Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'La Luna' dapat sambutan baik; mungkin ditayangkan di pawagam merata Jepun

Filem 'La Luna' arahan pengarah dan penerbit filem tempatan, M. Raihan Halim, mungkin ditayangkan di pawagam di merata Jepun tidak lama lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Filem 'La Luna' arahan pengarah dan penerbit filem tempatan, M. Raihan Halim, mungkin ditayangkan di pawagam di merata Jepun tidak lama lagi.

Ini menyusuli sambutan memberangsangkan yang diterimanya di Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke-36 baru-baru ini.

Berita itu dikongsi di sidang media filem pada Jumaat (10 Nov) menyusuli tayangan perdananya di Golden Village Bugis+ malam semalam (9 Nov).

Acara itu turut dihadiri Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo.

La Luna diterbitkan oleh Clover Films, ACT 2 Pictures dan Papahan Films itu berdasarkan kisah sebenar yang berlaku di Arab Saudi.

Ia mengisahkan seorang warga kota bernama 'Hanie' yang 'mengganggu' keamanan sebuah kampung rekaan bernama Kampung Bras Basah apabila beliau membuka kedai pakaian dalam bernama 'La Luna'.

Semasa sidang media itu, Raihan berkata isu seperti masyarakat konservatif, hak wanita serta keganasan keluarga yang disentuh berjaya menarik perhatian penonton.

(Gambar: Golden Village)

"Bila kita tayang filem ini di Tokyo, di Jakarta, di Malaysia, di Singapura, lain-lain reaksi mereka. Di Tokyo mereka betul-betul memberi respons kepada idea patriarkal. Kami sedang menunggukan berita di mana filem La Luna ini mungkin ditayangkan di Tokyo, di Jepun secara keseluruhan.

"Di Jakarta pula, ada idea bagaimana agama boleh disenjatakan. Di Malaysia topik isu keganasan keluarga, di Singapura, sebenarnya semua sekali digabungkan. Bagi saya, ia sangat menarik bagaimana filem ini ditonton dan diserap dengan berbeza dari satu negeri ke satu negeri," kata Raihan, yang pernah mengarahkan filem pertamanya berjudul 'Banting' pada 2014.

(Gambar: Golden Village)

Antara barisan pelakon hebat yang membintangi filem itu ialah Shaheizy Sam yang memegang watak sebagai seorang anggota polis dan bapa tunggal bernama 'Salihin'.

"'La Luna' ini adalah antara filem kegemaran saya sekarang. Saya rasa filem ini sangat lengkap. Ia boleh dikaitkan dengan setiap lapisan masyarakat - yang masih mempunyai cinta dan kasih sayang dalam diri dan yang masih percaya kepada penyatuan," kata Shaheizy Sam.

Sharifah Amani yang memainkan watak usahawan berjiwa tegal bernama 'Hanie' berkongsi pandangan serupa.

"Sekarang ini, macam-macam sedang berlaku di dalam dunia. Kalau kita warga Kampung Bras Basah boleh ringankan sikit bebanan itu dan kongsi rasa, kongsi cinta, kongsi rasa perpaduan, kongsi rasa kasih sayang bersama anda, inshaAllah kita boleh melakukan demikian," ujar Sharifah Amani.

ANTARA WATAK PALING MENCABAR HISYAM HAMID

Satu-satunya pelakon tempatan filem ini, Hisyam Hamid membawakan watak antagonis bernama 'Pa'at'.

Menurut Hisyam, watak itu disifatkan sebagai watak paling mencabar sepanjang kerjayanya.

(Gambar: Golden Village)

"Banyak adegan-adegan yang membuat kita gelak ketawa terbahak-bahak dan ada juga detik-detik yang buat kita rasa marah. Ia mempunyai ramuan yang cukup dan lengkap untuk menjadikan ini satu filem yang baik dan menghiburkan," jelas Hisyam.

Filem 'La Luna' mula ditayangkan di Singapura mulai 16 November ini.

Selepas Singapura, ia akan menjelajah ke Indonesia pula, menjelang Disember nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan