Skip to main content

Iklan

Iklan

WHO sifatkan varian baru B11529 dipanggil Omicron 'membimbangkan'

Penemuan varian baru COVID-19 mencetuskan kebimbangan sejagat pada Jumaat sedang negara-negara dunia bertindak pantas untuk menggantung perjalanan dari Afrika Selatan.

Anggaran Waktu Membaca:
WHO sifatkan varian baru B11529 dipanggil Omicron 'membimbangkan'

Papan tanda Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 27 Nov 2021 07:46AM Dikemas Kini : 27 Nov 2021 07:49AM

WASHINGTON: Penemuan varian baru COVID-19 mencetuskan kebimbangan sejagat pada Jumaat (26 Nov) sedang negara-negara dunia bertindak pantas untuk menggantung perjalanan dari Afrika Selatan, sedang pasaran-pasaran saham di kedua-dua belah Atlantik mengalami kemerosotan paling teruk dalam tempoh lebih setahun.

Amerika Syarikat akan menyekat perjalanan dari Afrika Selatan - di mana mutasi baru itu dikesan - dan negara-negara jirannya di benua tersebut bermula Isnin (29 Nov), menurut seorang pegawai kanan pentadbiran Presiden Joe Biden.

Kanada juga menyatakan ia sedang menutup sempadannya kepada negara-negara tersebut, menyusuli larangan ke atas sebilangan syarikat penerbangan yang diumumkan oleh Britain, Kesatuan Eropah (EU) dan negara-negara lain.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan ia menyifatkan varian B11529, yang diberi nama Omicron, sebagai varian "membimbangkan" - iaitu label yang diberikan kepada hanya empat varian setakat ini.

Namun, ia boleh mengambil masa selama berminggu-minggu untuk benar-benar memahami mutasi varian tersebut. Pihak berkuasa kesihatan sedang menentukan sama ada Omicron lebih mudah menular atau berjangkit berbanding varian-varian lain dan sama ada vaksin berkesan melawannya.

Menteri Kesihatan Afrika Selatan Joe Phaahla bagaimanapun menyifatkan sekatan-sekatan perjalanan ke atas negaranya sebagai "tidak wajar", meskipun beliau juga membayangkan kajian-kajian menunjukkan varian baru itu mungkin lebih mudah berjangkit.

"Varian baru virus COVID-19 ini sangat membimbangkan. Ia adalah versi paling banyak bermutasi yang pernah kami lihat sejauh ini," kata Profesor Lawrence Young, seorang ahli virologi di Universiti Warwick di Britain.

"Sebahagian mutasi yang serupa dengan apa yang kami lihat pada varian-varian membimbangkan yang lain berhubung kait dengan ciri lebih mudah berjangkit dan dengan separa ketahanan terhadap keimunan yang diperolehi menerusi vaksinasi atau jangkitan secara semula jadi."

Semua kebimbangan itu memburukkan pasaran kewangan, lebih-lebih lagi saham syarikat-syarikat penerbangan dan sektor-sektor pelancongan yang lain serta minyak, yang merosot AS$10 setong.

Sementara itu, langkah melarang perjalanan dari Afrika Selatan menyebabkan ratusan penumpang yang menaiki dua pesawat KLM dari Cape Town dan Johannesburg terkandas berjam-jam lamanya di landasan Lapangan Terbang Schipol di Amsterdam sebelum mereka dipindahkan untuk menjalani ujian.

"VARIAN PALING PENTING"

Beberapa negara lain termasuk India, Jepun, Israel, Turki, Switzerland dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) juga memperketatkan sekatan perjalanan.

Ibu pejabat WHO di Geneva - di mana para pakarnya membincangkan risiko varian baru tersebut pada Jumaat - memberi amaran tentang langkah-langkah melaksanakan sekatan perjalanan itu sekarang.

"Sangat penting kita tidak bertindak balas secara melulu," menurut Pengarah Kecemasan WHO Mike Ryan, sambil memuji institusi-institusi kesihatan awam Afrika Selatan kerana mengesan varian baru tersebut.

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan