Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Buku sejarah gastronomi Melayu Khir Johari menang Anugerah Dunia GOURMAND di Sweden

Anggaran Waktu Membaca:
Buku sejarah gastronomi Melayu Khir Johari menang Anugerah Dunia GOURMAND di Sweden

(Gambar: Khir Johari/Facebook)

SINGAPURA: Buku 'The Food of Singapore Malays: Gastronomic Travels Through the Archipelago' tulisan pengkaji sejarah makanan Melayu, Encik Khir Johari, berjaya mengharumkan nama Singapura di persada antarabangsa.

Ini selepas buku yang merungkai budaya dan sejarah makanan Melayu Singapura itu merangkul kemenangan sebagai  Buku Terbaik Dalam Kalangan Terbaik Di Dunia (Best Of The Best Book In The World) di Anugerah Dunia GOURMAND 2023 bagi Budaya Makanan, di Sweden baru-baru ini.

Yang pasti, kerja keras Encik Khir menjalankan kajian selama lebih 10 tahun dan menyerantau ke merata Indonesia dan Malaysia demi membukukan tentang sejarah gastronomi Melayu, berbaloi dan membuahkan hasil yang begitu manis.

Apabila dihubungi BERITAmediacorp, Encik Khir berkata: "Buku ini sudahpun mencipta arus gelombang dan ibarat sudah mempunyai 'kaki' sendiri!

"Kemenangan ini bukan tentang saya, tetapi tentang masyarakat kita kerana ia melibatkan ramai orang untuk menerbitkan buku ini sahaja."

Malah Encik Khir menarik perhatian bahawa buku setebal 600 halaman itu seperti sebuah projek masyarakat.

"Ia satu usaha kolektif. Kemenangan ini kemenangan mereka yang terlibat juga.

"Anugerah ini milik mereka juga - untuk Singapura," kongsi Encik Khir melalui panggilan telefon.

BUKU PERTAMA SEUMPAMANYA

Buku ini merupakan yang pertama seumpamanya. Walaupun begitu banyak 'ramuan', lauk dan kuih-muih yang dibincangkan dalam buku tersebut, ia hakikatnya bukan sebuah 'buku masak'. Tetapi buku sejarah makanan Melayu.

Hakikatnya, banyak dapatan menarik dan mungkin tidak diketahui serta tidak disangkakan mengenai makanan Melayu yang dikongsikan dalam buku tersebut.

Dalam satu wawancara bersama BERITAmediacorp sebelum ini, Encik Khir mendedahkan bahawa menerusi kajian yang dijalankan, beliau mendapati banyak makanan Melayu sebenarnya tercipta di Singapura. Lebih tepat lagi di Kampong Gelam.
Ketika itu, Encik Khir juga menzahirkan harapan agar orang ramai berasa bangga dengan warisan makanan Melayu.

Yang jelas, kini ada satu lagi sebab untuk orang ramai berasa bangga, terutama sekali dengan kemenangan di peringkat antarabangsa bagi buku tulisan pengkaji Singapura mengenai sejarah makanan Melayu.

Buku 'The Food of Singapore Malays: Gastronomic Travels Through the Archipelago' itu boleh dibeli di Kinokuniya, Epigram, Amazon.sg dan Wardah books.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan