Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Proses perceraian mahu dipermudah - apakah implikasi serta baik-buruknya?

Pada Selasa 6 Oktober, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Zaqy Mohamad membentangkan pindaan kepada Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) di Parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
analisisBERITA: Proses perceraian mahu dipermudah - apakah implikasi serta baik-buruknya?

Pindaan kepada Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) dibentangkan di Parlimen pada 6 Oktober 2026. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 08 Oct 2026 10:34PM Dikemas Kini : 08 Oct 2026 10:47PM
NEWS ANALYSIS: Divorce process to be simplified - what are the implications and pros and cons?
  • Zaqy Mohamad tabled an amendment to AMLA in the Singapore Parliament on Oct 6 to speed up certain divorces, including talak tafwidh cases.
  • According to Murni Abbas, the method could save about six months because the wife is given the authority to pronounce talaq on herself.
  • However, the couple must reach a sincere agreement on the home, children and other issues, without coercion, before the Shariah Court assesses the mediation case.
  • Murni warned that a rushed divorce could trigger housing problems, emotional stress and affect children, and suggested seeking help from a hakam earlier.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Pada Selasa 6 Oktober, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Zaqy Mohamad membentangkan pindaan kepada Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) di Parlimen.

Antaranya, mempermudah sesetengah proses perceraian, termasuk tidak perlu melalui pelantikan hakam, Persidangan Pra-Perbicaraan dan perbicaraan.

Hasilnya, proses perceraian dapat diselesaikan sekitar enam bulan lebih awal.
Namun, ini berlaku hanya untuk kes-kes tertentu, iaitu melibatkan Talak 'tafwidh'.

Jadi, apakah antara buruk baiknya semakan ini, jika proses perceraian dipermudah?

Kaunselor Kanan dari APKIM Resources, Cik Murni Abbas, berkongsi mengapa proses perceraian sering mengambil tempoh waktu yang lama.

"Dahulu, kalau suami cakap "saya belum bersedia", maknanya suami tidak setuju untuk melafazkan talak - walaupun mungkin mengenai nafkah, rumah atau anak-anak semuanya sudah diuruskan, kes itu tidak boleh selesai di tahap mediasi, perlu ke tahap perbicaraan. Jadi lebih panjang, lebih mahal, pastinya lebih banyak masa turun naik Mahkamah Syariah."

Namun menerusi konsep 'talak tafwidh', proses perceraian dapat dipercepatkan dalam kes-kes tertentu, tegas Cik Murni.

"Dengan 'talak tafwidh' ni maknanya, isteri akan diberikan peluang dan juga kuasa untuk melafazkan talak pada dirinya sendiri. Jadi, itu adalah satu keputusan yang boleh memendekkan tempoh perceraian."

Bagaimanapun bagi pasangan yang ingin bercerai dengan kaedah sedemikian, pindaan AMLA menetapkan, mereka perlu terlebih dahulu memastikan semua perkara yang berkaitan seperti isu rumah dan penjagaan anak, sudah disepakati antara kedua-dua pihak.

Seterusnya, kesepakatan sedemikian harus benar-benar ikhlas hasil muafakat antara kedua-dua pasangan, tambah Kaunselor Kanan itu.

"Maknanya tidak ada unsur-unsur paksaan, tekanan, apa-apa yang mereka sudah bincang. Saya pasti pihak Mahkamah Syariah akan mengendalikan kes-kes mediasi dengan memastikan, menilai, penilaian yang secukupnya akan dibuat."

MEMPERCEPATKAN PROSES PERCERAIAN BAGI KES YANG LAYAK, ADA BAIK BURUKNYA: MURNI ABBAS, KAUNSELOR KANAN APKIM RESOURCE
Related article image
Kaunselor Kanan dari APKIM Resources, Murni Abbas. (Gambar: Mediacorp)
Walaupun semakan undang-undang itu bertujuan menghasilkan keringanan dan mempercepat proses perceraian, mungkin masih ada kesan tidak diingini di sebaliknya.

Lantaran itu, kaunselor dengan pengalaman lebih 30 tahun menasihati pasangan Islam, mengaku mempunyai perasaan bercampur-baur mengenai semakan tersebut.

"Sememangnya ada perasaan legalah. Prosesnya akan bertambah pantas, jadi keperitan yang mereka lalui mungkin juga boleh lebih cepat untuk mereka hadapi. Tetapi di masa yang sama, terdapat kebimbangan juga. Maknanya apa? Berapa cepat keputusan itu dibuat, adakah pasangan betul-betul sudah bersedia?"

Ini lebih-lebih lagi berdasarkan pengalaman beliau selama ini, rata-rata pasangan yang ingin bercerai, merasa terbeban dengan proses mediasi Mahkamah Syariah.

"Ramai pasangan yang datang jumpa kaunselor berkata - "Saya datang kerana Mahkamah Syariah suruh. Kalau bagi saya, tidak perlu datang". Jadi kebimbangan saya, apakah isyarat yang ingin diberi, terutama bagi pasangan muda. Adakah perceraian sesuatu yang kita boleh ambil mudah? Yang boleh diremehkan?"
Related article image
Flat-flat HDB di Singapura. (Gambar fail: CNA/Calvin Oh)
Dari pengamatan beliau, suami isteri yang ingin bercerai, sering lebih didorong oleh perasaan dan emosi.

Sedangkan, banyak perkara berkaitan perlu difikirkan masak-masak - bermakna ia memerlukan masa.

Ini termasuklah isu yang berkait dengan perumahan dan kegenjotan yang boleh muncul, kongsi Cik Murni.

"Oh saya tidak kisah, saya kasi pada isteri saya, saya tidak kisah CPF, tidak perlu kasi balik". Tetapi selepas itu, "Mana saya hendak tinggal?" Tumpang rumah adik-beradik, atau emak. Kemudian bila ada orang tegur - rasa sedih, marah, bergaduh. Bila hendak beli rumah sendiri, tidak ada CPF, atau tidak cukup. Atau tidak boleh beli rumah lagi kerana sudah beli dua, tiga flat subsidi."

Demikian antara kes yang pernah ditangani Cik Murni secara peribadi.

Malangnya, ahli keluarga yang lain turut terseret ke dalam masalah yang timbul akibat perceraian, terutama anak-anak.

"Kalau rumah kena jual, maknanya apa? Harus beli baru. Bagaimana kalau belum dapat? Di mana hendak tinggal? Perubahan tu, anak yang sudah ada ruang sendiri, ada rumah, ada bilik sendiri - tiba-tiba terpaksa pindah dan berkongsi ruang yang sempit, yang mungkin tidak selesa, yang mungkin mereka tidak biasa, itu semua perubahan."

Pendek kata, semua ini merupakan rentetan masalah sosial lain yang boleh timbul bagi keluarga terbabit, jika keputusan untuk bercerai diambil secara tergesa-gesa.

Akhrinya, anak-anak yang mungkin menjadi mangsa, keluh Kaunselor Kanan bersama APKIM Resources itu.

"Tentu akan menjejas keadaan mental mereka, emosi mereka, dan pastinya kalau mental, emosi tergugat, terjejas, pasti dia akan menjejas dia punya konsentrasi persekolahan mereka, dia punya pelajaran semua."

Tambahan lagi, ibu bapa juga sedang mengalami tekanan emosi akibat ribut yang melanda bahtera rumahtangga mereka.

"Ibu bapa pun kadang-kadang tidak dapat kawal emosi mereka sendiri, Jadi bila anak itu marah, memberontak, ataupun dia luahkan perasaan dia, kita tidak boleh terima, kita marah. Akhirnya bergaduh, anak lari rumah, tidak balik rumah, atau balik lambat - ini semua yang saya pernah lihat."

AMBIL LANGKAH PROAKTIF BILA RUMAH TANGGA MULA RETAK, JANGAN TUNGGU NASI MENJADI BUBUR
Related article image
Panel Hakam baharu yang terdiri daripada 22 orang akan berkhidmat selama tiga tahun bermula 1 April 2026. (Gambar: Mahkamah Syariah Singapura)
Lantaran itu, sedang AMLA berhubung perceraian diperkemas bagi mencerminkan keperluan terkini, Cik Murni menyeru pasangan yang menghadapi masalah dalam rumahtangga, supaya segera mendapatkan khidmat hakam demi mencari jalan keluar terbaik.

"Jangan keadaan suami dan isteri sudah putus asa, betul-betul rasa kecewa sudah mendalam, sudah marah, sudah tidak ada rasa hormat, sudah tidak lagi percaya, baru hendak pergi Mahkamah Syariah, baru hendak jumpa kaunselor."

Lantas, langkah proatif sejak dari awal perlu diambil, sebelum nasi menjadi bubur, pesan beliau.

"Ketika itu, bukan tidak boleh diselamatkan, tetapi sukar. Kalau ada masalah, carilah hakam, orang tengah yang boleh membantu untuk menyelesaikan mengenai apa-apa rasa emosi, tidak puas hati itu. Kalau kita niatnya bersih, jujur, betul-betul niat untuk cari perdamaian, Allah SWT akan beri perdamaian."
Sumber : BERITA Mediacorp/IQ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita