Skip to main content

Sukan

Pasukan panjat tembok SG intai pingat Sukan SEA 2025 selepas ungguli carta kutipan pingat Kejohanan Memanjat ASEAN

Atlet sukan panjat tembok negara, Natalie Goh, mula memanjat tembok sejak usia sembilan tahun, selepas beliau minat dengan sukan itu selepas mengikuti lawatan ke gimnasium panjat dinding bersama keluarganya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan panjat tembok SG intai pingat Sukan SEA 2025 selepas ungguli carta kutipan pingat Kejohanan Memanjat ASEAN

Atlet sukan panjat tembok negara, Natalie Goh semasa memanjat tembok. (Gambar: Mediacorp)

SINGAPURA: Atlet sukan panjat tembok negara, Natalie Goh, mula memanjat tembok sejak usia sembilan tahun, selepas beliau minat dengan sukan itu selepas mengikuti lawatan ke gimnasium panjat dinding bersama keluarganya.

Goh mula menyertai pertandingan panjat tembok sejak di sekolah rendah, dengan pengkhususan dalam acara 'lead climbing' dan 'bouldering'.

Kini atlet yang berusia 18 tahun itu merupakan antara atlet panjat tembok terbaik di Singapura. Beliau antara atlet yang bantu menyumbang kepada kutipan pingat Kejohanan Memanjat ASEAN bagi Singapura.

Beliau bahkan menjuarai acara utama wanita di Kuala Lumpur pada bulan lalu.

"Saya berasa agak gembira kerana berjaya merangkul pingat emas kerana terdapat banyak atlet panjat tembok yang lebih hebat. Jadi bagi saya, ini suatu pencapaian yang agak besar," katanya kepada Mediacorp.

Secara keseluruhan, Team Singapore membawa pulang 29 pingat - sembilan pingat emas, sembilan pingat perak dan 11 pingat gangsa.

Goh dan rakan-rakan sepasukannya kini memberi tumpuan kepada acara seterusnya iaitu Sukan Asia Tenggara (SEA Games) di Bangkok pada Disember - di mana mereka menyasarkan membawa pulang sekurang-kurangnya empat pingat.
“Saya akan berlatih setiap hari. Saya berharap dapat berlatih tiga kali sehari,” kata pelajar Politeknik Republik itu kepada Mediacorp, sambil menambah bahawa beliau merancang untuk menangguhkan beberapa modul pengajian untuk memberi lebih tumpuan kepada latihan.

“Sukan SEA pastinya bertaraf lebih tinggi kerana akan ada lebih ramai pesaing.”

Jurulatih kebangsaan, Jay Koh, berkata usaha terkini dalam mempertingkatkan latihan dan minat tempatan mula membuahkan hasil.

“Para atlit panjat tembok kita, terutamanya wanita – mereka cukup baik dalam 'bouldering' dan juga 'speed',” tambahnya.

“Akhirnya, Indonesia tetap negara yang terbaik dalam sukan ini. Mereka ada standard bertaraf dunia. Tetapi kita semakin menghampirinya kerana kita mempunyai sistem."

TINGKATKAN USAHA

Bagi mempercepatkan perkembangan para atlit, badan sukan panjat negara sudah pun melakukan beberapa penambahbaikan terhadap kemudahannya, termasuk memasang dinding baharu bagi melatih para pemanjat utama.

Acara itu memerlukan para atlet memangat tembok setinggi 15 meter, sambil mengaitkan tali panjat pada sauh keselamatan sedang mereka memanjat tembok tersebut.

Dalam pertandingan, mereka diberi masa enam minit untuk meneliti tembok dan menentukan laluan untuk diambil sebelum mula memanjat.

Laluan pada dinding baharu di pusat memanjat negara itu ditetapkan mengikut piawaian pertandingan – jauh lebih mencabar berbanding gimnasium komersial.

Laluan tersebut diubah pada setiap suku tahun supaya para atlet dapat peluang untuk mencuba pelbagai tahap kesukaran teknikal.

Bagi membantu pasukan tempatan menjadi lebih pantas, Singapore Sport Climbing and Mountaineering Federation melantik pemanjat "speed" dari Ukraine, Danyil Boldyrev, sebagai perundingnya. Atlet berusia 33 tahun itu pernah memenangi pelbagai Kejohanan Dunia dan Kejohanan Eropah.

“Kami menjemput beliau sekurang-kurangnya sekali atau dua kali setahun untuk melatih pasukan 'speed' kami,” kata pengurus besar persekutuan tersebut, Rasip Isnin.

"Kami telah melihat banyak kemajuan dalam atlet 'speed' kami - dari kira-kira tujuh saat, kini mereka mencapai 5.4 saat. Sasaran kami adalah untuk mereka mencapai 5.2 saat dan ke bawah untuk memenangi pingat dalam Sukan SEA yang akan datang."

Para atlet juga akan dihantar untuk menjalani latihan di luar negara di Jepun, satu lagi negara hebat dalam sukan panjat tembok yang menghasilkan beberapa juara dunia dan Olimpik.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita