Skip to main content

Wilayah Victoria mungkin kuat kuasa kepungan COVID-19

Wilayah kedua paling padat penduduk di Australia, Victoria, berkemungkinan melaksanakan kepungan COVID-19 dengan serta-merta mulai Khamis (27 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Wilayah Victoria mungkin kuat kuasa kepungan COVID-19

(Gambar: Sandra Sanders/REUTERS)

Diterbitkan : 27 May 2021 09:03AM Dikemas Kini : 27 May 2021 09:07AM

SYDNEY: Wilayah kedua paling padat penduduk di Australia, Victoria, berkemungkinan melaksanakan kepungan COVID-19 dengan serta-merta mulai Khamis (27 Mei) setelah para menteri kanan mengadakan mesyuarat pada Rabu malam untuk membincangkan langkah-langkah bagi membendung penularan terbaru di Melbourne, lapor media tempatan.

Pemerintah wilayah dijangka mengesahkan butiran muktamad kepungan itu pada pagi Khamis sebelum mengumumkan langkah-langkah kesihatan awam, lapor akhbar Sydney Morning Herald, menukil sumber-sumber pemerintah.

Seorang jurucakap jabatan kesihatan wilayah Victoria berkata besar kemungkinan akan ada kemas kini mengenai keadaan koronavirus di Victoria pada pagi Khamis.

Kepungan ketat itu dijangka berkuat kuasa selama sekurang-kurangnya tiga hari, lapor akhbar tersebut. Sepanjang tempoh itu, orang ramai mesti duduk di rumah kecuali atas urusan penting.

Satu kelompok baru di Melbourne yang dikesan pada awal minggu ini sudah bertambah kepada 15 kes dan jumlah tempat yang terdedah kepada koronavirus itu melepasi 70. Seramai 300 kontak rapat kes-kes yang dikenal pasti sejauh ini, dengan kebanyakan mereka mengunjungi tempat-tempat popular yang penuh sesak termasuk stadium sukan dan salah satu pusat beli-belah terbesar di negara itu.

Pihak berkuasa Victoria pada Rabu memberi amaran bahawa tempoh 24 jam seterusnya adalah kritikal untuk menghadkan penularan kes. Ia menyatakan sekatan lanjut mungkin dikenakan untuk membendung penularan baru, iaitu yang pertama di wilayah itu dalam tempoh lebih tiga bulan.

Sekatan koronavirus dikenakan semula pada Selasa ke atas lima juta penduduk Melbourne, menghadkan saiz perhimpunan awam dan mewajibkan pemakaian pelitup di restoran, hotel dan tempat tertutup lain sehingga 4 Jun.

Victoria menjalani salah satu kepungan paling ketat dan lama di dunia tahun lalu selepas gelombang kedua COVID-19 meragut nyawa lebih 800 jiwa di wilayah itu, membentuk 90 peratus daripada jumlah kematian di Australia sejak pandemik itu bermula.

Pengesanan kontak yang pantas, kepungan serta-merta dan peraturan jarak sosial yang ketat membantu Australia mengekalkan jumlah kes COVID-19 di paras yang agak rendah, dengan lebih 30,000 kes dan 910 kematian. 

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita