Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura 'pusat kreatif' makanan Nusantara sejak abad ke-19, banyak makanan Melayu tercipta di sini

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Tahukah anda bahawa Singapura merupakan sebuah 'pusat kreatif' makanan bagi seluruh Nusantara pada abad-19, di mana banyak makanan asli Melayu tercipta?

Antara makanan yang tercipta di Kota Singa ini termasuklah mee rebus dan sehingga tiga jenis mee siam.

Inilah antara dapatan menarik dikongsi pengkaji sejarah makanan Melayu, Encik Khir Johari, dalam bukunya yang bertajuk "The Food of Singapore Malays: Gastronomic Travels Through the Archipelago".

Buku setebal 600 halaman itu merungkai budaya dan sejarah makanan Melayu Singapura yang sekali gus memaparkan bagaimana kehidupan sosio-budaya orang Melayu di rantau ini mempunyai pengaruh terhadap makanan yang disiapkan.

Ini merupakan buku pertama seumpama itu. Walaupun begitu banyak 'ramuan', lauk dan kuih-muih yang dibincangkan dalam buku ini, ia hakikatnya bukan sebuah 'buku masak'. Tetapi buku sejarah makanan Melayu.


BERITAmediacorp diberitahu oleh pihak penerbit buku itu, sebanyak 3,000 naskhah sudah terjual sejak dilancarkan pada lewat November lalu. Ia bahkan tersedia dalam pasaran antarabangsa seperti di toko-toko buku di Britain dan Amerika.

MENGAPA KHIR INGIN HASILKAN BUKU SEJARAH GASTRONOMI MELAYU?

Hakikatnya, tidak ada banyak bahan rujukan yang mengupas tentang budaya atau sejarah makanan Melayu, kata Encik Khir.

Inilah yang menjadi dorongan utama untuknya sanggup menjalankan kajian selama lebih 10 tahun dan menyerantau ke merata Indonesia dan Malaysia untuk membukukan tentang sejarah gastronomi Melayu.


"Kita lihat di alam Melayu dari segi penulisan tentang makanan, saya rasa begitu kurang. Kita ada banyak buku masakan. Tetapi buku yang memperkatakan tentang apa yang dimakan, mengapa kita memakan satu makanan dan cara mengolahkannya, untuk apa dan apakah simboliknya - soalan-soalan itu, saya rasa belum terjawab. Ataupun sukar kita mencari jawapannya," kata Encik Khir.

Menariknya, Encik Khir mendapati banyak makanan Melayu sebenarnya tercipta di Singapura. Lebih tepat lagi di Kampong Gelam!

MENGAPA S'PURA DIKATAKAN PUSAT KREATIF MAKANAN NUSANTARA?

Jika dikaji dari sudut sejarah, ada beberapa faktor yang menjadikan Singapura tempat di mana terciptanya banyak makanan Melayu.
(Gambar: Khir Johari)
Ini penjelasan Encik Khir:

"Kalau kita lihat kedudukan Singapura di Nusantara itu, Singapura berdekatan dengan dua tamadun utama, iaitu Cina dan India. (Jadi) masakan gastronomi Melayu kita, ada unsur-unsur dan bahan-bahan dari China dan juga dari India."

Seterusnya, tambah Encik Khir, muncul fasa kedatangan Islam dan orang-orang Eropah ke sini. Pada abad ke-19 pula, Singapura ibarat 'New York' Nusantara kerana industri percetakan yang berkembang pesat di sini.


Di samping itu, Encik Khir menarik perhatian bahawa Singapura juga pusat untuk naik haji pada tempoh itu. Bermakna, Singapura dikunjungi ramai seperti dari Surabaya, Mindanao ataupun dari Guangdong.

Bayangkan, Singapura menjadi pusat kepulauan Melayu yang melalui interaksi dari pelbagai tamadun.

"Jadi Singapura ini secara tidak langsung menjadi satu pusat kreatif kerana terdedah kepada pelbagai bahan dan jenis makanan," terang Encik Khir lagi.

APA ANTARA MAKANAN MELAYU TERCIPTA DI S'PURA?

Ditanya apakah antara makanan Melayu yang tercipta di sini, Encik Khir menyenaraikan beberapa hidangan yang mula dihasilkan di Kampong Gelam.

"Di Bussorah Street bukan ada satu, tetapi ada tiga jenis mee siam tercipta. Kita lihat di Rumah Jawa di alamat 51 Sultan Gate, di mana kita ada dapur pusat untuk buat sate. Wak-wak sate jugalah yang melahirkan mee rebus," kongsi Encik Khir.

Hidangan-hidangan ini akhirnya menyerantau jauh.
Mee Siam Mak Jarah. (Gambar: Khir Johari)

"Mee siam kita sudah berjalan jauh sampai ke Pulau Pinang. Mee rebus kita sudah sampai ke Batu Pahat, sampai ke Muar."

Ada juga kuih-kuih yang tercipta di sini - termasuk kuih talam jagung dan beberapa kuih lain yang asalnya dari negara lain tetapi diolah menjadi "versi Melayu".

"(Misalnya), kuih terumba. Itu sebenarnya makanan asal dari Ottoman ya, dari Turki, dan dipanggil Terumba. Tetapi ketika kita temui bahan ini dan kita bawa pulang ke Singapura, namanya berubah sedikit kepada terumba. Begitu juga kuih makmur. Kuih makmur asalnya dari daerah Surya ya ataupun kita panggil hari ini Syria, Lebanon. Intinya diperbuat daripada kacang ataupun kurma."

Kuih terumba. (Gambar: Khir Johari)

Bagi yang tidak mengetahui apa itu kuih terumba, ia sebenarnya sejenis kudapan ringan popular yang dijual di Kampong Gelam sehinggalah pada pertengahan 1980-an. Cara ia digoreng dan dihidangkan sangat serupa dengan makanan ringan yang lebih dikenali sebagai 'churros' sekarang. 

Pendek kata, 'churros' sebenarnya sudah lama wujud. Versi Melayu kudapan itu malah menjadi santapan kegemaran ramai di Singapura sejak abad ke-19 lagi. Cukup luar biasa!

PERLU BANGGA DENGAN WARISAN MAKANAN MELAYU

Selain mengupas bagaimana makanan tercipta dan menyerantau, buku Encik Khir juga mengajak para pembaca menyusur kembali cara-cara 'lama' dan bahan-bahan 'unik' dalam makanan Melayu.

Ini dikongsi Encik Khir dengan harapan orang ramai akan berasa bangga dengan warisan makanan Melayu.

"Dan juga saya berharap kita boleh melihat betapa ada perkongsian di antara kita dengan negara-negara jiran kerana kita serumpun. Idea makanan kita, idea gastronomi kita adalah idea serumpun," tambah beliau.

Yang pasti, kini setelah ribuan buku tulisan Encik Khir itu laris terjual dalam dua cetakan, ia kini dalam proses bagi cetakan ketiga yang dijangka keluar pada Ogos nanti.


Pihak penerbit juga sedang meneroka kemungkinan menerbitkan versi e-buku bagi tablet atau iPad.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan