Skip to main content

Singapura

NDR2026: Pulau baharu di barat Singapura boleh buka jalan bagi tenaga nuklear: Pakar

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2026: Pulau baharu di barat Singapura boleh buka jalan bagi tenaga nuklear: Pakar

(Dari atas, mengikut arah jam) Pesisir Pulau Sudong, pemandangan dari udara Pulau Bukom dan bahagian selatan tapak pelupusan sampah Semakau. (Gambar: CNA, Shell dan NEA)

Diterbitkan : 24 Aug 2026 06:47PM Dikemas Kini : 24 Aug 2026 06:48PM
SINGAPURA: Pulau baharu yang dirancang di barat Singapura boleh menempatkan kemudahan tenaga nuklear serta industri yang menggunakan tenaga berkuasa tinggi seperti pengilangan semikonduktor dan pusat data pada masa akan datang, menurut pakar tenaga pada Isnin (24 Ogos).

Lokasi di luar pesisir boleh menangani antara kekangan terbesar Singapura dalam melaksanakan tenaga nuklear – jumlah tanah yang perlu diperuntukkan – selain menyediakan akses kepada air laut untuk tujuan pendinginan dan pemisahan daripada kawasan penduduk.

Singapura belum membuat keputusan sama ada untuk menggunakan tenaga nuklear, namun sedang mengambil langkah memperkukuh keupayaan dan kepakaran dalam bidang tersebut.

Mulai 2027, negara ini akan menjalani penilaian antarabangsa bagi menilai kesediaannya untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi mengenai penggunaan tenaga nuklear.

Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan 2026 (NDR2026) pada Ahad (23 Ogos) bahawa Singapura merancang menggabungkan beberapa pulau di selatan Pulau Jurong – yang mungkin termasuk Semakau, Bukom dan Pulau Sudong – bagi membentuk sebuah pulau lebih besar dalam beberapa dekad akan datang.

BERITA Mediacorp melaporkan pulau baharu itu boleh menyokong industri generasi baharu, termasuk pengilangan maju, selain menempatkan prasarana penjanaan tenaga bagi memenuhi keperluan Singapura pada masa hadapan.
TENAGA NUKLEAR SATU KEMUNGKINAN

Para pakar menarik perhatian kepada kemajuan teknologi nuklear yang boleh menjadikan reaktor modular kecil (SMR) lebih sesuai bagi Singapura yang berdepan kekangan tanah.

Berbanding reaktor konvensional yang lebih besar, sesetengah reka bentuk SMR memerlukan kawasan lebih kecil serta mempunyai keperluan perancangan kecemasan yang lebih rendah.

Pengarah Pusat Tadbir Urus dan Kemampanan di Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Lawrence Loh, berkata lokasi di luar pesisir boleh memudahkan prasarana nuklear dipisahkan dan dilindungi daripada kawasan penduduk.

Menurutnya, pemisahan itu juga boleh membantu meyakinkan orang ramai memandangkan terdapat keprihatinan mengenai tenaga nuklear, selain membolehkan akses kepada kemudahan tersebut dikawal dengan lebih ketat.

Zamil Kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Alvin Chew pula berkata tenaga nuklear memerlukan bangunan pembendungan yang besar, bukan sahaja bagi reaktor tetapi juga kemudahan penjanaan seperti turbin.

Prasarana sokongan memerlukan asas yang kukuh, manakala tenaga elektrik yang dijana di pulau itu perlu dihantar ke tanah besar Singapura menerusi kabel dasar laut.

Lokasi luar pesisir turut menyediakan akses kepada air laut bagi tujuan pendinginan.

Namun, Pengerusi Bersama Pengasas Pusat Tenaga dan Sumber Strategik (CSER), Dr Victor Nian, memberi amaran bahawa lokasi luar pesisir tidak semestinya menjadikan sesebuah kemudahan lebih selamat.

Menurutnya, keselamatan masih bergantung kepada teknologi, kejuruteraan, kawal selia dan keadaan khusus tapak berkenaan. Pembangunan luar pesisir juga boleh melibatkan kos prasarana dan kejuruteraan marin yang lebih tinggi.

Dr Nian turut membangkitkan kemungkinan kemudahan terapung di luar pesisir yang menggunakan teknologi tenaga nuklear canggih bagi menjana tenaga elektrik rendah karbon, menghasilkan hidrogen dan penyulingan air laut.

PILIHAN TENAGA JANGKA LEBIH DEKAT

Walaupun tenaga nuklear boleh menjadi pilihan bagi jangka lebih panjang, bentuk penjanaan tenaga lain mungkin lebih sesuai dilaksanakan lebih awal di pulau baharu itu.

Zamil Penyelidik Kanan Institut Kajian Tenaga (ESI) NUS, Dr Kim Jeong Won, berkata loji gas asli yang bersedia menggunakan hidrogen boleh menjadi antara pilihan paling munasabah dalam jangka lebih dekat.

Ini memandangkan gas asli dijangka kekal sebagai bahagian penting dalam campuran tenaga Singapura selama beberapa dekad.

Penjanaan tenaga menggunakan ammonia juga boleh menjadi satu lagi pilihan.
Related article image
Tangki penyimpanan dan loji penapisan minyak di Pulau Jurong pada 24 Mac 2026. (Gambar fail: REUTERS/Edgar Su)
'PULAU JURONG 2.0'

Profesor Loh menyifatkan pulau yang dicadangkan itu sebagai berpotensi menjadi “Pulau Jurong 2.0”, dengan tumpuan lebih besar terhadap tenaga.

Daripada menetapkan penggunaan teknologi tertentu sekarang, beliau berkata keutamaan adalah memastikan pulau itu bersedia menampung keperluan tenaga memandangkan teknologi berkembang dengan pantas dan tempoh pembangunan pulau tersebut mengambil masa yang panjang.

Selain penjanaan tenaga, para pakar berkata pulau baharu itu boleh menempatkan industri yang menggunakan tenaga berkuasa tinggi dan memerlukan bekalan tenaga yang besar serta boleh dipercayai.

Antaranya adalah pusat data, sedang perkembangan kecerdasan buatan (AI) meningkatkan permintaan terhadap kapasiti pengkomputeran dan tenaga elektrik.

Industri semikonduktor, pengilangan maju, kimia dan prasarana digital juga dikenal pasti sebagai antara sektor yang boleh ditempatkan di pulau berkenaan.

Namun, para pakar turut memberi amaran mengenai kemungkinan kesan terhadap alam sekitar.

Kerja-kerja penambakan tanah dan pelepasan haba daripada loji tenaga boleh menjejas ekosistem marin, manakala kerja penambakan turut menimbulkan keprihatinan mengenai kesannya terhadap terumbu karang di sekitar pulau-pulau barat dan selatan Singapura.

TEROWONG TEKONG BOLEH SOKONG KEPERLUAN SAF

Para pakar pertahanan turut menilai kesan kemungkinan pembinaan terowong bawah laut antara Pulau Tekong dengan tanah besar Singapura.

Pulau Tekong, yang menempatkan Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC), kini tiada laluan darat dengan tanah besar.

Lebih banyak penambakan tanah di selatan Tekong juga dirancang bagi menyediakan ruang latihan tambahan untuk Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Dengan peluasan pulau itu dan kemungkinan pembinaan terowong bawah laut, SAF boleh memindahkan lebih banyak keperluan latihannya dari tanah besar dan menempatkan lebih banyak aset tentera di Pulau Tekong, menurut Zamil Penyelidik Bersekutu RSIS Thomas Lim.

BERITA Mediacorp pada Ahad (23 Ogos)melaporkan pemerintah sedang mengkaji daya maju membina terowong bawah laut bagi menghubungkan Pulau Tekong dengan tanah besar Singapura.
Sekitar 500 hektar tanah juga akan tersedia bagi kegunaan awam pada masa hadapan selepas keperluan SAF dipenuhi, namun belum ada keputusan mengenai bagaimana tanah itu akan digunakan.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita