Skip to main content

Dunia

Xi, Putin kecam dasar perlindungan perdagangan, sekatan ekonomi Barat jelang pertemuan dengan Trump di China

Presiden China Xi Jinping dan Presiden Rusia Vladimir Putin mengecam dasar perlindungan perdagangan serta sekatan ekonomi Barat pada Rabu (18 Nov), ketika Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tiba di China menjelang pertemuan tiga hala mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Xi, Putin kecam dasar perlindungan perdagangan, sekatan ekonomi Barat jelang pertemuan dengan Trump di China

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden China Xi Jinping menghadiri sesi bergambar sebelum jamuan sambutan Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Shenzhen, wilayah Guangdong, China, pada 18 November 2026. (Gambar: Iori Sagisawa/Pool menerusi REUTERS)

Diterbitkan : 19 Nov 2026 06:58AM Dikemas Kini : 19 Nov 2026 07:38AM
Xi and Putin condemn protectionist trade policies and Western protectionism as Trump arrives in China
  • On Wednesday, Nov 18, Xi Jinping welcomed Donald Trump in Shenzhen before they joined Vladimir Putin at an APEC Summit event.
  • Xi called for rules-based multilateral trade and pledged to reduce tariffs and open China’s markets, as US restrictions on AI chips prompted Beijing to threaten retaliation.
  • Putin condemned Western sanctions following the invasion of Ukraine, but said differences between countries could be addressed through negotiations. The one-hour trilateral meeting was scheduled to discuss the war, trade, AI and nuclear weapons.
  • The great-power talks raised concerns that smaller countries would be sidelined, while Japanese Prime Minister Sanae Takaichi arrived without a comparable welcome amid strained Beijing-Tokyo ties over Taiwan.
Dijana oleh AI

SHENZHEN: Presiden China Xi Jinping dan Presiden Rusia Vladimir Putin mengecam dasar perlindungan perdagangan serta sekatan ekonomi Barat pada Rabu (18 Nov), ketika Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tiba di China menjelang pertemuan tiga hala mereka.

Encik Xi menyambut sendiri ketibaan Encik Trump di lapangan terbang Shenzhen, kali pertama beliau berbuat demikian bagi seorang pemimpin asing sejak menjadi Presiden China.

Kedua-dua pemimpin berpelukan ringkas sebelum menuju ke kenderaan masing-masing.

Menurut agensi berita Xinhua, Encik Xi berkata beliau berharap dapat membincangkan hubungan China-Amerika, kerjasama Asia Pasifik dan perkembangan global bersama Encik Trump.

Mereka kemudian menyertai Encik Putin dan pemimpin lain bagi sesi bergambar serta jamuan sambutan Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

XI GESA PERDAGANGAN BEBAS, PUTIN KECAM SEKATAN BARAT

Dalam ucapannya di APEC, Encik Xi menggesa negara-negara mempertahankan sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai terasnya.

Beliau turut berikrar bahawa China akan mengurangkan tarif, membuka pasarannya dengan lebih luas dan terus melabur dalam teknologi baharu.

Kenyataan itu dibuat selepas Washington mengumumkan sekatan tambahan terhadap akses China kepada cip kecerdasan buatan (AI) canggih, termasuk keluaran Nvidia.

Beijing berikrar mengambil tindakan balas, sekali gus meningkatkan ketegangan perdagangan antara kedua-dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu.

Sementara itu, Encik Putin mengecam sekatan ekonomi Barat yang dikenakan terhadap Rusia susuli pencerobohan negara itu ke atas Ukraine.

Beliau mendakwa sekatan, tarif dan kawalan eksport gagal menghentikan pertumbuhan ekonomi Rusia, sambil menyifatkan Eropah sedang mengalami kemerosotan.

Bagaimanapun, Encik Putin berkata perbezaan pendirian antara negara masih boleh ditangani menerusi rundingan.

PERTEMUAN TIGA HALA JADI TUMPUAN DUNIA

Pertemuan Trump, Xi dan Putin dijadual berlangsung di luar Sidang Puncak APEC, dengan perang Rusia-Ukraine, perang Amerika dengan Iran, perdagangan, AI dan senjata nuklear antara isu yang berpotensi dibincangkan.

Menurut pegawai Rusia, pertemuan itu diperuntukkan selama sejam.

Seorang pegawai Amerika turut menyatakan bahawa Encik Trump dijangka mengadakan pertemuan berasingan dengan Encik Putin, tetapi pegawai Rusia menjelaskan bahawa rundingan dua hala berskala penuh tidak dirancang.

Pertemuan tiga hala tersebut mencetuskan kebimbangan di beberapa negara Eropah dan Asia bahawa kepentingan negara lebih kecil mungkin diketepikan dalam rundingan antara kuasa besar.

Sesetengah pemerhati membandingkannya dengan Persidangan Yalta pada 1945, apabila pemimpin Amerika, Britain dan Kesatuan Soviet membincangkan susunan dunia selepas Perang Dunia Kedua.

Bagaimanapun, Kremlin menolak perbandingan itu, sambil menyatakan pertemuan tersebut dijangka memberi kesan besar terhadap perkembangan global.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi tiba di China tanpa upacara sambutan seperti yang diberikan kepada beberapa pemimpin lain, di tengah-tengah ketegangan hubungan Beijing-Tokyo berhubung Taiwan.

Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita