Skip to main content

Ziarah pesakit hospital digantung 2 minggu selepas kes COVID-19 dalam masyarakat meningkat

Satu langkah sementara untuk mengurangkan potensi berlaku penularan COVID-19 di hospital bakal menyaksikan semua lawatan ke wad dihentikan, dengan beberapa pengecualian, mulai 5 hingga 18 Ogos. Demikian diumumkan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (4 Ogos). 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Aug 2021 04:34PM Dikemas Kini : 04 Aug 2021 08:45PM

SINGAPURA: Satu langkah sementara untuk mengurangkan potensi berlaku penularan COVID-19 di hospital bakal menyaksikan semua lawatan ke wad dihentikan, dengan beberapa pengecualian, mulai 5 hingga 18 Ogos. Demikian diumumkan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (4 Ogos).

Langkah itu diambil setelah lebih banyak kes COVID-19 dalam masyarakat dikesan baru-baru ini termasuk dalam kalangan anggota kakitangan dan pesakit hospital, menurut MOH.

Pada Selasa, MOH melaporkan Hospital Besar Changi (CGH) menjadi antara lapan kelompok baru COVID-19 di Singapura.

"Dengan ujian proaktif dan kerap di hospital, kami mengesan tiga kes COVID-19 di sebuah wad," menurut CGH dalam satu catatan Facebook.

"Kes-kes ini tidak berhubung kait dengan kelompok terdahulu CGH yang sudahpun diisytiharkan bebas COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan pada 31 Jul."

Kelompok itu, yang mempunyai 20 kes, bebas COVID-19 selepas tiada kes terkait dengannya selama 28 hari.

Pada Rabu, MOH menyatakan langkah-langkah baru akan dilaksanakan berikutan pengesanan kes.

"Sebarang pengesanan kes dalam sebuah hospital akan selalunya menyebabkan penutupan sebuah wad, menghadkan pergerakan pesakit serta kakitangan yang keluar masuk wad terjejas," jelas MOH. Pesakit dan kakitangan terjejas juga akan dikuarantin, tambahnya.

Langkah-langkah seumpama itu, meskipun perlu bagi mengekang penularan lanjut koronavirus, akan memberi kesan buruk terhadap kemampuan hospital untuk menyediakan jagaan buat pesakit dengan mengurangkan ketersediaan kakitangan hospital serta jumlah katil, terang MOH.

Sebagai langkah sementara untuk mengurangkan potensi berlaku penularan di hospital, lawatan akan dihentikan dari 5 hingga 18 Ogos.

Bagaimanapun, pengecualian akan diberikan kepada kumpulan-kumpulan pesakit berikut yang akan dibenarkan untuk menerima pelawat mengikut syarat dan bergantung kepada kes seperti yang dinilai oleh hospital:

a. Pesakit yang keadaannya amat tenat;

b. Pesakit kanak-kanak kecil

c. Ibu bakal bersalin atau baru bersalin dan

d. Pesakit yang memerlukan sokongan jagaan tambahan daripada penjaga. Misalnya, bantuan untuk pesakit yang mengalami ketidakupayaan mental dan anggota keluarga yang sedang menjalani latihan penjaga untuk menjaga dengan lebih baik orang tersayang mereka selepas dibenarkan keluar hospital.

Bagi pesakit-pesakit tersebut, hanya seorang pelawat dibenarkan berada di sisi pesakit setiap hari dengan setiap sesi tidak melebihi 30 minit , menurut MOH.

Bagi pesakit yang tenat, sehingga lima pelawat yang ditetapkan sebelumnya boleh mendaftarkan diri, dengan tidak lebih dua orang pelawat berada di sisi pesakit pada satu-satu masa. Tempoh lawatan juga tidak melebihi 30 minit.

Mana-mana pelawat yang perlu berada di sisi pesakit lebih lama daripada tempoh lawatan 30 minit itu, seperti untuk latihan penjaga, hanya akan dibenarkan berbuat demikian selepas pelawat berkenaan diuji negatif bagi ujian pantas antigen (ART) yang diselia. Kesahan ujian tersebut mestilah dalam tempoh 24 jam.

MOH menambah semua pelawat hospital mesti memakai pelitup dengan keupayaan penapisan yang baik pada setiap masa.

"Ini termasuk pelitup guna semula yang diperbuat daripada dua lapisan fabrik dan pelitup pembedahan."

MOH mengingatkan bahawa pelawat tidak boleh makan atau minum di wad pesakit. Selain itu, pelawat juga tidak boleh menggunakan tandas pesakit di dalam wad dan mesti mengelak daripada duduk di katil pesakit.

Menurut MOH, semua pesakit dalam wad dan pesakit luar - yang belum divaksin akan didampingi oleh pasukan jagaan kesihatan hospital mengenai vaksinasi COVID-19 jika sesuai dari segi klinikal.

Pesakit yang menerima dos pertama vaksinasi COVID-19 di hospital seharusnya kembali ke hospital yang sama bagi mendapatkan dos kedua mereka, menurut MOH.

"Pesakit yang sudah divaksin akan melindungi pesakit lain di hospital dan mengurangkan risiko kelompok COVID-19 di hospital," tambahnya.

MOH menyatakan ia akan menyemak langkah-langkah yang tertera di atas secara berkala.

"Kami meminta persefahaman dan kerjasama semua rakyat Singapura sedang kami membuat penyesuaian untuk menjaga pesakit dan hospital kami semasa tempoh peralihan ini ke arah sebuah masyarakat yang berdaya bingkas terhadap COVID-19." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita