5 perkara ini boleh dilakukan jika anak anda melecur

(Gambar: Sumber web)
KUALA LUMPUR: “Alamak, macam mana dia boleh capai kopi panas yang aku buat tadi. Habis melecur tangan. Apa rawatan melecur yang sepatutnya aku buat untuk si kecil ni? Paniknya!”
Kecederaan ringan akibat melecur atau terkena benda panas kadangkala tidak dapat dielakkan. Ia digelar kecederaan gred pertama atau 'first-degree burn'. Kesan lecuran seumpama itu biasanya tidak serius kerana ia hanya melibatkan kecederaan pada bahagian paling luar kulit kita.
Walaupun bahagian yang melecur tidak serius, ia boleh menyebabkan ketidakselesaan terutamanya jika ia terkena pada anggota tertentu yang selalu digunakan atau sekiranya ia berlaku pada anak kecil.
Berikut adalah cara rawatan melecur ringan yang selamat dan boleh anda lakukan di rumah, terutamanya jika melibatkan anak kecil, menurut portal Sirap Limau.
5 RAWATAN MELECUR UNTUK ANAK KECIL
1. LETAK ANGGOTA BADAN DI BAWAH AIR MENGALIR
Apabila terpegang benda panas, anda boleh terus meletakkan anggota yang tercedera di bawah air paip selama sekurang-kurangnya 5-10 minit. Kalau terkena pada bahagian anggota yang besar, dudukkan anak di bawah pancuran air di bilik mandi selama sekurang-kurangnya 20 minit atau sehingga kesakitan tidak lagi dirasai.
Selepas itu, boleh menggunakan tuala sejuk untuk melegakan kesakitan.
Walau bagaimanapun, elakkan daripada menggunakan ais secara langsung kerana terdapat sumber yang mengatakan ia boleh menghalang pengaliran darah dan seterusnya menyebabkan kerosakan pada tisu-tisu yang sensitif.
2. TANGGALKAN PAKAIAN YANG TERKENA AIR PANAS
Menurut Dr Hana Hadzrami, jika anggota melecur dilitupi dengan barang kemas, lampin bayi atau pakaian tebal; tanggalkan dengan serta-merta supaya kulit boleh segera disejukkan sebelum ia ‘masak’.
Kadangkala, ibu bapa terus panik dan terus bergegas membawa anak ke klinik tanpa menanggalkan pakaian tebal dan masih panas.
Kulit yang tersiram air panas boleh ‘masak’ secara perlahan-lahan kerana sumber haba tidak dihentikan. Sementara menunggu masa tiba di hospital, kesan melecur ringan tadi boleh menjadi lebih teruk.
3. ELAK PETUA YANG ‘PELIK’
Selalu kita dengar petua rawatan lecur menggunakan bahan tertentu seperti tepung, ubat gigi, kicap, dan sebagainya.
Jika kesan lecuran tersebut kecil dan berlaku pada orang dewasa, petua ini mungkin boleh diguna pakai.
Namun, jangan sesekali melakukannya sebagai ‘first aid’ atau langkah kecemasan pertama, terutamanya pada anak kecil yang sedang kesakitan.
Andrew Kong, seorang ahli farmasi menjelaskan melalui sebuah akhbar bahawa kaedah sedemikian dapat membantu menyembuhkan luka dan melegakan kesakitan, tetapi ubatan-ubatan itu bukan sahaja tidak berkesan, malah mungkin akan memburukkan lagi keadaan, terutamanya jika kecederaan melibatkan anggota yang besar.
4. JIKA IA MULA MENGGELEMBUNG
Selepas beberapa hari, mungkin bahagian kemerahan itu akan mula surut dan mungkin ada yang akan menggelembung atau melepuh.
Menurut BabyCenter, apa yang perlu anda lakukan adalah menyapukan bahagian ini dengan ubat antiseptik dan balutkan dengan 'non-stick bandage' atau kain pembalut tidak melekat secara longgar.
Ingat, jangan sesekali cuba memecahkan gelembung itu kerana ia boleh menyebabkan jangkitan yang lebih teruk. Elakkan daripada menyapukan losyen, bedak, atau sebarang petua lain yang tidak diketahui keberkesanannya kerana ia turut berisiko kepada jangkitan.
5. JANGAN TERAGAK-AGAK BERJUMPA DOKTOR
Kesan melecur ringan biasanya boleh sembuh dalam masa sehari hingga beberapa minggu, bergantung kepada keadaan lecuran tersebut.
Sekiranya anda perhatikan bahagian tercedera semakin sakit, bengkak, menjadi bertambah merah, berbau, atau semakin merebak, jangan lengah untuk mendapatkan rawatan doktor kerana ia barangkali tanda jangkitan.
UTAMAKAN KESELAMATAN
Seperti yang kita tahu, kulit anak kecil adalah lebih sensitif dan cenderung menghadapi komplikasi sekiranya berlaku kecederaan.
Oleh itu, sentiasa utamakan keselamatan dan ketahui ilmu asas pertolongan kecemasan bagi memastikan sebarang kemalangan dapat ditangani dengan sebetulnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.