Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sumbangan Dr Maliki dalam pembangunan sosial & budaya masyarakat Melayu, bantuan SG ke Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sepanjang lebih dua dekad berkhidmat, Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman banyak memperjuangkan isu kebajikan dan kemaslahatan penduduk terutama sekali masyarakat Melayu/Islam.

Sebagai pemimpin masyarakat, beliau menyifatkan tanggungjawabnya sebagai satu amanah yang telah diberikan kepadanya.

Dalam satu wawancara khas sempena persaraannya daripada bidang politik, Dr Maliki mengimbas kembali antara projek yang diterajuinya yang banyak meninggalkan kesan seperti Projek 4650.

Projek itu menyasarkan untuk membangkitkan mereka dalam lingkaran kemiskinan dan menghadapi cabaran-cabaran sosial.

"Salah satu projek yang saya ingat ialah Projek P4650 di mana saya membantu ramai keluarga Melayu/Islam kita yang ketika itu kehilangan tempat tinggal kerana mereka menghadapi banyak masalah.

"Selepas 5 tahun, Alhamdulillah, saya dapat membantu lebih daripada 1,000 keluarga - ramai di antara mereka adalah keluarga Melayu/Islam kita ketika itu. Ini termasuk membantu mendapatkan tempat tinggal yang baharu, mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dan memantapkan dan menstabilkan kehidupan mereka," kongsi Dr Maliki.

PROJEK DIAN DORONG MASYARAKAT MELAYU/ISLAM CAPAI MOBILITI SOSIAL

Antara inisiatif lain beliau yang membantu keluarga Melayu/Islam supaya dapat mandiri dan berupaya mencapai mobiliti sosial ialah Projek Dian.
<p>Gambar: Projek DIAN@M3</p>

Dr Maliki berkata bahawa Projek Dian bertujuan untuk memastikan keluarga-keluarga Melayu yang tinggal di flat-flat sewa HDB memiliki harapan bagi masa hadapan yang cerah.

Malah tambahnya, Projek Dian itu disasar untuk menghentikan lingkaran kemiskinan agar generasi selanjutnya akan keluar dari menghadapi nasib yang sama.

Kata Dr Maliki: "Kita berharap bahawa Projek Dian akan dapat membantu keluarga-keluarga muda ini. Di sinilah kita akan menaruh ataupun melabur sumber-sumber yang diperlukan untuk anak-anak keluarga ini dan juga untuk ibu bapa mereka. Misalnya, memberi anak-anak mereka sumber yang diperlukan untuk mereka berjaya pada usia yang muda."

Dr Maliki menjelaskan lagi bahawa bantuan kepada keluarga di flat sewa dilakukan menerusi pelbagai bidang agar mereka berupaya memiliki flat mereka sendiri, sekali gus meningkatkan keyakinan diri masing-masing dan membantu mereka keluar daripada lingkaran kemiskinan.

JADIKAN WISMA GEYLANG SERAI NADI MASYARAKAT MELAYU

Dari sudut budaya dan warisan Melayu, Dr Maliki turut memainkan beberapa peranan utama.

Ini termasuk menerajui projek Jalur Budaya Geylang Serai yang meraikan warisan dan identiti masyarakat Melayu.

(Gambar: Wisma Geylang Serai/Facebook)
Beliau telah memimpin perancangan reka bentuk dan pembangunan pusat sivik baharu di Geylang Serai bagi menyegarkan semula kawasan itu dengan warisan Melayu yang unik terus dikekalkan.

Kini, Wisma Geylang Serai berdiri sebagai mercu tanda utama di kawasan tersebut serta sebagai pusat perkhidmatan sehenti untuk masyarakat Melayu/Islam.

"Berkat kerja keras dengan rakan-rakan masyarakat, kita telah dapat membina sebuah bangunan yang menjadi ikon masyarakat kita kerana itulah visi kita Wisma Geylang Serai - sebagai nadi masyarakat kita di mana masyarakat kita merasa bangga. Terdapat satu bangunan yang dapat mengenal pasti sebagai hak mereka sebagai satu masyarakat. Bangunan di mana budaya serta warisan masyarakat Melayu dapat terus kita kekalkan," tambah Dr Maliki lagi.

Beliau juga mempengerusikan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

DR MALIKI TERAJUI MISI BANTUAN KEMANUSIAAN KE GAZA

Sebagai Menteri Kedua Ehwal Luar, Dr Maliki juga telah menerajui penghantaran bantuan kemanusiaan pertama ke Gaza menerusi Mesir.
Gambar: Humanity Matters
"Kami akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi di sana, untuk bekerjasama dengan kedua-dua pihak untuk mencari huraian yang kami inginkan tetapi ia merupakan sesuatu yang amat mencabar dan saya berharap rakyat Singapura faham bahawa ia bukan mudah.

"Ia bukan mudah dan kami perlu terus mencipta ruang untuk bekerjasama dengan kedua-dua pihak dan disebabkan itu kami terus bekerjasama dengan Israel dan Menteri Ehwal Luar sudah mengunjungi Israel dan berkomunikasi secara langsung, berkongsi kedudukan kami. Oleh sebab kami terus mempunyai ruang untuk berkomunikasi, kami telah berjaya dan antara segelintir tentera udara yang diberikan kebenaran untuk menghantar bantuan kemanusiaan. Tidak banyak tentera udara yang mendapat kebenaran untuk melakukannya. Ia hanya kerana kami dianggap sebagai rakan yang boleh dipercayai," ujar Dr Maliki.

RANCANGAN SELEPAS PERSARAAN


Ketika ditanya mengenai rancangan beliau setelah bersara daripada politik, ini jawapannya:

"Penyesalan terbesar saya ialah saya tidak dapat menghabiskan banyak masa dengan keluarga saya. Saya hanya meluangkan masa yang sedikit dengan mereka. Anak perempuan saya berusia enam tahun, manakala anak lelaki saya berusia tiga tahun apabila saya menceburi bidang politik. Kini, anak perempuan saya hampir 30 tahun dan baru mendirikan rumah tangga. Anak lelaki saya kini pula berusia 27 tahun. Saya tidak dapat melihat mereka membesar.

"Saya tidak dapat meluangkan waktu dengan ibu bapa saya yang sudah berumur. Oleh itu, saya ingin bermuhasabah diri dahulu sebelum saya mengambil langkah yang seterusnya, meluangkan lebih masa, meluangkan lebih masa dengan isteri dan berehat seketika," luahnya.

Dr Maliki, 60 tahun menyertai bidang politik pada 2001 dan mengumumkan persaraannya pada 21 April lalu.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan