Skip to main content

Dunia

Xi Jinping gesa APEC hapus halangan perdagangan, perkukuh kerjasama AI; China ikrar buka pasaran

Presiden China Xi Jinping menggesa negara-negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mempertahankan kestabilan serantau, menghapuskan halangan perdagangan dan memperkukuh kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) serta ekonomi digital.

Anggaran Waktu Membaca:
Xi Jinping gesa APEC hapus halangan perdagangan, perkukuh kerjasama AI; China ikrar buka pasaran

Presiden China Xi Jinping berucap pada majlis pembukaan Sidang Puncak CEO APEC, seperti yang disiarkan secara langsung di pusat media di Shenzhen, China, pada Rabu (18 Nov 2026). (Gambar: CNA/Tan Wen Lin)

Diterbitkan : 18 Nov 2026 02:35PM
Xi Jinping urges APEC to remove trade barriers and strengthen AI cooperation; China pledges to open its markets
  • At the APEC CEO Summit in Shenzhen on Nov 18, Chinese President Xi Jinping urged member economies to maintain regional stability, remove trade barriers and strengthen cooperation in AI and the digital economy amid weak global growth and rising tensions.
  • Xi backed a rules-based trading system, progress on the FTAAP and cooperation in digital trade and supply chains, while calling for inclusive and balanced development.
  • China plans to reduce tariffs, expand market access, reform regulations and gradually open its manufacturing and services sectors to attract foreign companies and provide a more stable investment environment.
  • Malaysian Prime Minister Anwar Ibrahim welcomed the move, saying market access is important for a trade-based economy. A summit of leaders from 21 APEC economies and Xi’s meetings with Donald Trump and Vladimir Putin are scheduled for Nov 19.
Dijana oleh AI

SHENZHEN: Presiden China Xi Jinping menggesa negara-negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mempertahankan kestabilan serantau, menghapuskan halangan perdagangan dan memperkukuh kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) serta ekonomi digital.

Dalam ucapannya pada Sidang Puncak CEO APEC di Shenzhen pada Rabu (18 Nov), Encik Xi turut berikrar membuka pasaran pengguna China dengan lebih luas kepada syarikat asing, sedang ketegangan geopolitik dan peningkatan dasar perlindungan perdagangan mengancam pertumbuhan ekonomi dunia.

Menurut Encik Xi, sejarah membuktikan keterbukaan membawa kemajuan, manakala dasar pengasingan akhirnya menyebabkan sesebuah negara ketinggalan.

Ucapan beliau yang berlangsung selama lebih 20 minit itu turut menekankan pentingnya kerjasama serantau bagi menangani ketidaktentuan ekonomi global.

Menurut agensi berita Xinhua, persidangan tersebut dihadiri wakil daripada 115 syarikat Fortune Global 500, selain ketua pertubuhan antarabangsa dan persatuan perniagaan.

Presiden Chile Jose Antonio Kast dan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim turut menghadiri persidangan tersebut.

KESTABILAN SERANTAU PENTING BAGI KEMAKMURAN

Encik Xi memberi amaran mengenai pertumbuhan ekonomi global yang semakin lemah, di samping peningkatan tindakan sepihak dan dasar perlindungan perdagangan.

Beliau tidak menamakan mana-mana negara atau konflik secara khusus, tetapi ucapannya dibuat ketika perang di Iran dan Ukraine berterusan, selain ketegangan perdagangan dan teknologi antara China dengan Amerika Syarikat.

Menurut Encik Xi, kestabilan jangka panjang telah membantu menjadikan rantau Asia Pasifik sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi dunia.

Beliau menegaskan bahawa kestabilan membawa keselamatan, manakala keselamatan menjadi asas kepada kemakmuran.

Encik Xi turut menggesa negara-negara anggota agar mempertahankan aturan antarabangsa yang diwujudkan selepas Perang Dunia Kedua dan bekerjasama menangani cabaran bersama.

GESA HAPUS HALANGAN PERDAGANGAN, PERKUKUH KERJASAMA AI

Dalam bidang perdagangan, Encik Xi menggesa negara-negara APEC agar mempertahankan sistem perdagangan berbilang hala berasaskan peraturan, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai terasnya.

Beliau turut menyeru kemajuan berterusan ke arah pembentukan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP), yang dicadangkan merangkumi 21 ekonomi anggota APEC.

Encik Xi mahu kerjasama dipertingkatkan dalam perdagangan elektronik rentas sempadan dan urusan kastam digital, selain memastikan rantaian bekalan global terus berfungsi dengan lancar.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan peri pentingnya kerjasama dalam bidang AI dan ekonomi digital bagi merangsang pertumbuhan ekonomi serantau.

Menurut Encik Xi, perkembangan pesat model AI berskala besar membolehkan teknologi baharu semakin digunakan dalam sektor perniagaan dan kehidupan seharian.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pendekatan kerjasama tidak boleh diseragamkan kerana setiap negara mempunyai keperluan dan keadaan berbeza.

Beliau turut menggesa pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan seimbang, dengan mengambil kira aspek kecekapan serta keadilan.

CHINA RANCANG KURANGKAN TARIF, LUASKAN AKSES PASARAN

Encik Xi turut menggariskan rancangan China untuk memudahkan syarikat asing memasuki pasaran negara itu.

Antara langkah yang dirancang termasuk mengurangkan tarif, meluaskan akses pasaran serta melaksanakan pembaharuan peraturan dan piawaian.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan jenis tarif yang akan dikurangkan, kadar pengurangan atau tarikh pelaksanaannya.

Encik Xi berkata China akan melaksanakan langkah bagi memudahkan syarikat asing memasuki dan menjalankan operasi dalam sektor pengilangan, selain membuka sektor perkhidmatannya secara berperingkat.

Langkah tersebut bertujuan menyediakan sekitaran perniagaan yang lebih stabil dan dapat dijangka bagi syarikat asing yang ingin melabur di China.

Beijing juga merancang meningkatkan import barangan dan perkhidmatan bermutu tinggi.

Dalam pada itu, Encik Xi menyifatkan inovasi dan peralihan kepada ekonomi hijau sebagai antara ciri utama pembangunan ekonomi China.

Beliau merujuk kepada penggunaan kenderaan pandu sendiri dan penghantaran menggunakan dron sebagai contoh teknologi baharu yang semakin diterapkan dalam kehidupan seharian.

Menurut Encik Xi, China akan mempercepat pembangunan sistem perindustrian moden dan memperkukuh hubungan antara inovasi teknologi dengan pembangunan industri.

Usaha tersebut juga bertujuan membantu industri tradisional meningkatkan keupayaan masing-masing, selain membuka peluang pertumbuhan baharu kepada syarikat antarabangsa.

PM ANWAR ALU-ALUKAN USAHA CHINA BUKA PASARAN

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, yang berucap selepas Encik Xi, mengalu-alukan komitmen China untuk membuka pasarannya dengan lebih luas.

Menurut Encik Anwar, langkah tersebut penting bagi negara perdagangan seperti Malaysia.

Beliau menekankan bahawa ekonomi sedang membangun bukan sahaja memerlukan pelaburan dan peningkatan perdagangan, tetapi juga akses kepada pasaran yang lebih besar.

Sidang Puncak CEO APEC berlangsung seiring dengan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC selama dua hari, yang menghimpunkan para pemimpin dan wakil daripada 21 ekonomi anggota APEC.

Antara agenda utama ialah perdagangan, AI, ekonomi digital dan kesalinghubungan.

Encik Xi dijadual menjadi tuan rumah jamuan rasmi pada petang Rabu, sebelum perbincangan utama berlangsung pada Khamis (19 Nov).

PERTEMUAN XI, TRUMP DAN PUTIN JADI TUMPUAN

Selain agenda ekonomi, perhatian turut tertumpu kepada pertemuan diplomatik berprofil tinggi di luar sidang puncak tersebut.

Encik Xi dijangka mengadakan pertemuan tiga hala dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis.

Sekiranya berlangsung, pertemuan tersebut merupakan yang pertama melibatkan ketiga-tiga pemimpin berkenaan.

Encik Xi dan Encik Trump juga dijadual mengadakan rundingan dua hala pada hari yang sama, yang bakal menjadi pertemuan ketiga mereka tahun ini.

Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita