Skip to main content

Singapura

NDR2026: Had pendapatan lebih tinggi dijangka dorong permintaan BTO November

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2026: Had pendapatan lebih tinggi dijangka dorong permintaan BTO November

Flat HDB di Potong Pasir (depan) dan Estet Bidadari (latar belakang), pada 23 Jun 2026. (Gambar fail CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 24 Aug 2026 09:07AM Dikemas Kini : 24 Aug 2026 02:31PM

SINGAPURA: Kenaikan had pendapatan isi rumah bulanan bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO) boleh meningkatkan permintaan bagi pelancaran November akan datang apabila lebih ramai pembeli layak memohon, kata beberapa penganalisis pada Ahad (23 Ogos).

Namun, perubahan itu tidak semestinya mengalihkan pembeli daripada pasaran flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), tambah mereka.

Semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan, Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan bahawa had pendapatan bagi flat baharu HDB bersubsidi akan dinaikkan daripada S$14,000 kepada S$16,000 bagi memastikan sebahagian besar rakyat Singapura terus dapat mengakses perumahan awam bersubsidi.

Sejajar dengan itu, had pendapatan bagi golongan bujang berusia 35 tahun ke atas yang layak membeli flat HDB juga akan dinaikkan daripada S$7,000 kepada S$8,000.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex Kelvin Fong berkata had pendapatan yang lebih tinggi akan meluaskan kumpulan isi rumah yang layak membeli flat baharu BTO, sekali gus membolehkan lebih banyak keluarga berpendapatan pertengahan mendapat akses kepada perumahan bersubsidi.

“Ini berlaku sedang HDB terus meningkatkan bekalan flat BTO sejak beberapa tahun lalu. Kami menjangkakan perubahan dasar ini boleh meningkatkan permintaan terhadap flat baharu dengan minat yang mungkin lebih tinggi bagi projek BTO yang terletak di lokasi strategik,” katanya.

Bagi memberi bakal pembeli flat masa yang mencukupi untuk menilai semula perancangan perumahan mereka dan memohon surat Kelayakan Flat HDB (HFE) di bawah had baharu itu, pelancaran jualan BTO seterusnya akan diadakan pada November, bukan Oktober.

Pengarah kanan analitik data Huttons Group, Lee Sze Teck, berkata kadar permohonan bagi pelancaran akan datang mungkin antara 3.5 hingga 4.0, lebih tinggi berbanding kadar 3.4 pada pelancaran Jun.

Pada November, HDB akan menawarkan sekitar 7,960 flat BTO merentasi tujuh projek. Daripada jumlah itu, dua projek di Bedok dan satu lagi projek di Toa Payoh dijangka lebih popular, katanya.

KESAN TERHADAP PASARAN JUALAN SEMULA

Penganalisis berkata kenaikan had pendapatan itu tidak semestinya mengalihkan permintaan yang ketara daripada pasaran flat HDB jualan semula.

Encik Fong daripada PropNex berkata pembeli BTO dan flat jualan semula biasanya mempunyai keutamaan berbeza, dengan flat jualan semula lebih menarik bagi mereka yang memerlukan rumah yang sedia didiami atau mempunyai pilihan lokasi tertentu.

HDB menyatakan pada Januari bahawa pihaknya akan melancarkan 19,600 flat tahun ini dan menepati jadual untuk menawarkan sekitar 55,000 flat dari 2025 hingga 2027 untuk memenuhi permintaan perumahan yang berterusan.

Selain itu, mulai pelancaran Februari 2027, keluarga pembeli kali pertama akan menerima satu peluang undian tambahan bagi setiap anak warga Singapura berusia 18 tahun ke bawah, termasuk anak yang sedang dikandung.

Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita