Skip to main content

Singapura

NDR2026: Semakau, Bukom dan Pulau Sudong mungkin digabung bentuk pulau baharu bagi keperluan industri, tenaga SG

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2026: Semakau, Bukom dan Pulau Sudong mungkin digabung bentuk pulau baharu bagi keperluan industri, tenaga SG

Pemandangan dari udara bahagian selatan tapak pelupusan sampah Semakau. (Gambar: NEA)

Diterbitkan : 23 Aug 2026 10:19PM
SINGAPURA: Beberapa pulau di barat Singapura, termasuk Semakau, Bukom dan Pulau Sudong, mungkin digabungkan menjadi sebuah pulau lebih besar bagi menyokong industri generasi baharu.

Pulau baharu yang terletak di selatan Pulau Jurong itu juga boleh menempatkan prasarana penjanaan tenaga bagi memenuhi keperluan Singapura pada masa hadapan.

Perdana Menteri Lawrence Wong mendedahkan rancangan tersebut semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan 2026 pada Ahad (23 Ogos).

"Ini adalah rancangan jangka panjang. Kita sedang menelitinya dengan teliti," kata PM Wong.

Beliau berkata rancangan itu mengimbau pembangunan Pulau Jurong, di mana beberapa pulau di luar pesisir digabungkan secara bertahap-tahap menerusi kerja-kerja penambakan tanah bagi membuka laluan kepada pembangunan industri petrokimia Singapura.

"Hari ini, Pulau Jurong adalah hab tenaga dan kimia global," kata PM Wong sambil menambah pelaburan itu membawa manfaat berpanjangan kepada Singapura.

"Ia mewujudkan banyak pekerjaan baik. Ia mengukuhkan kedudukan industri-industri penting di sini. Ia menjadikan Singapura sebagai hab penting dalam aliran tenaga global.

"Semua itu telah memperkukuh keselamatan dan daya tahan tenaga kita – sesuatu yang kita saksikan berkali-kali, termasuk yang terbaharu di tengah-tengah ketegangan di Timur Tengah," katanya.

SOKONG INDUSTRI GENERASI BAHARU

Semakau menempatkan satu-satunya tapak pelupusan sampah Singapura, manakala Bukom menempatkan loji penapisan minyak pertama negara ini.

Pulau Sudong pula mempunyai sebuah landasan udara yang digunakan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) semasa kecemasan.

Pulau-pulau tersebut, bersama beberapa pulau lebih kecil, boleh membentuk kawasan daratan baharu itu.

PM Wong berkata pulau tersebut tidak hanya tertumpu kepada industri petrokimia.

Sebaliknya, ia boleh menyokong industri generasi baharu, termasuk pengilangan canggih.

"Pulau Jurong membentuk ekonomi kita sepanjang 50 tahun lalu," kata PM Wong.

"Pulau baharu di barat ini boleh membantu membentuk Singapura bagi 50 tahun akan datang dan seterusnya."

Rancangan itu diumumkan sedang Singapura berusaha memperluaskan pilihan tenaganya dalam keadaan negara ini berdepan keterbatasan tanah dan kekurangan sumber semula jadi.

SG TEROKA PILIHAN TENAGA BERSIH

Singapura sedang meneroka sumber tenaga bersih, termasuk tenaga nuklear, bagi memperkukuh keselamatan tenaga dalam menghadapi keadaan global yang semakin tidak menentu.

Negara ini belum membuat keputusan sama ada akan menggunakan tenaga nuklear.

Mulai 2027, Singapura akan menjalani penilaian oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi menilai tahap kesediaannya untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi mengenai penggunaan tenaga nuklear.

Singapura sedang membangunkan keupayaan dalam 19 bidang yang dikenal pasti IAEA sebagai diperlukan bagi sesebuah negara membangunkan program tenaga nuklear.

Ini termasuk menilai dan membangunkan tapak sesuai bagi kemudahan nuklear dengan mengambil kira keperluan keselamatan.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita