NDR2026: Had pendapatan BTO, EC dinaikkan; pastikan rakyat SG terus dapat akses perumahan awam bersubsidi
Anggaran Waktu Membaca:
Blok-blok flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)
- Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan kenaikan had pendapatan untuk pembelian flat BTO dan kondominium eksekutif, berkuat kuasa mulai 24 Ogos.
- Keluarga pembeli kali pertama dengan anak akan menerima peluang undian tambahan bermula Februari tahun depan, bagi meningkatkan peluang mendapatkan flat.
- Penjualan BTO seterusnya dijadualkan pada November, dengan sekitar 7,960 flat dilancarkan di beberapa kawasan utama Singapura.
- Langkah ini bertujuan memastikan perumahan awam kekal mampu milik dan mudah diakses, serta memberi sokongan lebih kepada keluarga yang semakin berkembang.
SINGAPURA: Had pendapatan bagi pembelian flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dan kondominium eksekutif (EC) akan dinaikkan bagi memastikan sebahagian besar rakyat Singapura terus mendapat akses kepada perumahan awam bersubsidi.
Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan demikian semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan 2026 pada Ahad (23 Ogos).
Had pendapatan bagi flat BTO akan dinaikkan daripada S$14,000 kepada S$16,000, manakala had bagi kondominium eksekutif (EC) pula dinaikkan daripada S$16,000 kepada S$18,000.
Mulai Februari tahun depan, keluarga pembeli kali pertama yang mempunyai atau bakal menimang cahaya mata juga akan diberikan satu peluang undian tambahan bagi setiap anak warga Singapura.
"Selama ini, kita secara berterusan meningkatkan bekalan perumahan. Hari ini, kita melihat hasil yang menggalakkan. Kadar kejayaan untuk menempah flat BTO lebih tinggi, tempoh menunggu lebih singkat dan pasaran jualan semula sudah stabil.
"Perkembangan ini memberi kita keyakinan untuk melakukan lebih banyak lagi," kata PM Wong.
Beliau berkata rakyat Singapura kini berkahwin pada usia lebih lewat, dengan ramai sudah lebih maju dalam kerjaya dan meraih pendapatan lebih tinggi apabila mereka mendirikan rumah tangga.
Keadaan itu menyebabkan ramai pasangan muda melepasi had pendapatan sedia ada.
Perubahan tersebut adalah antara langkah untuk memastikan perumahan awam dan kondominium eksekutif (EC) kekal dimampui dan mudah diakses rakyat Singapura, selain menyediakan lebih banyak sokongan kepada keluarga yang mempunyai anak.
Demikian menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam satu kenyataan bersama pada Ahad (23 Ogos).
Had pendapatan baharu itu akan berkuat kuasa bagi keluarga yang layak dan memohon surat Kelayakan Flat HDB (HFE) mulai Isnin (24 Ogos).
Surat HFE membolehkan mereka membeli flat HDB baharu yang bersubsidi, flat jualan semula HDB di pasaran terbuka dengan Geran Perumahan CPF atau mendapatkan pinjaman perumahan HDB.
Had pendapatan bagi pembeli rumah HDB bujang yang layak dan berusia 35 tahun ke atas turut dinaikkan daripada S$7,000 kepada S$8,000.
Bagi kondominium eksekutif (EC), had pendapatan baharu akan dikenakan ke atas unit baharu dalam projek dengan tender penjualan tanah yang ditutup pada atau selepas 24 Ogos.
Ia tidak akan dikenakan ke atas baki unit dalam projek EC sedia ada atau unit baharu dalam projek EC yang tender penjualan tanahnya sudah diberikan sebelum tarikh tersebut.
PENJUALAN BTO SETERUSNYA PADA NOVEMBER
Bagi memberikan bakal pembeli flat masa yang mencukupi untuk meneliti rancangan perumahan dan memohon surat HFE di bawah had pendapatan baharu, urusan penjualan BTO seterusnya akan diadakan pada November, berbanding Oktober seperti yang dirancang sebelum ini.
MND dan HDB menggalakkan semua pembeli flat yang mahu menyertai sesi penjualan BTO itu supaya memohon surat HFE lebih awal dan menyerahkan semua dokumen yang diperlukan selewat-lewatnya pada 25 September 2026.
Sekitar 7,960 flat akan dilancarkan pada November di Bedok, Geylang, Sembawang, Tengah, Toa Payoh dan Yishun.
Ia turut merangkumi apartmen jagaan masyarakat di Toa Payoh.
Butiran lanjut mengenai projek-projek tersebut, termasuk klasifikasinya, akan diumumkan semasa pelancarannya.
Menurut MND dan HDB, had pendapatan memastikan bekalan terhad flat HDB baharu bersubsidi, yang ditawarkan dengan potongan besar berbanding harga pasaran, serta geran perumahan diberikan keutamaan kepada keluarga berpendapatan rendah hingga pertengahan.
Had pendapatan itu disemak dari semasa ke semasa bagi memastikan ia sejajar dengan pertumbuhan pendapatan.
Kali terakhir had tersebut disemak ialah pada 2019.
PELUANG UNDIAN TAMBAHAN BAGI SETIAP ANAK
Satu lagi perubahan yang diumumkan adalah pemberian peluang undian tambahan kepada keluarga pembeli kali pertama yang mempunyai atau bakal menimang cahaya mata mulai Februari tahun depan.
PM Wong berkata langkah itu akan meningkatkan dengan ketara peluang mereka mendapatkan flat.
"Hari ini, kita sudah memberi keutamaan kepada pasangan yang bertunang serta pasangan yang sudah berkahwin. Namun apabila anda mempunyai anak, saya percaya anda harus diberi keutamaan lebih besar," katanya.
"Jadi, lebih ramai anak yang anda miliki, lebih banyak peluang undian yang akan anda terima – kerana kita mahu membantu keluarga yang semakin berkembang mendapatkan rumah dengan lebih cepat."
Menurut MND dan HDB, keluarga pembeli kali pertama akan menerima satu peluang undian tambahan bagi setiap anak warga Singapura berusia 18 tahun dan ke bawah bagi semua permohonan flat BTO dan Penjualan Baki Flat (SBF).
Keluarga pembeli kali pertama merujuk kepada keluarga di mana tiada seorang pun anggotanya pernah menerima subsidi perumahan pemerintah atau memiliki flat bersubsidi.
Pada masa ini, keluarga pembeli kali pertama diberi keutamaan lebih tinggi dalam undian bagi sesi penjualan BTO dan SBF.
Mereka menerima dua peluang undian berbanding satu bagi pembeli kali kedua.
Mereka yang layak di bawah kategori Pemohon Kali Pertama (Ibu Bapa dan Pasangan Berkahwin), atau FT(PMC), pula menerima tiga peluang undian.
Mereka turut diberikan keutamaan di bawah Skim Keutamaan Keluarga dan Keibubapaan apabila memohon flat BTO empat bilik atau lebih kecil bagi projek Standard.
Kategori FT(PMC) merangkumi pasangan berkahwin berusia 40 tahun dan ke bawah serta keluarga dengan sekurang-kurangnya seorang anak warga Singapura berusia 18 tahun dan ke bawah.
Ini termasuk pasangan berkahwin yang bakal menimang cahaya mata dan mempunyai pengesahan kehamilan daripada doktor.
Mereka juga tidak boleh pernah memiliki atau menjual hartanah kediaman sebelum ini, atau diberi peluang menempah flat BTO atau SBF dalam tempoh lima tahun sebelum permohonan mereka.
Semua keluarga pembeli kali pertama yang gagal dalam dua atau lebih permohonan BTO bagi flat Standard akan menerima satu peluang undian tambahan bagi setiap permohonan seterusnya, dengan jumlah keseluruhan dihadkan kepada lima peluang undian.
PM Wong turut berkata keluarga lebih besar secara automatik akan menerima lebih banyak sokongan kewangan di bawah pendekatan baharu itu.
Ini termasuk tokokan tambahan MediSave dan lebih banyak bantuan bagi keperluan pengangkutan.
"Keluarga lebih besar sering mahukan rumah lebih besar, yang menelan belanja lebih tinggi. Jadi saya sudah meminta Chee Hong Tat untuk mempertimbangkan sokongan perumahan tambahan bagi keluarga lebih besar," kata PM Wong.

Sumber : CNA/FD/fd
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.