Penumpang redah hujan, lalui perjalanan lebih lama pada hari kedua gangguan MRT Laluan Timur-Barat
SINGAPURA: Orang ramai berdepan cabaran besar pada Khamis (26 Sep), kerana tiada khidmat kereta api antara stesen Jurong East dengan Buona Vista buat hari kedua, disebabkan gangguan bekalan elektrik yang berlaku pada Rabu.
Dalam kemas kini oleh SMRT pada pagi Khamis, ia menyatakan perkhidmatan kereta api ulang-alik disediakan antara stesen Boon Lay dengan Jurong East, serta khidmat bas ulang-alik antara Queenstown dengan Buona Vista.
Khidmat bas biasa percuma juga disediakan antara stesen Boon Lay dengan Queenstown, serta Jurong East dengan Buona Vista.
Pengendali pengangkutan itu juga menasihatkan para penumpang untuk menjaga golongan berkeperluan khas.
Dalam catatan Facebook pada pagi Khamis, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengucapkan terima kasih kepada penumpang atas kesabaran mereka semasa waktu kemuncak, yang berlaku ketika hujan turun.
LTA menyatakan ia bekerjasama rapat dengan SMRT, SBS Transit dan Tower Transit sebab menyediakan khidmat bas ulang-alik dan pengawalan orang ramai di pelbagai lokasi.
"Kami menggesa penumpang untuk bersabar dan mengekalkan ketenteraman ketika menunggu bas sambil kami meneruskan usaha pemulihan kami," tambah LTA.
KEADAAN PADA WAKTU PAGI
Mohamed Fayyaz, seorang penumpang, memberitahu Mediacorp dia meninggalkan rumah 20 minit lebih awal untuk ke tempat kerja, kerana mengambil kira gangguan perkhidmatan pada Khamis.
Dia membuat perjalanan dari Kallang ke Choa Chu Kang, yang biasanya mengambil masa kira-kira satu setengah jam.
Disebabkan gangguan tersebut, dia perlu menaiki kereta api di Laluan Timur-Barat dari Kallang ke Buona Vista, dan kemudian menaiki bas ulang-alik ke Jurong East, sebelum meneruskan perjalanan ke Choa Chu Kang melalui laluan Utara Selatan.
Ketika Mediacorp bercakap dengannya pada 7.30 pagi tadi, beliau sudah mengambil masa sejam untuk ke tempat kerja.
Menjelang 8.00 pagi, hujan renyai-renyai mula turun di Buona Vista, dengan awan mendung kelihatan.
Kakitangan SBS dilihat memegang payung untuk melindungi para penumpang daripada hujan, ketika mereka menaiki bas.
Kira-kira 8.15 pagi, trafik mula sesak di North Buona Vista Road, dengan sejumlah bas ulang-alik sedang beratur di jalan tersebut.
Menurut Mediacorp, sekurang-kurangnya 90 penumpang berada di dalam setiap bas ulang-alik.
Mediacorp juga menarik perhatian bahawa keadaan masih terkawal dan barisan beratur bergerak dengan pantas, serta tiada penumpang yang marah atau menjerit tidak puas hati.
Menjelang 9.00 pagi, kesesakan mula berkurangan di Buona Vista, dengan hanya lebih sepuluh penumpang sedang menunggu bas ulang-alik.
Kakitangan SMRT, SBS Transit dan polis di Buona Vista dilihat bekerja keras tanpa henti sepanjang pagi, untuk memastikan keadaan berjalan dengan lancar.
Di Jurong East pula, sekurang-kurangnya empat bas ulang-alik sedang beratur berdekatan stesen MRT pada pukul 7.00 pagi, Para penumpang dilihat menaikinya dengan tenang, sedang kakitangan memberitahu mereka bas tersebut akan membawa mereka ke Clementi, Dover dan Buona Vista.
Ia mula hujan pada 8.00 pagi di stesen MRT Jurong West, namun penumpang tidak menghiraukannya, sedang mereka menaiki bas.
Barisan beratur mula panjang berdekatan stesen MRT Jurong East pada pukul 8.15 pagi.
Namun tiada sebarang tanda bahawa penumpang rasa marah, sedang mereka menunggu untuk menaiki bas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.