Bayi 17 bulan melecur terkena kuah kacang panas di Kelantan
TANAH MERAH: Bayi perempuan melecur di beberapa anggota badan selepas 'tersiram' kuah kacang panas di rumahnya di Kampung Bukit Gading di Tanah Merah, Kelantan pada Jumaat lalu (28 Apr).
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam, mangsa Nur Armel Belindha Irme, 17 bulan melecur 10 peratus di perut, paha, kaki dan sebahagian muka, lapor Harian Metro.
Ibunya, Noor Amnie Syazwanie Azman, 26 tahun, berkata kejadian berlaku ketika beliau sedang menyediakan kuah kacang untuk dibekalkan kepada seorang ahli keluarga.
"Kuah kacang yang masih panas itu saya masukkan ke dalam bekas dan diletakkan di atas meja.
"Anak (Armel) datang menghampiri tiba-tiba dan terus mencapai bekas itu sebelum kuah kacang yang masih panas 'tersiram' ke seluruh tubuhnya menyebabkan dia terus meraung.
"Dalam keadaan panik, saya mendukungnya ke bilik mandi untuk membersihkan kotoran itu sebelum bergegas ke hospital," katanya ketika dihubungi Harian Metro pada Ahad (30 Apr).
Cik Noor Amnie berkata, ketika dalam perjalanan ke Hospital Tanah Merah, tubuh anak bongsu daripada dua beradik itu kemerah-merahan dan ada gelembung selain tidak berhenti menangis.
Tambahnya, bayinya menerima rawatan selama beberapa jam di zon kecemasan sebelum dipindahkan ke wad biasa.
"Doktor memberitahu anak saya melecur 10 peratus dan lukanya perlu dibalut bagi mengelakkan jangkitan kuman.
"Setiap hari luka Armel perlu dicuci dan setiap kali itulah saya tidak sanggup melihatnya meraung kesakitan.
"Apa yang penting sekarang adalah kesembuhan anak saya dan diharap kejadian ini dapat menjadi pengajaran buat orang lain," katanya kepada Harian Metro.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.