Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

99.6% murid madrasah lulus PSLE tahun ini - tertinggi sejak Pendidikan Wajib pada 2008

Peratusan pelajar Darjah 6 madrasah yang lulus peperiksaan PSLE tahun ini mencatat paras tertinggi sejauh ini, iaitu 99.6 peratus.

Anggaran Waktu Membaca:
99.6% murid madrasah lulus PSLE tahun ini - tertinggi sejak Pendidikan Wajib pada 2008

Pelajar Madrasah Irsyad Zuhri menerima keputusan PSLE 2019. (Gambar: BERITAmediacorp/Ira Musfirah)

SINGAPURA: Peratusan pelajar Darjah 6 madrasah yang lulus peperiksaan PSLE tahun ini mencatat paras tertinggi sejauh ini, iaitu 99.6 peratus.

Pencapaian itu adalah yang terbaik dalam tempoh enam tahun, sejak 2014.

Dalam perkataan lain, 249 daripada 250 pelajar madrasah yang menduduki peperiksaan PSLE tahun ini, layak meneruskan pembelajaran ke peringkat menengah.

Demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan Majlis Ugama Islam hari ini (21 Nov).

Perangkaan kelulusan tahun ini adalah kenaikan hampir tiga peratusan mata berbanding 96.8 peratus pada tahun lalu, yang juga merupakan peratusan terendah dalam tempoh enam tahun. Malah menurut MUIS kepada BERITAmediacorp, ini juga peratusan tertinggi sejak Pendidikan Wajib (CE) dimulakan di madrasah pada 2008.

Sebelum ini, peratusan tertinggi yang pernah dicatat adalah pada tahun 2017, iaitu 98.5 peratus.

Berikut adalah peratusan murid PSLE madrasah yang layak ke sekolah menengah sejak 2014:

2019 - 99.6%
2018 - 96.8%
2017 - 98.5%
2016 - 97.6%
2015 - 98.2%
2014 - 98.4%

Di sekolah-sekolah nasional pula, kadar pelajar Darjah 6 yang layak ke sekolah menengah kekal pada 98.4 peratus untuk empat tahun berturut-turut.

Para pelajar yang menduduki peperiksaan PSLE tahun ini adalah dari Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah dan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah.

Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah yang tidak memenuhi ukur tara penilaian tahun 2008 hingga 2010, tidak mengambil kohort pelajar darjah satu dari 2012 hingga 2014, dan justeru tidak mempunyai calon pelajar PSLE tahun ini.

Ia mula mengambil semula pelajar Darjah 1 pada tahun 2015 setelah berjaya memenuhi ukur tara penilaian tahun 2011 hingga 2013. Maka itu, kohort pelajar Madrasah Wak Tanjong akan menduduki peperiksaan PSLE pada tahun depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan