Skip to main content

Singapura

Warga SG diberkas di Bangkok didakwa edar dadah di mahkamah SG

Seorang lelaki yang dikehendaki polis dan diberkas di sebuah hotel di Bangkok dalam satu serbuan oleh polis Thailand didakwa di sebuah mahkamah daerah di Singapura pada Khamis (10 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Warga SG diberkas di Bangkok didakwa edar dadah di mahkamah SG

Tan Leng Chong, 50 tahun, dibawa pulang ke Singapura dari Thailand dan ditangkap oleh pegawai CNB pada 9 Julai 2025. (Gambar: CNB)

SINGAPURA: Seorang lelaki yang dikehendaki polis dan diberkas di sebuah hotel di Bangkok dalam satu serbuan oleh polis Thailand didakwa di sebuah mahkamah daerah di Singapura pada Khamis (10 Jul).

Warga Singapura Tan Leng Chong, 50 tahun, diberkas dalam satu serbuan yang dijalankan oleh Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB) pada 5 Julai.

Dia diserahkan kepada Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura pada Rabu (9 Jul).

Tan didakwa bersubahat dalam aktiviti pengedaran dadah bersama seorang individu bernama N M Mahendran untuk mengedar campuran ganja sebelum Julai 2024, di luar Singapura.

Ganja diklasifikasikan sebagai Dadah Terkawal Kelas A.

Menurut tuduhan mahkamah, Mahendran memiliki lima ketul bahan sayuran yang mengandungi sekurang-kurangnya 4,990.6 gram campuran ganja bagi tujuan pengedaran pada kira-kira 29 Julai 2024 di Equatorial Apartments, sebuah kondominium di 48 Meyer Road.

Tan direman. Dia menghadiri perbicaraan di mahkamah menerusi pautan video sambil mengenakan kemeja polo berwarna putih dan tidak banyak bercakap ketika dia membuat penampilannya.

Pihak pendakwa memohon supaya Tan direman, dengan kebenaran diberikan untuk membawanya keluar bagi tujuan siasatan.

"Penahanan diperlukan untuk menjejaki sumber dadah bagi tuduhan utama," kata pendakwa raya.

Tan berkata dia faham. Kesnya akan disebut semula di mahkamah pada 17 Julai.

Jika sabit bersalah bersubahat dalam aktiviti pengedaran dadah, Tan boleh dijatuhi hukuman mati.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, CNB menyatakan pihaknya mengesan dakwaan penglibatan Tan semasa menjalankan siasatan terhadap satu kes pengedaran dadah pada Julai 2024.

Kes itu melibatkan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 64 tahun, yang didakwa mengedar sekitar 4.99 kilogram campuran ganja.

Semasa menjalankan siasatan, CNB mendapati Tan berada di luar negara sejak Julai 2023.

Pihaknya kemudian menghubungi rakan-rakan sejawatannya untuk mendapatkan maklumat mengenai keberadaannya, dan waran tangkap dikeluarkan terhadap Tan kerana disyaki terlibat membekalkan dadah kepada kenalannya di Singapura bagi tujuan pengedaran dan penjualan.

CNB turut menyatakan ia sudah mulakan siasatan terhadap kegiatan pengubahan wang haram terhadap Tan.

Akaun-akaun yang dipercayai dikaitkan kepada Tan dan mengandungi jumlah lebih daripada S$242,000 turut dibekukan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita