Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PSLE: Sumaiyah pelajar terbaik madrasah, Khadhijah raih keputusan baik meski alami cabaran kesihatan

Memegang tanggungjawab berat selaku ketua pelajar sejak Darjah 4, Sumaiyah Yang Iskandar dari Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah menjadi teladan kepada rakan-rakan sekolahnya dari segi perwatakan dan prestasi dalam bidang akademik.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Memegang tanggungjawab berat selaku ketua pelajar sejak Darjah 4, Sumaiyah Yang Iskandar dari Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah menjadi teladan kepada rakan-rakan sekolahnya dari segi perwatakan dan prestasi dalam bidang akademik.

Hari ini (21 Nov), Sumaiyah muncul sebagai pelajar terbaik madrasah dengan gred 3 A* dan 1 A.

Sumaiyah ingin melanjutkan pelajaran ke Madrasah Al-Ma'arif bagi terus meraih keseimbangan dalam bidang ukhrawi dan akademik.

(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

"Saya hendak menjadi doktor dan saya rasa keputusan saya hari ini akan menolong saya pergi ke sekolah-sekolah yang baik supaya saya dapat meningkatkan kemahiran dan peluang untuk menjadi doktor," kongsi Sumaiyah.

BIJAK ATUR MASA BANTU IMBANGI PELBAGAI TANGGUNGJAWAB

10 pelajar terbaik madrasah tahun ini adalah dari Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah.

Rakan sedarjah Sumaiyah, Luqmaan Hakeem Mohamed Ridwan meraih gred 3 A dan 1 B berkat sikapnya bijak mengatur masa.

Luqmaan bukan sahaja memikul pelbagai tanggungjawab sebagai ketua pengawas, dia juga antara pelajar yang mewakili sekolah dalam pertandingan Robotik dan Olimpiad Matematik.

Malah, Luqmaan juga mengharumkan nama sekolah selepas memenangi beberapa pingat di peringkat kebangsaan dalam pertandingan Robotik tersebut.

"Selepas pulang daripada sekolah, saya akan mengulangkaji pelajaran saya sehingga 5.00 petang. Apabila 8.00 malam, saya akan mengulangkaji pelajaran sekolah saya sehingga 10.00 malam," kongsi Luqmaan mengenai jadual ulang kajinya.

"Kemudian saya akan baca buku cerita bahasa Inggeris atau Melayu sehingga 10.30 atau 11 malam."

Turut bercita-cita menjadi doktor, Luqmaan berhasrat membantu kanak-kanak yang mengalami ekzema, seperti dirinya.

RAIH KEPUTUSAN BAIK MESKI LAKUKAN KERTAS PSLE DI HOSPITAL

Berdepan dengan cabaran yang berbeza daripada rakan-rakan sebayanya, Khadhijah Muhammad Sayeed dari Madrasah Alsagoff Al-Arabiah terpaksa menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu dan Sains di katil hospital.

Ketua kelas ini disahkan mengalami radang saluran darah yang halus atau Henoch-Schonlein purpura (HSP), yang dapat menyebabkan pembocoran darah daripada kulit, usus, buah pinggang dan sendinya, atau kerosakan buah pinggang jika tidak dirawat.

Bagaimanapun, Khadhijah tidak pernah menjadikan keadaannya sebagai alasan untuk tidak bekerja keras dan hari ini dia berjaya meraih 3 gred A dan 1 B.

"Apabila saya mendapat tahu tentang kondisi saya, saya berasa tertekan kerana dengan kondisi saya, saya harus mengambil ubat, saya tidak akan dapat fokus terhadap pelajaran dan PSLE tetapi saya masih mahu membuat yang terbaik untuk menggembirakan ibu bapa saya," luah Khadhijah.

Seramai 250 murid madrasah menduduki PSLE tahun lalu dan peratusan pelajar yang layak ke sekolah menengah adalah yang tetinggi sejak kohort pertama pelajar madrasah menduduki PSLE di bawah Pendidikan Wajib pada 2008.  

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan