jelasBERITA: Siapakah Houthi yang diserang tentera udara Amerika, UK?

Anggota pengawal pantai Yaman yang bergabung dengan kumpulan Houthi untuk melakukan rondaan di laut pada 4 Jan 2024 sebagai menunjukkan perpaduan dengan penduduk Gaza di tengah-tengah perang Israel dan Hamas yang masih berterusan di Gaza.(Gambar: AFP)
Perang antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas telah menarik minat pemberontak Houthi, yang menguasai barat laut Yaman selama hampir sedekad.
Seperti Hamas, Houthi memusuhi Israel dan disokong Iran.
Kumpulan pemberontak itu berkata mereka menyasarkan kapal yang ada kaitan dengan Israel, walaupun kapal yang tidak mempunyai hubungan langsung dengan Israel turut terjejas.
Pemimpin Houthi telah mengancam tindak balas "besar" terhadap AS dan sekutunya bagi sebarang tindakan ketenteraan.
SIAPA SEBENARNYA HOUTHI
Houthi, yang dipimpin oleh Abdul-Malik al-Houthi, adalah kelompok pemberontak Syiah didukung oleh Iran yang telah berperang melawan pemerintah Yaman selama sekitar dua dekad dan sekarang mengawal wilayah barat laut negara tersebut dan ibu kotanya, Sanaa.
Kumpulan ini bangkit selepas dicabar bekas Presiden Ali Abdullah Saleh pada 2004.
Mereka membangunkan ideologi mereka berdasarkan tentangan terhadap Israel dan Amerika Syarikat. Pemimpin Houthi sering kali menarik perhatian bahawa bom buatan Amerika yang digunakan untuk menyerang pasukan itu di Yaman sama dengan senjata yang dihantar ke Israel dan digunakan di Gaza.
Pada tahun 2014, pakatan tentera yang dipimpin oleh Arab Saudi ikut campur untuk cuba mengembalikan pemerintah asal negara itu setelah Houthi menawan ibu kota Sanaa, sekali gus mencetuskan perang saudara dan meragut nyawa ratusan ribu orang.
Kebanyakan negara teluk yakin, Houthi semakin 'gagah' dengan adanya bantuan senjata dan kewangan daripada Iran dan beberapa sumber lain.
Penganalisis berkata anggota Houthi mendapat latihan, kepakaran teknikal dan senjata yang semakin canggih - termasuk dron dan peluru berpandu balistik daripada Iran dan sekutu Lubnannya, Hezbollah, sebuah kumpulan militan Syiah.
Pada 2021, AS membatalkan Houthi disenaraikan sebagai kumpulan pengganas kerana bimbang label itu akan menjejaskan akses rakyat Yaman kepada keperluan asas seperti makanan dan bahan api. Pentadbiran Biden pada pertengahan November berkata ia sedang mengkaji semula keputusan itu.
BAGAIMANA PERANG SAUDARA YAMAN TERCETUS?
Pada 2011, pemberontakan Arab Spring memaksa pemerintah negara itu, Ali Abdullah Saleh, berundur selepas tiga dekad berkuasa. Di bawah perjanjian peralihan yang disokong AS, Presiden Abd Rabbuh Mansur Hadi menggantikannya, dan hasil perbincangan menetapkan sebuah konvensyen perlembagaan dan pilihan raya baharu.
Houthi, bagaimanapun, menolak rancangan persekutuan yang timbul daripada perbincangan tersebut.
Pada 2014, pemerintah mengurangkan subsidi bahan api, mencetuskan bantahan.
Kumpulan Houthi menjatuhkan pemerintah Hadi, dengan tenteranya mengekalkan kawalan di bahagian timur negara itu.
Pada 2015, Arab Saudi campur tangan dalam perang itu bagi pihak pemerintah Hadi. Keganasan yang berlarutan itu telah memusnahkan kehidupan rakyat jelata Yaman.
PERANG TERHADAP ISRAEL
Houthi telah mengisytiharkan Israel sebagai musuhnya.
Dalam satu kenyataan di televisyen pada Oktober selepas satu percubaan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel, jurucakap tentera Houthi Yahya Saree berkata pergerakan itu menyasarkan negara tersebut "untuk menyokong saudara kita yang tertindas di Palestin" dan berkata operasi akan diteruskan "sehingga pencerobohan Israel berhenti" .
Israel melancarkan kempen ketenteraan menentang Hamas di Carikan Gaza sebagai tindak balas ke atas serangan pada 7 Oktober.
APA YANG BERLAKU DI LAUT MERAH?
Houthi telah melepaskan peluru berpandu ke atas kapal yang melalui Laut Merah dan cuba menaiki dan merampas sebahagian daripadanya.
Banyak serangan dilancarkan dari selat Bab al-Mandab yang dilalui kapal untuk memasuki Laut Merah dari Lautan Hindi.
Pada November, Houthi merampas sebuah kapal milik satu unit Kumpulan Perkapalan Ray, milik ahli perniagaan Israel Rami Ungar. Houthi melepaskan peluru berpandu balistik di Teluk Aden pada Khamis, dalam apa yang dikatakan pegawai AS sebagai serangan ke-27 ke atas perkapalan komersil oleh kumpulan itu sejak 19 Nov.
Houthi mendakwa memiliki peluru berpandu pendorong cecair yang mempunyai jarak 1,350km hingga 1,950km, berpotensi sampai ke Israel.
Yaman dan Israel, dipisahkan negara Arab Saudi, dengan jarak kira-kira 1,580km pada titik terdekat mereka.
Tentera AS berkata peluru berpandu cruise dan dron yang dilancarkan ke arah Israel pada 19 Okt lalu telah dipintas oleh kapal perang Amerika di Laut Merah. Serangan pada 31 Okt melibatkan peluru berpandu balistik dan dron, menurut Houthi.
Pada 6 Dis, tentera Israel berkata sistem pertahanan peluru berpandu Israel, Arrow, memintas peluru berpandu Houthi di atas Laut Merah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.