Siapa kata perkataan ‘Gerek seh’, ‘Kerek’ dan ‘Rilek One Korner’ bukan ‘Barang baik’?
Encik Noor Hairolz mengambil inspirasi daripada slanga Melayu yang popular dalam tahun 1970-an hingga 1990-an serta menghidupkannya dalam bentuk barangan seperti kemeja-T.
BERITAmediacorp: 'Gerek Seh', ‘Kerek’, 'Anjat boboi’/'Anjat gegerl', ‘Amaciam’, ‘Banyak songeh’, ‘Rilek One Korner’, 'Boleh blah’ serta ‘A-ah siol’ (ini bukan maki). Itulah antara sebilangan slanga bahasa Melayu yang biasa orang Melayu Singapura gunakan dalam perbualan harian.
Namun tahukah anda, slanga seperti itu juga boleh dijadikan sumber ekonomi - ya, sumber perniagaan atau mencari pendapatan - seperti yang dilakukan seorang jurugambar bernama Noor Hairolz Sinan.
Encik Noor Hairolz mengambil inspirasi daripada slanga Melayu yang popular dalam tahun 1970-an hingga 1990-an serta menghidupkannya dalam bentuk barangan seperti kemeja-T, topi, beg.

Encik Noor Hairolz (kiri) bersama rakan niaga beliau. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)
Selain itu, beliau juga menyerap slanga Melayu ke dalam bentuk parodi atau dalam bahasa Inggerisnya dipanggil 'pun' (perkataan yang mempunyai dwimakna), dengan menceduk ilham daripada jenama-jenama besar yang sememangnya dikenali ramai.
Contohnya, slanga 'Star Karat' - yang digunakan untuk menyifatkan orang yang datang lambat ke satu temu janji - reka bentuknya dilukis mirip logo filem popular 'Star Wars’. Ada juga nama jenama-jenama terkenal yang di’selekohkan’ seperti nama sebuah kugiran metal Slayer menjadi ‘Slenger', Reebok menjadi ‘Rabak’, Hasbro menjadi Halalbro, manakala Prada menjadi ‘Prata (Banjir)’.

Memang, 'statement tee' atau kemeja-T yang berciri ‘hujah’ bukan sesuatu yang baru. Tetapi begitu jarang sekali kita melihat 'hujahnya' dalam bahasa Melayu.
Kemeja-T atau barangan sedemikian lazimnya menonjolkan frasa-frasa ‘Singlish' yang lebih kepada bahasa Inggeris atau dialek Cina dan ditambah kata akhiran 'lah', seperti 'kiasu' dan ' can lah' (bolehlah). Lantaran itulah Encik Noor Hairolz mahu membawa kelainan dan memanfaatkan slanga Melayu pula, yang pastinya lebih dekat dengan anggota masyarakat Melayu.
Semua hasil kreatif Encik Noor Hairolz itu dijual di bawah jenama 'Barang Baik', juga suatu slanga dan dijadikan nama syarikat beliau. Ada di kalangan pengguna mengejanya sebagai ‘barang baek’.
Semasa BERITAmediacorp mengunjungi bilik pameran mini Encik Noor Hairolz yang terletak di Yishun semalam (12 Okt), ternyata pelbagai 'barang baik' yang dipamerkan di sana berjaya membuatkan mata wartawan ini meliar melihat slanga-slanga Melayu yang menggeletek memori sehingga terkenang zaman remajanya pada satu ketika dahulu. Begitulah menariknya slanga-slanga itu yang kini dijadikan produk kreatif.
Menceritakan tentang perniagaannya itu, Encik Noor Hairolz berkata beliau sudah mula menonjolkan slanga-slanga Melayu dalam lukisan-lukisan pada barangan yang dijualnya itu sejak di bangku sekolah lagi.
Pada waktu itu beliau berusia 21 tahun. Kini, usianya sudah mencecah 48 tahun dan minatnya untuk melukis slanga-slanga Melayu masih menebal.
Malah, lukisan-lukisan slanga Melayu ini menjadi sumber rezeki buat dirinya. Memang tidak 'buang karen!'
"Sebenarnya ilham ini datang sudah lama. Sewaktu di bangku sekolah. Sewaktu saya di sekolah desain dahulu. Jadi antara projek yang saya buat di sekolah desain itu adalah slanga Melayu. Jadi dari situ sedikit demi sedikit produk ini berkembang. Sebelum itu cuma kawan-kawan sahaja yang beli. Dan lama kelamaan saya bertekad untuk jual di pasar lambak dan online sekarang," cerita Encik Noor Hairolz.
Menurut beliau, sejak dulu lagi, beliau menyimpan tabiat mencatat apa sahaja slanga Melayu yang digunakan, yang didengar daripada orang atau yang dilihat di mana-mana.

Setakat ini, beliau mempunyai lebih 70 slanga Melayu dalam simpanan - ada yang sudah dicetak, banyak lagi yang masih belum dikeluarkan.
"Saya rasa ada lebih dari itu. Cuma mungkin ada yang sesuai ada yang tidak sesuailah pada keadaannya. Ada yang mungkin selamat untuk saya reka. Ada yang mungkin tidak. Dulu bahasa pasar kadang ada yang kasar. Ada yang boleh diterima ada yang tidak diterima. Jadi saya reka apa yang mungkin diterima, yang tak diterima saya tolaklah," kata beliau sambil tertawa.

Encik Hairolz menambah, beliau tidak mengeluarkan banyak rekaan sekali gus untuk dijual. Beliau ada strategi penjualan.
"Bertahap-tahap lah. Kalau keluarkan semua orang dah nampak kan. Pelanggan harapkan setiap bulan ada rekaan baru. Jadi kalau ada 10 desain, saya keluarkan dua untuk bulan ini. Lagi dua bulan depan. Jadi orang ternanti-nanti," kata Encik Noor Hairolz.
Bagi anda yang ingin mendapatkan rekaan berciri slanga Melayu itu, Encik Hairolz dengan baik hatinya mendedahkan kepada BERITAmediacorp lima produk baru bakal beliau keluarkan dalam bulan-bulan mendatang.
Iaitu, 'Sua Terang' (sudah jelas), 'Korner Baring' (yang disasarkan kepada penunggang motosikal), 'Kitorang' (kita orang), 'Kejong' (kaku) dan 'kenchang seh' (hebat).
Encik Noor Hairolz berkata sejak perniagaan Barang Baik itu didaftarkan secara rasmi pada 2016, beliau menjual secara purata antara 10 dengan 20 barangan sebulan. Jadi beliau mungkin sudah menjual antara sekitar 500 hingga 1,000 ‘barang baik’ itu sepanjang empat tahun ini. Encik Noor Hairolz bagaimanapun tidak dapat memberikan angkanya apabila ditanya pihak BERITAmediacorp.
Harga bagi kemeja-T rekaan beliau bermula dari $35 manakala harga bagi barangan lain bermula dari $8.
Antara yang laris dijual, kata Encik Noor Hairolz, adalah kemeja-T dan juga topi.
Barangan berciri slanga Melayu yang dijualnya itu lazimnya menarik perhatian pelanggan yang berusia antara 30-an dengan 50-an tahun. Sementara, generasi lebih muda pula biasanya akan tertanya-tanya apa makna slanga tertentu yang mungkin belum pernah mereka dengar sebelum ini.
“(Pelanggan saya) selalunya mereka sudah berumahtangga dan sudah ada anak dan kalau mereka membawa anak-anak mereka, anak-anak akan bertanya apa itu dan bapanya atau ibunya akan terangkan ini adalah bahasa-bahasa yang dulu ayah atau ibu gunakan semasa kita berbicara.
"Dari situ mereka akan, sikit lebih kurang, faham atau mereka akan tahu apa yang ibu bapa mereka lalui," ujar Encik Noor Hairolz, yang juga seorang bapa kepada dua anak remaja.

Hakikatnya, semua frasa atau slanga komunikasi lisan itu merupakan antara ’subculture’ atau budaya sampingan masyarakat Melayu. Ia adalah ciptaan masyarakat dan ia menjadi sebahagian daripada bahasa Melayu yang digunakan orang Melayu.
Bagi Encik Noor Hairolz, usaha niaga beliau ini dapat sekurang-kurangnya mengingatkan masyarakat bahawa 'singlish' bukanlah satu-satunya identiti unik Singapura. Malah, terdapat juga versi Melayu seperti yang ditonjolkan menerusi Barang Baik.
Encik Noor Hairolz juga berharap barangan yang berciri slanga Melayu rekaan beliau itu dapat sedikit sebanyak mencuit hati si pemakai dan juga orang-orang sekeliling mereka.
"Kalau kita selalu sebut slanga Melayu dalam tutur bahasa kita antara kawan, adik-beradik. Kita tidak nampak desainnya dari pakaian, dari segi barangan lain.Itu yang membuatkan saya bertekad untuk membuat sesuatu, slanga melayu sebagai barang perhiasan atau barang baju yang kita boleh cetak dan kita boleh pakai.
"Bila orang nampak mereka akan tercuit hati, mungkin mereka akan tersentak ‘eh slanga ini macam pernah dengar, tapi saya tak pernah nampak ia di dalam desain'. Jadi itu yang membuat saya teruskannya," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.