Raihan Halim menduduki tempat pertama dalam carta Top 10 filem yang paling banyak distrim selepas mula ditayangkan di Netflix, sejak 9 Februari lalu.

Biarpun kutipan tayangan filem La Luna yang dipertontonkan di pawagam, November lalu, agak lesu, sambutan baik penonton Netflix membawa berita gembira kepada produksi naskhah yang antara lain dibintangi Sharifah Amani dan Shaheizy Sam, menurut agensi berita BH Online.
Sejak mengisi kandungan Netflix, penonton rata-rata memberi reaksi positif. Malah, ada yang menganggap filem La Luna mengubat rindu peminat terhadap naskhah dihasilkan Allahyarham Yasmin Ahmad.

M Raihan mengaku tidak sangka prestasi baik ditunjukkan filem garapannya itu di Netfix sejak mula dipertontonkan.

"Saya betul-betul teruja sebab pastinya, kita mengharapkan yang terbaik. Tidak sangka filem kami dapat duduki tangga pertama dalam senarai Top 10.

"Pencapaian ini mengujakan sebab kita tahu ada filem Hollywood, Korea dan sebagainya. Namun, filem kami jadi pilihan... Alhamdulillah.

"Jujurnya, saya tidak tahu soal kutipan di pawagam. Namun, saya tahu, jumlah diperoleh tidak berapa baik sebab tahun lalu, banyak perkara yang berlaku di dunia, seperti krisis Palestin-Israel dan sebagainya.

"Apa yang saya tahu, filem dihasilkan Disney dan Marvel juga 'berterabur' kutipannya. Namun, kami buat yang terbaik dan bersyukur La Luna dapat 'merantau' ke beberapa negara. Pada 4 Februari lalu, filem saya ini menutup Filem Festival Rotterdam melalui sesi tayangan khas," katanya kepada BH Online.

M Raihan tidak menafikan ramai tidak tahu kewujudan filem La Luna sehinggalah ditayangkan di Netflix.

"Betul kita buat filem La Luna dengan landskap berbeza. Jadi, apabila kita buat cerita yang ringan, tetapi, mungkin ada isu sensitif dan ketika ditayangkan, tercetus isu Palestin, maka, susah hendak 'jual' filem kita.

"Kalau kita hendak 'jual' komedi dan daripada sudut 'cheekiness' (sifat nakal), orang akan cakap, kami tidak sensitif. Jadi, kami kena kawal strategi pemasaran dan kena ikut sensitiviti orang ramai ketika itu. Sayangnya, kami tidak boleh jual dengan cara yang kami mahu.

"Apa nak buat? Kami kena bergantung pada pemasaran tradisional dan tidak boleh buat lebih daripada itu. Jujurnya, ada banyak klip atau adegan kami sunting.

"Bayangkan, kalau kita tunjuk klip yang 'cheeky' di laman sosial dan pada masa sama, kita tengok kematian kanak-kanak di Palestin, tidakkah kami dikatakan tidak sensitif?" katanya, dipetik daripada BH Online.

M Raihan berkata, di sebalik apa yang berlaku, dia percaya kandungan baik adalah lebih utama dalam menghasilkan filem bermutu.

"Sudah tentu daripada sudut bisnes, kita mahu filem kita mendapat pulangan baik, pecah panggung dan seumpamanya. Tetapi saya belajar, kalau filem ini tidak ada kandungan baik, ia tidak akan berjaya sekarang.

"Saya selalu cakap kepada pasukan saya, kita boleh buat filem yang kurang baik tetapi pecah panggung atau kita buat filem yang baik, tetapi tidak 'box office', namun, terus menarik perhatian penonton dalam jangka masa lama.

"Kami mahu filem dihasilkan terus malar segar," katanya.

Tambah Raihan, tayangan di Netflix adalah medium terakhir bagi mereka.

Bagaimanapun, Netflix tidak dapat ditonton di China dan Jepun, jadi penerbit mungkin mahu meneroka peluang menayangkan naskhah terbabit di negara berkenaan.

Selain Sharifah Amani dan Sam, filem La Luna dibintangi Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Nam Ron, Farah Ahmad, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Wafiy Ilhan.

Dengan kos produksi sebanyak RM3.5 juta (S$1 juta), La Luna berlatar belakang sebuah kampung rekaan bernama Bras Basah yang mengamalkan undang-undang paling tegas.

Kewujudan kedai pakaian dalam diberi nama La Luna yang dibangunkan Hanie, iaitu watak dihidupkan Sharifah Amani, 'menghidupkan' kampung yang sunyi dan tidak bersemangat.

Biarpun penduduk kampung mula menerima kehadiran Hanie, namun, ketua kampung nekad mengusir pemilik kedai terbabit dengan apa cara sekalipun.

M Raihan yang pernah menghasilkan filem gusti gadis bertudung berjudul Banting, dilapor mendapat idea menghasilkan La Luna apabila membaca artikel berkaitan kedai pakaian dalam wanita di Arab Saudi.

Diterbitkan Clover Films, ACT 2 Pictures, dan Papahan Films dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), La Luna ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 9 November tahun lalu, disusuli Singapura pada 16 November.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan