Pasukan panjat tembok SG sasar sekitar 4 pingat Sukan SEA 2025
Pasukan tersebut juga berharap untuk menunjukkan prestasi yang baik di Sukan Asia yang bakal berlangsung di Jepun pada tahun depan.

Pasukan panjat tembok Singapura ingin membawa pulang sekurang-kurangnya empat pingat daripada Sukan Asia Tenggara (SEA) 2025. (Gambar: Mediacorp)
Usaha berterusan untuk mempertingkatkan latihan dan menggalakkan penyertaan masyarakat tempatan kini mula membuahkan hasil.
Pasukan itu juga bertekad untuk mengekalkan momentum tersebut, dengan menetapkan sasaran jangka panjang, seperti meraih pingat di Sukan Asia dan Olimpik Belia.
Natalie Goh mula berjinak-jinak dalam sukan memanjat tembok sekitar 10 tahun lalu.
Kini, beliau merupakan antara atlet yang terbaik di Singapura.
Cik Natalie membawa pulang pingat emas dalam acara 'lead' wanita di Kejohanan Memanjat ASEAN di Kuala Lumpur bulan lalu.
"Saya agak gembira dapat meraih pingat emas kerana saingan melibatkan ramai pemanjat hebat lain. Jadi bagi saya, pencapaian ini memang sesuatu yang besar," kata Atlet Pemanjat Kebangsaan itu.
Singapura merangkul jumlah pingat yang tertinggi di temasya tersebut, dengan 29 pingat, termasuk sembilan pingat emas.
Prestasi itu melangkaui pencapaian negara-negara serantau lain.
"Para pemanjat kami, khususnya dalam kalangan wanita, memang cukup menyerlah dalam acara 'bouldering'. Begitu juga bagi acara panjat laju, atlet senior kami semakin pantas menunjukkan peningkatan. Namun pada akhirnya, Indonesia masih berada di puncak dengan standard bertaraf dunia, tetapi kami menuju ke arah itu secara beransur-ansur kerana kami mempunyai sistem yang tersusun," kata Jurulatih Kebangsaan, Jay Koh.
Selain itu, pasukan negara juga ingin mencapai prestasi terbaik di Sukan Asia di Jepun tahun depan, dengan proses saringan yang lebih ketat sudah pun dilaksanakan.
Mereka juga ingin terus mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi bagi memastikan kesinambungan pembangunan atlet.
Kini, lebih 40 atlet pemanjat bergabung dalam pasukan kebangsaan, berbanding sekitar hanya 30 orang tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.