Skip to main content

Singapura

SG kerah pasukan sertai operasi berbilang negara Laut Merah

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Jan 2024 05:53PM Dikemas Kini : 09 Jan 2024 09:10PM
SINGAPURA: Serangan yang berterusan terhadap kapal-kapal yang berulang-alik di Laut Merah, berkemungkinan akan menjejas rantaian bekalan sejagat, tetapi kesan segera terhadap Singapura dijangka terbatas.

Demikian menurut Menteri Pertahanan Ng Eng Hen pada Selasa (9 Jan).

"Berdasarkan situasi sekarang, kesan segera di Singapura dijangka terbatas kerana sebilangan besar bekalan penting kami, seperti makanan dan farmaseutikal, dihantar melalui laluan udara atau bukan melalui Laut Merah," katanya kepada parlimen.

Pengilang tempatan nampaknya mempunyai inventori ganti yang mencukupi untuk mengelak daripada berlakunya gangguan bekalan, meskipun mereka khuatir mengenai kenaikan dalam kos perniagaan, tambah menteri itu.

Laut Merah, yang terletak di antara Terusan Suez di utara dan Selat Bab al-Mandab di selatan, adalah laluan air sibuk yang menawarkan akses ke laluan perkapalan terdekat antara Eropah dan Asia.

Kira-kira 12 peratus perdagangan global melalui Laut Merah, termasuk sebanyak 30 peratus trafik kontena dan barangan bernilai lebih AS$1 trilion (S$1.3 trilion) setahun.

Dr Ng berkata setakat 7 Januari, terdapat 20 serangan - yang terdiri daripada tembakan peluru berpandu dan dron, serta percubaan merampas - oleh kumpulan Houthi Yaman ke atas kapal-kapal komersial di Laut Merah, termasuk satu di Maersk Hangzhou di bawah bendera Singapura.

Houthi menyatakan bahawa pihaknya menyasarkan kapal-kapal yang mempunyai kaitan dengan Israel, sebagai membantah kempen tenteranya di Carikan Gaza. Sekalipun demikian kapal-kapal yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan Israel juga terjejas.

Keadaan yang meruncing mendorong beberapa firma perkapalan kontena terbesar dunia, termasuk Mediterranean Shipping Company, Maersk, CMA CGM, Cosco Shipping dan Hapag-Lloyd, untuk berhenti melalui kawasan tersebut dan sebaliknya melencong ke laluan yang lebih jauh dan menelan belanja yang lebih.

Sebelum serangan berkenaan, kira-kira 60 kapal melalui Selat Bab al-Mandab di Laut Merah setiap hari, tetapi jumlahnya menyusut sekitar sepertiga dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Kapal-kapal yang berdaftar di Singapura juga terjejas, dengan jumlah persinggahan harian melalui Laut Merah kini kurang kira-kira sebanyak separuh, kata Dr Ng.

Untuk menjamin laluan laut yang penting, Amerika Syarikat dan negara-negara lain bulan lalu membentuk pasukan petugas tentera laut baharu - yang digelar Operasi Prosperity Guardian.

Dr Ng menarik perhatian bahawa Singapura akan mengambil bahagian dalam operasi itu dengan mengerahkan sebuah pasukan perancang untuk bekerja rapat dengan rakan -rakan antarabangsa di ibu pejabat mereka dalam melakarkan rancangan.

Singapura akan menghantar satu pasukan daripada Pusat Pengumpul Maklumat Angkatan Laut Republik Singapura untuk menyokong perkongsian maklumat dan usaha mendampingi masyarakat perkapalan komersial, serta wakil negara kanan kepada Angkatan Maritim Gabungan (CMF) di Bahrain, katanya.

Menteri itu menyatakan bahawa ia sejajar dengan kepentingan Singapura untuk menyertai masyarakat antarabangsa dalam melindungi dan memastikan talian komunikasi utama laut, atau SLOCS, di seluruh dunia kekal dibuka, terutamanya jika diancam oleh tindakan yang menyalahi undang-undang oleh pelaku bukan negara atau kumpulan pengganas.

"Kami sebelum ini telah membentangkan prinsip-prinsip utama yang mentadbir Selat Melaka dan Selat Singapura, apabila SLOC utama ini diancam oleh (insiden) melanun dan rompakan laut," katanya.

Dr Ng berkata bahawa pelancaran Operasi Prosperity Guardian, di bawah pimpinan Amerika, sejajar dengan prinsip-prinsip utama ini.

"Dalam hal ini, Singapura berpendirian bahawa negara-negara pesisir yang mengelilingi Laut Merah meningkatkan usaha untuk menamatkan serangan Houthi yang menyalahi undang-undang. Masyarakat antarabangsa di negara pengguna juga mempunyai peranan untuk dimainkan," katanya.

Singapura sudah menjadi anggota CMF, yang terdiri daripada 39 negara, sejak 2009. Dalam CMF, salah satu pasukan petugas ialah CTF 153 yang bertujuan untuk memastikan Laut Merah terbuka dan selamat.

Ia malah, bukan kali pertama bagi Singapura untuk mengambil bahagian dalam usaha berbilang negara sedemikian.

USAHA KEMANUSIAAN TAMBAHAN DI GAZA

SAF juga menerima pelawaan daripada Angkatan Tentera Perancis untuk menyediakan dua kakitangan perubatan untuk berkhidmat di kapal pengangkut helikopter Perancis FS Dixmude, yang kini sedang berlabuh di Mesir, kata Dr Ng kepada Dewan.

FS Dixmude ialah kapal hospital yang dikonfigurasikan semula dan telah merawat mangsa dari Gaza, kata menteri itu, sambil menambah bahawa rancangan sedang dijalankan untuk mengerahkan pasukan perubatan dari Singapura.

SAF menyokong sumbangan kemanusiaan ke Gaza, dengan usaha terbaharu dilaksanakan pada 30 November lalu apabila sebuah pesawat Angkatan Udara Republik Singapura tiba di Mesir dengan bekalan menyelamatkan nyawa bagi orang awam di Gaza.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita