Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

FOKUS: Apakah antara istilah atau perkataan yang 100% orang S'pura sahaja gunakan?

Apakah kita sudah melalui evolusi pertuturan sehingga sudah mencipta ‘dialek Melayu Singapura’?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sedang kita mula menyambut Bulan Bahasa 2019 hari ini (7 Sep), pernahkah anda terfikir, apakah perkataan, ungkapan atau gaya perbualan yang 100 peratus Singapura?

Apakah kita sudah melalui evolusi pertuturan sehingga sudah mencipta ‘dialek Melayu Singapura’?

BERITAmediacorp meninjau suara-suara orang ramai untuk mencari jawapannya.

Masih ingat lagi kata-kata yang diluahkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Rapat Umum Hari Kebangsaan tiga minggu lalu?

"Dari pertuturan sahaja, anda boleh kenal, Ah, ini orang Melayu Singapura!"

(Gambar: Petikan dari video/BERITAmediacorp)

'GEREK SEH!' 'JANGAN YE YE OH' 100% S'PURA

Bertitik tolak dari situ, kami bertanya kepada orang ramai, apakah antara perkataan atau ungkapan yang memang 100 peratus Singapura.

Ini antara jawapan mereka:

"Perkataan ‘seh’ lah. ‘Apa seh’," kata penduduk Sembawang, Cik Rosilawati Sujat.

"Saya rasa perkataan 'bedek'," kata siswazah NIE, Muhammad Sufian Ramli.

"Bedek ah!," menurut Nurkaiyisah, yang menetap di Ang Mo Kio.

"Kekek, gerek," kata Nabil Izaham dari Sembawang.

"Gerek seh!," kata siswazah NIE, Nur Amalina Shalan, sambil tertawa.

"Saya rasa perkataan itu 'Yek Eleh'," menurut seorang lagi siswazah NIE, Asnida Daud.

"Saya rasa perkataannya 'ye ye oh'. Macam 'Jangan Ye Ye Oh eh'," kata rakannya, Norliza Mohd Ali.

Antara perkataan yang unik digunakan membentuk jati diri orang Melayu S'pura. (Gambar: Word Cloud)

(Gambar: Word Cloud)

DIALEK MELAYU S'PURA PUNYA IDENTITI TERSENDIRI

Itulah antara ekspresi yang membezakan masyarakat Melayu Singapura daripada masyarakat Melayu lain di rantau ini. Hanya kita yang menggunakannya.

Jadi, boleh dikatakan, sebagai sebuah kelompok, kita mempunyai ‘dialek Melayu Singapura’ yang tersendiri, yang menjadi sebahagian daripada identiti kita.

Walau berada luar negara seperti di Malaysia sekalipun, orang Singapura dapat mengenal pasti warga senegaranya hanya melalui percakapan.

"Ada juga bila kadang-kadang di pusat beli-belah dia cakap ‘ini baik seh’. Wah ini tentu orang Singapura," penduduk Woodlands, Cik Marsiah Mohd memberitahu BERITAmediacorp.

(Gambar: Petikan dari video/BERITAmediacorp)

Cik Marsiah Mohd, penduduk Woodlands. (Gambar: BERITAmediacorp)

Bagi penduduk Woodlands, Encik Asrin Omar, keunikan itu kadangkala membuat beliau tertanya-tanya.

"Daripada pengalaman sendiri bila pergi luar negeri kita akan jumpa kelompok-kelompok Melayu. Tapi bila berbual sama-sama dengan sendirinya dia akan kata ‘awak orang Melayu dari Singapura?’ Tapi macam lepas tu kita bertanya kenapa dia boleh tahu kita orang Singapura eh? Kenapa dia tak cakap dari Malaysia atau daripada manalah," ujar beliau.

(Gambar: Petikan dari video/BERITAmediacorp)

Encik Asrin Omar, penduduk Woodlands. (Gambar: BERITAmediacorp)

KISAH AIR JARANG & JEMPUT-JEMPUT

Untuk mendalami lagi perbezaan pertuturan Melayu Singapura dengan Melayu Malaysia, kami undang tujuh mahasiswa Singapura yang sedang menuntut di beberapa universiti di Malaysia untuk berkongsi pengalaman mereka berinteraksi dengan rakan-rakan dari seberang.

Menurut mereka, antara perbezaan atau keunikan ketara Melayu Singapura termasuklah penggunaan istilah seperti 'air jarang', 'anu' dan 'matair'.

"Kita gunakan istilah matair ataupun 'boyfriend' ataupun 'girlfriend'. Kemudian ada kawan Malaysia kami. Dia faham tapi dibahasakan kita, dia cakap ‘bahasa zaman bila kau guna? Zaman P Ramlee ke?’," kata Mahasiswa Universiti Malaya, Ahmad Aidil Hadri Sa'dullah.

(Gambar: Petikan dari video/BERITAmediacorp)

Mahasiswa Universiti Malaya, Ahmad Aidil Hadri Sa'dullah. (Gambar: BERITAmediacorp)

"Kalau kita, ‘awak anukan ini untuk saya’. Maksudnya kita nak orang itu tolong kita buatkan sesuatu. Tapi di Malaysia, bahasa itu bukan sesuatu yang kita boleh suka hati keluarkan. Sebab itu maksudnya kemaluan di Malaysia," tambah Nurul Hidayah Mohamed Fawzid, mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa.

(Gambar: Petikan dari video/BERITAmediacorp)

Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa, Nurul Hidayah Mohamed Fawzid. (Gambar: BERITAmediacorp)

Bagi mereka, walaupun cuba menyesuaikan diri dengan lingo masyarakat di Malaysia, kadangkala "terlepas juga" dek terbiasa dengan gaya percakapan Melayu Singapura.

"Walaupun saya dah tahun ini tahun kelima atau tahun keenam di Malaysia, saya tetap tercakap ‘Bang saya nak air jarang satu’ semua tengok saya ‘eh air jarang itu apa?’," kongsi mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa, Syazaa Mohamed Nizam.

(Gambar: Petikan dari video/BERITAmediacorp)

Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa, Syazaa Mohamed Nizam. (Gambar: BERITAmediacorp)

Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia, Surayya Shahri pula mencerita pengalaman lucu yang beliau alami.

"Saya nak beli di kedai, jadi saya kata ‘Bang saya nak beli jemput-jemput’ tapi abang itu kata ‘saya tak jemput awak pergi ke mana-mana pun’. Jadi kalau di Malaysia mereka panggil cekodok," kata beliau sambil tertawa.

(Gambar: Petikan dari video/BERITAmediacorp)

Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia, Surayya Shahri. (Gambar: BERITAmediacorp)

SLANGA KELOMPOK KECIL BOLEH MELUAS JADI NORMA

Topik perbezaan lidah Melayu Singapura dengan lidah Melayu negara lain itu juga menjadi satu modul pengajian possiswazah dalam Pengkhususan Bahasa Melayu di NIE.

Pensyarahnya, Prof Madya Dr. Roksana Bibi Abdullah berkata, perkataan atau slanga oleh kumpulan-kumpulan kecil, jika terus digunakan, lama-kelamaan ia boleh meluas menjadi satu norma pengguna.

Contohnya, istilah ‘gerek’ yang cukup sinonim dengan orang Singapura.

"Macam perkataan gerek itu kalau di Kedah maknanya adalah basikal. Kalau di Kelantan maknanya barang-barang emas tiruan. Jadi gerek dalam konteks Singapura ini telah diberi satu makna baru. Gerek itu satu yang positif. Maknanya sesuatu yang baik, yang stail, satu yang cantik," Dr Roksana menjelaskan kepada BERITAmediacorp.

(Gambar: Petikan dari video/BERITAmediacorp)

Pensyarah NIE, Prof Madya Dr. Roksana Bibi Abdullah. (Gambar: BERITAmediacorp)

Semua itu merupakan petanda dan bukti tentang evolusi masyarakat Melayu Singapura.

Betapa walaupun dikelilingi negara dan puak bangsa Melayu yang lebih besar di Malaysia dan Indonesia, ia masih mampu mencipta jati diri pertuturannya yang tersendiri.

'Rabak seh’, 'teruk seh’, ‘apa seh’, 'sedap gila seh’.

Istilah formal ataupun tidak, namun itulah bahasa Singapura Kita.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan